
Setiap kali musim Raya tiba, deretan lagu baharu pasti muncul bagi memeriahkan suasana perayaan. Tahun ini, penyanyi muda berbakat Syasya Rizal turut menyertai senarai tersebut menerusi single Hari Raya terbaharunya berjudul Inikan Hari Raya. Ada lagu Raya yang tampil dengan rentak rancak, ada juga yang bermain dengan emosi nostalgia keluarga.
Namun di sebalik lambakan lagu Raya saban tahun, tidak semuanya benar benar meninggalkan kesan yang dekat di hati pendengar.
Menariknya, Inikan Hari Raya tidak sekadar membawa kemeriahan Aidilfitri, tetapi turut mengangkat mesej kesederhanaan, rasa syukur dan kebahagiaan yang lahir daripada kebersamaan.
Dalam era media sosial yang sering mempamerkan sambutan Raya yang serba sempurna, Syasya memilih untuk membawa perspektif yang lebih jujur dan dekat dengan realiti kehidupan ramai orang.
Raya Kini Lebih Bermakna Buat Syasya Rizal Dengan Kehadiran Anak
Bagi Syasya, sambutan Hari Raya hari ini juga membawa makna yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Jika sebelum ini perayaan tersebut lebih banyak dinikmati sebagai seorang individu, kini ia disambut dalam suasana keluarga yang semakin berkembang.
“Sekarang Raya terasa lagi berbeza untuk Syasya sebab Syasya dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana Raya itu jadi lebih hidup,” katanya.
Menurut Syasya, kehadiran anak anak membuatkan perspektif terhadap Hari Raya berubah sepenuhnya.
“Bila ada anak, kita mula sedar bahawa Raya bukan lagi tentang kita. Kita mula cipta memori Raya untuk mereka pula. Dan bagi Syasya, itulah sebenarnya makna Raya yang paling indah.”
Beliau juga berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang detik detik kecil yang sering dianggap biasa tetapi sebenarnya sangat bermakna.
“Syasya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat kepada perkara kecil yang sebenarnya sangat bermakna waktu Raya seperti bangun pagi Raya, bau rendang dari dapur atau makan bersama keluarga.”
Dalam masa yang sama, Syasya turut berharap Inikan Hari Raya mampu menjadi sebahagian daripada memori perayaan pendengar pada masa hadapan.
“Kalau satu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan Raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk Syasya sebagai seorang penyanyi.”
“Inikan Hari Raya” Angkat Mesej Kesederhanaan Dalam Lagu Raya Moden

Apa yang menjadikan Inikan Hari Raya menarik ialah mesej yang dibawa terasa sangat dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.
Lagu ini ditulis oleh Syasya Rizal bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, manakala proses penerbitannya turut dikendalikan oleh Amirul Azhar. Dari segi susunan muzik, lagu ini bermula dengan progresi kord yang ringkas serta alunan dram yang ringan bagi mencipta suasana hangat dan ceria.
Melodinya kemudian berkembang secara semula jadi menuju ke bahagian korus yang menjadi tunjang utama lagu. Susunan muziknya pula dibina secara berlapis sehingga memberikan tenaga yang semakin meningkat apabila korus mula dimainkan.
Namun kekuatan utama lagu ini sebenarnya terletak pada liriknya yang membawa mesej tentang kesederhanaan sambutan Raya.
Syasya sendiri mengakui bahawa mesej tersebut datang daripada pengalaman peribadinya.
“Lagu Inikan Hari Raya ini sebenarnya macam satu peringatan lembut bahawa kebahagiaan Raya tak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang kita ada,” jelasnya.
Pendekatan ini secara tidak langsung memberi nafas segar kepada lagu Raya moden yang kebanyakannya menumpukan kepada elemen kemeriahan semata mata.
Pengalaman Pertama Syasya Rizal Terlibat Dalam Penulisan Lagu “Inikan Hari Raya”

Selain membawa mesej yang dekat dengan kehidupan, single ini juga mempunyai nilai istimewa dalam perjalanan seni Syasya sendiri.
Buat pertama kalinya, beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu, sesuatu yang membuka ruang baharu dalam kerjayanya sebagai penyanyi.
“Ini sebenarnya pengalaman pertama Syasya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Jadi bagi Syasya, ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar benar datang daripada hati Syasya sendiri kepada para peminat,” katanya.
Menurut Syasya, proses bekerjasama dengan Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga menjadi satu pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna.
“Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing Syasya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,” ujarnya lagi.
Pengalaman ini bukan sahaja memberikan kepuasan kreatif kepada Syasya, malah membuka potensi baharu untuknya terlibat lebih aktif dalam penciptaan karya pada masa hadapan.
Single Inikan Hari Raya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. Dengan mesej yang sederhana tetapi penuh makna, lagu ini berpotensi menjadi salah satu karya yang menemani suasana Aidilfitri tahun ini.