
Selepas beberapa tahun bereksperimen dengan pelbagai genre muzik, Ismail Izzani akhirnya membuat satu keputusan besar yang boleh mengubah arah perjalanan kerjayanya.
Bukan lagi sekadar tampil dengan single baharu, penyanyi berusia 26 tahun itu kini mempertaruhkan ONE ON ONE sebagai pembuka tirai kepada album penuh yang disifatkan sebagai permulaan fasa paling matang dalam karier seninya.
Persoalannya, mampukah karya ini menjadi titik kebangkitan baharu buat Ismail selepas melalui pelbagai fasa dalam industri hiburan tempatan?
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia dengan sentuhan komposer dan penerbit terkenal ALYPH, lagu ini bukan sekadar mempertaruhkan melodi yang mudah melekat di ingatan, malah menjadi simbol kematangan Ismail sebagai penyanyi dan penulis lagu.
Selepas melalui pelbagai fasa dalam industri hiburan, penyanyi berusia 26 tahun itu kini dilihat lebih yakin membina identiti muziknya sendiri tanpa bergantung kepada nostalgia karya terdahulu.
ONE ON ONE Sebuah Kisah Cinta Sederhana Tetapi Penuh Emosi

Bagi Havoxians yang mengikuti perkembangan Ismail sejak awal kemunculannya, ONE ON ONE memberikan gambaran jelas bahawa perjalanan muziknya kini memasuki dimensi yang lebih matang, lebih jujur dan lebih dekat dengan pengalaman hidup sebenar.
Mengangkat tema cinta yang dekat dengan kehidupan ramai, ONE ON ONE berkisar mengenai keinginan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang tanpa gangguan dunia luar. Lagu ini menggambarkan bagaimana detik yang paling bermakna tidak semestinya hadir melalui sesuatu yang mewah, sebaliknya cukup dengan kehadiran seseorang yang benar benar istimewa.
Menurut Ismail, mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu tersebut sangat mudah difahami kerana ia lahir daripada perasaan yang pernah dirasai hampir setiap orang.
“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya walaupun hanya untuk seketika. Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” katanya.
Kesederhanaan lirik dipadankan dengan susunan muzik yang moden menjadikan ONE ON ONE mudah dinikmati oleh pelbagai lapisan pendengar. Tanpa perlu bermain dengan metafora yang terlalu kompleks, lagu ini memilih untuk menyampaikan emosi secara terus dan jujur, sekali gus memberi ruang kepada pendengar untuk mengaitkannya dengan pengalaman masing masing.
Pendekatan tersebut juga memperlihatkan sisi baharu Ismail yang semakin selesa menghasilkan karya yang lebih matang tanpa meninggalkan identiti pop dan R&B yang sinonim dengannya.
Kerjasama Bersama ALYPH Hasilkan Kreativiti Karya Lebih Jujur

Kejayaan ONE ON ONE turut disokong oleh keserasian yang semakin kukuh antara Ismail dan ALYPH. Walaupun kedua duanya pernah bekerjasama sebelum ini, proses menghasilkan single terbaharu tersebut disifatkan jauh lebih mendalam kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk meneroka idea secara organik.
Bagi Ismail, hubungan yang terjalin bukan sekadar hubungan profesional di dalam studio, malah dibina melalui perkongsian cerita kehidupan yang akhirnya diterjemahkan ke dalam muzik.
“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara perkara peribadi. Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur. ONE ON ONE lahir daripada sesi brainstorming kami bersama dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya,” ujarnya.
Keserasian tersebut jelas dapat dirasakan menerusi susunan muzik yang lebih segar serta alunan vokal Ismail yang kedengaran lebih matang. Hasil gabungan pengalaman kedua dua figura ini berjaya menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja mempunyai nilai komersial, malah mampu menyerlahkan evolusi seni Ismail.
Ismail Izzani Enggan Hidup Dalam Bayangan Lagu Lama, Sedia Cipta Identiti Muzik Baharu

Walaupun ada peminat yang melihat ONE ON ONE mengembalikan aura lagu popularnya suatu ketika dahulu seperti Bidadari, Ismail memilih untuk melihat single ini sebagai titik permulaan kepada perjalanan yang sama sekali berbeza.
Penyanyi itu menegaskan bahawa setiap karya mempunyai identiti tersendiri dan beliau tidak mahu terus dibandingkan dengan kejayaan lampau.
“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri. Bagi saya, ONE ON ONE adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang,” jelasnya.
Menurutnya lagi, ONE ON ONE mempunyai nilai sentimental kerana menjadi lagu pertama yang dipilih untuk dimuatkan dalam album baharu yang telah lama dirancang bersama pasukannya. Berbeza dengan beberapa single terdahulu yang diterbitkan secara berasingan, lagu ini menjadi asas kepada keseluruhan konsep album yang bakal dipersembahkan kepada peminat.
Dengan pengalaman yang semakin luas serta perspektif hidup yang lebih matang, Ismail percaya inilah masa paling sesuai untuk memperkenalkan sisi sebenar dirinya sebagai seorang pengkarya.
“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya Allah banyak perkara menarik sedang menanti,” ujarnya.
Single ONE ON ONE kini boleh distrim Havoxians, di semua platform penstriman digital. Lagu ini menjadi petanda awal kepada album penuh Ismail Izzani yang dijangka menemui peminat tahun ini, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni penyanyi tersebut.