
Jika selama ini perkataan “geran” kedengaran seperti sesuatu yang jauh, rumit dan penuh dengan dokumentasi yang perlu disediakan, Yayasan Hasanah membawa pendekatan lebih dekat dengan komuniti menerusi Grant Clinic.
Menariknya, sesi ini bukan sekadar menjadi pengisian sampingan dalam sebuah acara perkongsian ilmu. Grant Clinic membuka ruang dan peluang kepada organisasi masyarakat sivil, perusahaan sosial, kumpulan komuniti serta pihak berkepentingan untuk mendapatkan penjelasan secara langsung dan tuntas tentang peluang geran, kriteria kelayakan dan proses permohonan yang ditawarkan oleh Yayasan Hasanah.
Malah, dalam dunia impak sosial, idea yang baik sahaja kadangkala belum mencukupi. Sesebuah inisiatif memerlukan pengetahuan, rangkaian, sokongan dan sumber yang sesuai untuk berkembang dengan lebih jauh.
Justeru, di sinilah Grant Clinic dilihat membawa nilai tersendiri kerana peserta bukan sahaja datang untuk mendengar, tetapi turut diberi ruang untuk bertanya, memahami peluang yang tersedia dan melihat bagaimana usaha mereka boleh dikembangkan melalui sokongan yang bersesuaian.
Pendekatan sebegini menjadikan ILMU Hasanah #50 lebih daripada sekadar acara yang menghimpunkan individu untuk berkongsi cerita. Sekaligus membuka pintu kepada kemungkinan baharu, khususnya buat mereka yang sedang membina perubahan bersama komuniti di Malaysia.
Grant Clinic Yayasan Hasanah Beri Peluang Fahami Syarat dan Proses Permohonan Geran

Grant Clinic menjadi antara komponen yang memberikan nilai praktikal kepada peserta yang menyertai sidang ILMU Hasanah #50 yang berlangsung di Ibu kota pada 11 Ogos Lalu.
Malah, organisasi yang mempunyai idea, projek atau usaha berteraskan komuniti, berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pasukan Yayasan Hasanah sekaligus memberi ruang mendapatkan maklumat yang lebih jelas sebelum meneroka proses permohonan.
Peserta turut berpeluang memahami dengan lebih dekat peluang geran yang tersedia, termasuk perkara berkaitan kelayakan serta proses permohonan. Perkongsian seperti ini penting kerana penjelasan pada peringkat awal, membantu organisasi menilai kesesuaian projek mereka dengan peluang sokongan yang ada.
Lebih penting, Grant Clinic meletakkan elemen perbualan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Peserta tidak hanya menerima maklumat secara sehala, sebaliknya mempunyai ruang untuk mendapatkan penjelasan berdasarkan keperluan dan situasi organisasi masing-masing.
Pendekatan itu selari dengan semangat ILMU Hasanah yang melihat ilmu sebagai sesuatu yang terbentuk melalui pengalaman, perbualan dan perkongsian antara individu serta komuniti.
“Ilmu mencapai nilai sebenar apabila ia dikongsi dan diterjemahkan kepada tindakan,” jelasnya.
Ayat ini cukup menggambarkan mengapa Grant Clinic mempunyai tempat yang menarik dalam keseluruhan program. Pengetahuan tentang peluang geran lebih bermakna apabila ia membantu seseorang atau sesebuah organisasi mengambil langkah seterusnya.
Bagi mereka yang sedang menggerakkan projek sosial, membina perusahaan berimpak atau bekerja rapat dengan komuniti, ruang seperti ini boleh menjadi titik permulaan kepada impak yang lebih besar. Tidak sekadar mengetahui bahawa peluang itu wujud, peserta boleh memahami bagaimana untuk menerokanya dengan lebih teratur.
Partner Marketplace dan Grant Clinic Hubungkan Komuniti Dengan Peluang Baharu

Selain Grant Clinic, ILMU Hasanah #50 turut menyediakan Partner Marketplace yang mempertemukan peserta dengan rakan kongsi Yayasan Hasanah.
Marketplace tersebut memberikan peluang kepada peserta untuk mengenali dengan lebih dekat organisasi yang bekerja bersama komuniti dalam pelbagai bidang dan sektor.
Pada masa sama, ruang ini membuka peluang untuk pertukaran idea serta membina jaringan dengan individu dan organisasi yang mempunyai pengalaman berbeza.
Gabungan kedua-dua pengisian ini menjadikan acara berkenaan lebih dinamik. Jika sesi perkongsian ilmu memberikan perspektif, Partner Marketplace membuka ruang untuk jaringan, manakala Grant Clinic pula memberikan laluan untuk peserta meneroka bentuk sokongan yang berpotensi membantu usaha mereka.
Oleh itu, dalam konteks dunia sosial, ketiga-tiga elemen ini saling melengkapi.
Satu idea boleh bermula daripada sebuah perbualan. Perbualan boleh membawa kepada perkenalan. Perkenalan pula berpotensi membuka ruang kepada kerjasama dan tindakan.

Lebih menarik lagi, apabila pendekatan ini turut sama mengangkat makna kemerdekaan daripada perspektif yang lebih luas. Kemerdekaan bukan hanya tentang sejarah dan sambutan tahunan, tetapi juga kebebasan untuk belajar, bertanya, mencuba serta membina sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.
Bagi komuniti dan organisasi yang berada di lapangan, peluang mendapatkan akses kepada ilmu serta jaringan boleh menjadi sebahagian daripada proses untuk membina daya tahan dan menghasilkan perubahan yang lebih mampan.
Dalam masa sama, perkongsian daripada pelbagai organisasi menunjukkan bahawa tiada satu formula tunggal untuk menghasilkan impak sosial. Setiap komuniti mempunyai realiti, cabaran dan aspirasi tersendiri.
Pengalaman mereka yang bekerja bersama komuniti amat penting. Ia membantu memastikan sesuatu pendekatan tidak hanya kelihatan baik di atas kertas, tetapi mengambil kira keadaan sebenar masyarakat yang ingin dibantu.
ILMU Hasanah #50 Raikan 50 Perbualan dan Kisah Harapan Sempena Bulan Kebangsaan

Keseluruhan pendekatan ILMU Hasanah #50 akhirnya kembali kepada satu perkara iaitu ilmu yang membawa seseorang lebih dekat kepada tindakan.
Bersempena Bulan Kebangsaan, program bertemakan “50 Conversations, Stories of Hope” ini meraikan kisah, pengalaman dan pembelajaran daripada mereka yang berada dalam pelbagai bidang berteraskan komuniti.
Edisi ke-50 siri perkongsian ilmu ILMU Hasanah yang berlangsung pada Selasa, 11 Ogos 2026 di Federal Hall 1, Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur itu turut mengetengahkan idea bahawa pembelajaran tidak semestinya berlaku dalam bilik darjah.

Ada ilmu yang lahir daripada pengalaman hidup, ada yang datang daripada komuniti, ada yang terbentuk selepas melalui kegagalan, cabaran dan perubahan dan ada juga yang muncul apabila seseorang bersedia untuk mendengar perspektif orang lain.
Malah, dalam suasana Bulan Kebangsaan, mesej ini terasa cukup relevan terhadap komuniti. Malaysia yang lebih maju bukan hanya dibina melalui pembangunan fizikal, tetapi juga melalui masyarakat yang berani belajar, berkongsi pengetahuan dan bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi bersama.
Pada akhirnya, Grant Clinic menjadi salah satu elemen yang menghidupkan mesej tersebut dalam bentuk yang lebih praktikal. Menerusi perbualan kepada maklumat, daripada maklumat kepada jaringan dan daripada jaringan kepada kemungkinan tindakan.
Untuk pengetahuan Havoxians, ILMU Hasanah #50 turut menampilkan enam pembicara daripada pelbagai bidang iaitu Imelda George, Pengurus Kanan Projek, Good Shepherd Services, Ruth Yap, Pengasas, Zero Waste Sabah , Sarinah Sa’ud, Pengasas, Lambo Sari, Rahman Muda, Pengurus Projek, Kromium Digital, Dr. Sareena Che Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan PNB serta Sarina Mokhtar, Pengasas dan Pengarah, Sunshine Dialogue.
Sesi istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran Puan Siti Kamariah Ahmad Subki, Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah serta Caroline Russell, Pemegang Amanah Yayasan Hasanah.