
Berapa lama sebuah lagu perlu menunggu sebelum akhirnya bertemu dengan suara yang tepat? Setahun? Dua tahun? Atau mungkin lebih lama daripada itu?
Malah, sesetengah karya, proses mencipta lagu berakhir sebaik sahaja melodi dan lirik disiapkan. bahkan ada lagu yang seolah-olah masih belum menemukan takdirnya sendiri, meskipun sudah lama dilahirkan.
Itu yang berlaku kepada sebuah karya yang dicipta pada 2024. Beberapa penyanyi pernah mencuba membawakan lagu tersebut, namun masih ada sesuatu yang dirasakan belum kena. Warna suara yang dicari belum ditemui, sehinggalah satu pertemuan pada 2026 mengubah seluruh perjalanan karya berkenaan.
Menariknya, individu yang akhirnya dipilih bukanlah nama yang muncul secara tiba-tiba dalam dunia persembahan. Beliau sudah beberapa kali mencuba nasib di kaca televisyen, mencuri perhatian menerusi TikTok dan membuat persembahan di hadapan tetamu kenamaan. Namun kali ini, beliau bukan sekadar mahu menyanyi di pentas.
Inilah kisah Ku Faiz dan “Jurang Takdirku”, sebuah single debut yang bukan sahaja membawa cerita tentang cinta yang dipisahkan jurang kehidupan, tetapi turut mempunyai cerita tersendiri apabila hampir dua tahun menunggu sebelum menemukan suara yang tepat untuk menghidupkannya.
Ku Faiz Bukan Wajah Baharu Dalam Dunia Persembahan

Biarpun “Jurang Takdirku” menjadi single debutnya sebagai penyanyi rakaman, Ku Faiz bukanlah nama yang asing dalam dunia hiburan tempatan.
Ku Muhammad Faiz Ku Zulrushdi, 25, berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini berkhidmat sebagai penjawat awam di Majlis Amanah Rakyat atau MARA.
Pengalaman di hadapan kamera juga bukan sesuatu yang baharu buatnya. Ku Faiz pernah menyertai beberapa program televisyen termasuk Ceria Popstar dan All Together Now, selain pernah muncul sebagai tetamu dalam program Motif Viral.
Nyanyiannya membawakan lagu “Roman Cinta” pernah mendapat perhatian di TikTok sehingga meraih ribuan tontonan. Malah, daripada platform digital tersebut, bakat vokalnya kemudiannya membuka lebih banyak peluang untuk Ku Faiz membuat persembahan di pelbagai majlis rasmi dan konsert.
Namun, antara detik yang membantu memperkenalkan namanya kepada lebih ramai pendengar adalah menerusi media sosial.
Menariknya, persembahan tersebut turut membawanya ke pentas yang dihadiri tetamu kenamaan termasuk menteri dan tokoh korporat.
Miliki vokal bertenaga serta kemampuan mencapai not suara yang tinggi, Ku Faiz mempunyai kekuatan tersendiri untuk diketengahkan sebagai penyanyi rakaman. Namun begitu, karakter vokal yang dimilikinya juga hadir dengan cabaran tersendiri apabila sebuah karya perlu disesuaikan supaya kekal mudah diterima pendengar.
Dalam kes “Jurang Takdirku”, perkara itu menjadi antara aspek yang diberi perhatian oleh Dearlynnns.
“Jurang Takdirku” Menunggu Hampir Dua Tahun Sebelum Menemui Suara Yang Tepat

Menurut Dearlynnns, “Jurang Takdirku” telah dicipta sejak 2024 dan beberapa penyanyi pernah mencuba membawakan lagu tersebut. Namun, beliau masih belum menemukan warna suara yang benar benar menepati karakter yang dibayangkan.
Pertemuan dengan Ku Faiz pada 2026 akhirnya memberikan jawapan kepada penantian tersebut.
“Lagu ‘Jurang Takdirku’ ini sebenarnya telah dicipta pada tahun 2024. Beberapa penyanyi pernah mencuba membawakan lagu ini, namun pada saya warna suara mereka masih belum menepati karakter yang saya bayangkan.
Sehinggalah pada tahun 2026 saya bertemu dengan Ku Faiz. Alhamdulillah, akhirnya saya menemui suara yang benar-benar sesuai untuk menyampaikan karya ini,” kata Dearlynnns.
Apa yang lebih menarik, melodi lagu itu juga tidak dibina semata-mata untuk mengeksploitasi kemampuan vokal Ku Faiz yang tinggi.
Sebaliknya, Dearlynnns sengaja menghasilkan melodi yang lebih mudah dinyanyikan supaya karya tersebut bukan sahaja kedengaran menarik, malah boleh menjadi lagu yang dekat dengan pendengar biasa.
“Walaupun lagu ini asalnya tidak dicipta mengikut not vokal Ku Faiz yang sememangnya tinggi, saya sengaja menghasilkan melodi yang lebih mudah dinyanyikan.
Saya mahu lagu ini bukan sahaja sedap didengar, malah mudah dibawakan oleh masyarakat yang gemar berkaraoke. Itu antara matlamat utama saya ketika menghasilkan ‘Jurang Takdirku’,” jelasnya.
Pendekatan tersebut memberikan satu sisi menarik kepada karya berkenaan, dalam keadaan industri muzik hari ini yang dipenuhi lagu dengan pelbagai bentuk eksperimen, “Jurang Takdirku” memilih untuk kembali kepada kekuatan melodi, cerita dan emosi yang mudah difahami.
Lagu ini mengangkat kisah cinta yang terpaksa dipendam apabila dua insan dipisahkan oleh jurang kehidupan. Tema tersebut mungkin kedengaran sederhana, namun kekuatannya terletak pada sifatnya yang dekat dengan pengalaman manusia.
Tidak semua kisah cinta berakhir dengan kebersamaan. Ada hubungan yang terhenti bukan kerana hilang rasa, tetapi kerana keadaan memaksa dua hati menerima hakikat bahawa mereka berada di dunia yang berbeza.
Di situlah “Jurang Takdirku” cuba mencari tempatnya dalam hati pendengar.
Ku Faiz Anggap Single Debut Sebagai Kepercayaan Besar

Bagi Ku Faiz pula, peluang untuk menjadi penyanyi bagi karya tersebut hadir bersama tanggungjawab yang besar.
Beliau mengakui terus tertarik dengan “Jurang Takdirku” sebaik sahaja mendengar demo yang dihantar oleh produser, Tam Ali.
“Ini merupakan satu kepercayaan yang sangat besar daripada pihak label untuk saya menjadi penyanyi bagi lagu ini. Pada saya, ‘Jurang Takdirku’ mempunyai aura dan kekuatan melodinya yang tersendiri, selain jalan cerita yang mudah difahami. Lagu ini berjaya menawan hati saya sejak kali pertama mendengar demo yang dihantar oleh produser, Tam Ali,” katanya.
Pemilihan Ku Faiz sebagai penyanyi untuk karya tersebut turut mendapat keyakinan daripada pihak Luncai Emas yang melihat karakter vokalnya sesuai dengan lagu berkenaan.
“‘Jurang Takdirku’ merupakan sebuah karya yang kami lihat sesuai dengan karakter vokal Ku Faiz. Selepas mendengar demo dan melalui proses perbincangan bersama pihak yang terlibat, kami bersetuju untuk menerbitkan lagu ini di bawah Luncai Emas,” kata wakil Luncai Emas.
Menurut pihak label, karya tersebut diharapkan menjadi permulaan yang baik buat Ku Faiz dalam membina perjalanan sebagai penyanyi rakaman.
Harapan itu juga seiring dengan impian Ku Faiz yang mahu menjadikan kemunculan pertamanya sebagai batu loncatan untuk berkembang lebih jauh dalam industri muzik tempatan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak label, produser, komposer serta penulis lirik kerana memberi peluang kepada saya untuk mengetengahkan bakat yang saya miliki.
Sebagai pendatang baharu dalam industri muzik tanah air, saya berharap seluruh peminat muzik Malaysia dapat menyokong perjalanan kerjaya seni saya,” ujarnya.
Buat Ku Faiz, single pertama ini bukan sekadar peluang untuk memperkenalkan nama. Ia menjadi kesempatan untuk membuktikan bahawa pengalaman di pentas, perhatian daripada media sosial dan kemampuan vokal yang dimilikinya boleh diterjemahkan ke dalam karya rakaman yang mempunyai identiti tersendiri.
Dalam masa sama, perjalanan “Jurang Takdirku” sendiri menjadikan kemunculan Ku Faiz lebih menarik untuk menjadi sorotan.
Sebuah lagu yang dicipta pada 2024 akhirnya menemui penyanyinya pada 2026. Sebuah karya yang pernah dicuba oleh beberapa suara akhirnya mendapatkan vokal yang dirasakan paling sesuai. Mungkin benar Havoxians, ada lagu yang tidak perlu tergesa-gesa untuk dilahirkan. Kadangkala, sebuah karya hanya memerlukan masa untuk menunggu orang yang tepat.