
Dalam industri muzik yang semakin pantas melahirkan single baharu hampir setiap bulan, Sabhi Saddi memilih untuk diam. Bukan kerana kehabisan idea, tetapi kerana enggan mempertaruhkan nama dengan karya yang sekadar memenuhi pasaran.
Selepas kejayaan besar Cinta Sesungguhnya, penyanyi kelahiran Sabah itu sanggup menunggu bertahun-tahun demi memastikan kemunculan semulanya benar-benar membawa makna.
Kini, penantian itu berakhir menerusi ROMANSA, sebuah lagu yang bukan sekadar mengangkat kisah cinta, malah menjadi manifestasi kepercayaannya bahawa karya berkualiti akan sentiasa menemukan pendengar, walaupun mengambil masa yang lama untuk dilahirkan.
Sabhi Saddi Pilih Kualiti Berbanding Kuantiti Demi Hasilkan Lagu Yang Kekal Relevan

Selepas kejayaan besar menerusi Cinta Sesungguhnya, Sabhi mengakui beliau tidak pernah terburu-buru menghasilkan karya baharu hanya untuk memenuhi permintaan pasaran. Sebaliknya, setiap proses bermula dengan pencarian komposer, penulis lirik dan jalan cerita yang menepati identiti seninya.
Menurut Sabhi, beliau lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga tahun sebelum tampil dengan single baharu kerana percaya setiap lagu perlu mempunyai nilai tersendiri.
“Saya memang seorang yang sangat memilih dalam soal lagu. Saya akan mengambil masa untuk mencari komposer, penulis lirik dan karya yang benar benar sesuai dengan kehendak saya. Sebab itu orang jarang melihat saya mengeluarkan beberapa lagu dalam tahun yang sama,” katanya
Tambahnya lagi, beliau sentiasa memastikan mesej yang dibawa melalui muzik memberi impak positif kepada masyarakat.
“Saya mahu karya yang disampaikan memberi impak positif kepada pendengar. Muzik bukan sekadar hiburan tetapi juga medium yang mempunyai pengaruh besar terhadap emosi dan pemikiran seseorang,” tambahnya lagi.
Tekanan untuk menghasilkan karya yang mampu menandingi kejayaan Cinta Sesungguhnya juga sentiasa bermain di fikirannya. Namun bagi Sabhi, persaingan sebenar bukanlah dengan penyanyi lain, sebaliknya dengan dirinya sendiri.
“Saya tidak membandingkan karya saya dengan lagu orang lain, tetapi saya lebih melihat kepada bagaimana saya boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada karya saya sendiri,” ujarnya.
Sabhi juga menganggap gelaran sebagai penyanyi lagu perkahwinan bukan sesuatu yang perlu dipandang negatif.
“Kalau ada pasangan yang memilih lagu saya untuk mengiringi hari istimewa mereka, saya anggap itu sebagai satu rezeki dan tanda bahawa karya tersebut dekat dengan hati pendengar,” jelasnya.
ROMANSA Angkat Kisah Cinta Yang Jujur Dengan Melodi Romantis Dan Emosi Mendalam

Dalam menghasilkan ROMANSA, Sabhi berganding bahu bersama komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna. Kolaborasi itu disifatkan cukup lancar kerana ketiga tiganya berkongsi visi yang sama untuk melahirkan karya berkualiti.
Sabhi turut terlibat secara aktif sepanjang proses kreatif dengan memberikan panduan mengenai konsep, emosi dan hala tuju lagu.
“Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej yang positif. Saya juga memberikan beberapa rujukan termasuk Cinta Sesungguhnya sebagai panduan untuk mendapatkan rasa yang saya inginkan,” dedahnya.
ROMANSA membawa kisah sepasang kekasih yang diuji dengan pelbagai cabaran kehidupan sebelum akhirnya kembali bersatu. Melodi romantis dan lirik yang puitis menjadi kekuatan utama karya ini sehingga mudah menyentuh hati pendengar.
“Bagi saya, melodi lagu ini sangat romantis dan liriknya juga sangat indah. Ia menceritakan tentang sepasang kekasih yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan, namun cinta yang mereka miliki menjadi kekuatan untuk mereka kembali bersatu,” katanya.
Walaupun mempunyai roh yang hampir sama dengan Cinta Sesungguhnya, Sabhi menjelaskan ROMANSA membawa dimensi penceritaan yang berbeza.
“ROMANSA ini lebih kepada penceritaan tentang sebuah pasangan, manakala Cinta Sesungguhnya lebih kepada konsep perkahwinan,” ujarnya.
Single tersebut sebenarnya telah dirakam sejak tahun 2023 di SIFI Records dan proses rakaman berjalan lancar tanpa sebarang cabaran besar.
Farouk Roman Dan Sabhi Saddi Satukan Visi, Muzik Video ROMANSA Tampil Lebih Sinematik

Bagi Farouk Roman, idea menghasilkan ROMANSA lahir daripada keinginan untuk mencipta lagu yang dekat dengan pengalaman hidup masyarakat. Menurutnya, cinta dan kehilangan merupakan emosi yang sentiasa relevan merentasi zaman.
“Tema cinta dan kehilangan adalah sesuatu yang sangat dekat dengan kehidupan ramai orang. Saya percaya lagu yang lahir daripada emosi yang jujur lebih mudah menyentuh hati pendengar,” jelasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa inspirasi lagu itu datang daripada gabungan pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap kisah kehidupan sekeliling.
“Mesej utama ROMANSA ialah tentang menghargai cinta dan momen bersama seseorang sebelum semuanya berubah. Kadang kadang kita hanya sedar nilai sesuatu hubungan apabila ia mula menjauh atau hilang,” tambahnya.
Farouk juga menyifatkan pemilihan Sabhi sebagai penyanyi paling tepat kerana kemampuan vokalnya menghidupkan emosi yang ingin disampaikan.
“Sabhi berjaya membawa karakter serta emosi lagu ini dengan sangat baik. Cara beliau menyampaikan lagu benar benar menghidupkan cerita ROMANSA,” ujarnya.
Menariknya, Sabhi bukan sahaja bertindak sebagai penyanyi, malah turut mengarah sendiri muzik video ROMANSA. Beliau mengakui cabaran terbesar adalah membimbing pelakon yang belum pernah beraksi di hadapan kamera supaya mampu menzahirkan emosi yang diperlukan.
Visual muzik video itu memaparkan perjalanan sebuah hubungan daripada saat pertemuan, perpisahan, sehinggalah penyatuan semula dalam ikatan perkahwinan. Pendekatan sinematik itu menjadikan keseluruhan penceritaan lebih dekat dengan realiti yang pernah dilalui ramai pasangan.
Mengakhiri perkongsiannya, Sabhi berharap ROMANSA mampu melangkah jauh dan mengulangi kejayaan Cinta Sesungguhnya.
“Saya berharap lagu ini dapat pergi lebih jauh seperti Cinta Sesungguhnya. Saya mahu penonton melihat muzik video ini dan merasakan ia dekat dengan kehidupan mereka,” katanya.
ROMANSA terbitan AJ Productions kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Jika Havoxians menggemari lagu yang sarat dengan emosi, kisah cinta yang dekat dengan realiti serta melodi yang mudah melekat di hati, ROMANSA wajar dimasukkan dalam senarai lagu pilihan anda hari ini.