
Ada makanan yang cukup sekadar mengenyangkan perut, tetapi ada makanan yang sekali masuk ke mulut, terus membawa kita pulang kepada nostalgia air tangan bonda di desa Pantai Timur nan pemai.
Pulang kepada meja makan yang penuh dengan lauk pauk, nasi panas yang masih berwap dan keluarga yang tidak pernah berkira. Pulang kepada kampung halaman, kenduri dan hari-hari yang mungkin sudah lama berlalu, tetapi masih segar dalam ingatan.
Bayangkan nasi kerabu yang harum dengan ulam dan kerisik, disempurnakan ayam percik yang bersalut kuah pekat dan beraroma. Di sebelahnya, ikan patin goreng yang rangup bertemu sambal tempoyak yang cukup berani mencuit selera. Kemudian datang pula daging tumbok dan singgang oxtail yang kaya dengan rasa, sebelum Puding Diraja menjadi penutup dengan sentuhan manis yang membawa nostalgia tersendiri.

Belum sempat suapan terakhir ditelan, tangan mungkin sudah mula mencari nasi lagi. Begitulah makanan Pantai Timur. Ia bukan sekadar tentang rasa. Ada kenangan yang terselit dalam setiap lauk, ada cerita pada setiap resipi dan ada rasa rindu yang kadangkala hanya mampu dipujuk oleh makanan.
Kini, rasa yang selama ini hadir ke rumah orang melalui katering akhirnya mempunyai rumahnya yang tersendiri! Rumoh Mekda rasmi membuka pintunya di Bangsar Village 1 pada 23 Ogos 2026, membawa hidangan yang sarat dengan jiwa Kelantan, Terengganu dan Pahang di tengah-tengah hiruk pikuk kota.
Namun, Rumoh Mekda bukan sekadar sebuah restoran yang mahu menghidangkan makanan tradisional. Ia adalah sebuah perjalanan tentang bagaimana makanan yang selama ini menjadi sebahagian daripada meja makan pelanggan, majlis keluarga dan keraian akhirnya mempunyai sebuah ruang untuk menyambut tetamu setiap hari.
Bermula dengan sajian katering ke Bangsar, Mekda kini mengajak orang ramai duduk semeja dan merasai sendiri apa yang membuatkan makanan Pantai Timur begitu dekat dengan hati, hingga menjadi pilihan kerabat diraja Selangor, Pahang & Kedah.
Rumoh Mekda Bermula Dengan Katering Sebelum Buka Di Bangsar

Bagi pengasas Mekda, pembukaan Rumoh Mekda bukan sekadar tentang memiliki sebuah premis baharu, tetapi tentang mewujudkan ruang yang mampu membawa semula perasaan dan kenangan yang selama ini hadir bersama makanan.
“Rumoh Mekda bermula dengan katering. Kami sangat bertuah kerana diberi peluang untuk membawa makanan kami ke rumah dan majlis untuk setiap pelanggan, dan di situlah sebenarnya perjalanan ini bermula,” katanya.
Daripada pengalaman itu, tercetus idea untuk menyediakan sebuah tempat yang membolehkan orang ramai datang menikmati hidangan tersebut pada bila bila masa.
“Lama kelamaan, kami mula terfikir untuk mewujudkan sebuah tempat di mana orang ramai pula boleh datang ke kedai kami, sebuah tempat di mana makanan ini boleh dinikmati setiap hari, bukan hanya untuk majlis majlis tertentu,” tambahnya.
Maka, disinilah tercetusnya idea untuk mewujudkan Rumoh Mekda. Jika sebelum ini pelanggan menunggu hidangan Mekda hadir ke majlis mereka, kini pelanggan pula boleh melangkah masuk ke ruang yang dibina untuk meraikan cita rasa sama.
Transformasi itu menjadikan Rumoh Mekda lebih daripada sekadar sebuah restoran baharu. Ia menjadi titik pertemuan antara pengalaman katering yang sudah dibina dengan impian untuk mempunyai sebuah ruang makan yang boleh dikunjungi setiap hari.
Masakan Pantai Timur, Identiti Utama Rumoh Mekda Dengan Hidangan Penuh Nostalgia

Nama Rumoh Mekda sendiri membawa gambaran tentang sebuah rumah yang mesra, hangat dan sentiasa mempunyai ruang untuk tetamu.
Konsep tersebut turut diterjemahkan menerusi menu yang mengetengahkan tradisi masakan Pantai Timur, dengan inspirasi daripada Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Namun, bagi Rumoh Mekda, usaha membawa makanan Pantai Timur ke Bangsar bukan hanya mengenai resipi dan persembahan hidangan. Apa yang lebih penting ialah emosi tersirat di sebalik makanan tersebut.
“Makanan sangat dekat dengan hati kita. Satu hidangan boleh mengingatkan kita kepada ibu, nenek, kampung halaman atau satu majlis bersama keluarga. Perasaan itulah yang kami mahu kekalkan,” jelas pengasasnya.
Elemen nostalgia itu menjadi antara kekuatan utama konsep Rumoh Mekda. Makanan tradisional bukan sekadar sesuatu yang dimakan, tetapi boleh menjadi pencetus memori terhadap individu, tempat dan pengalaman yang pernah dilalui.
Dalam masa sama, jenama tersebut mahu memperkenalkan masakan Pantai Timur kepada mereka yang mungkin belum begitu mengenali hidangan berkenaan.
“Masakan Pantai Timur mempunyai begitu banyak jiwa. Ia mengambil masa untuk disediakan, mempunyai karakter yang tersendiri dan memang lebih bermakna apabila dinikmati bersama,” katanya.
Pendekatan ini membuatkan Rumoh Mekda tidak hanya cuba menghidangkan makanan tradisional, tetapi turut membawa suasana dan nilai yang selama ini mengiringi budaya makan masyarakat Pantai Timur.
Dari Majlis Keraian Ke Meja Makan Harian, Rumoh Mekda Rumah Untuk Semua!

Pembukaan Rumoh Mekda di Bangsar Village 1 menandakan perubahan besar dalam perjalanan jenama tersebut. Jika katering membolehkan Mekda hadir ke rumah dan majlis pelanggan, restoran pula memberikan peluang kepada pelanggan untuk datang sendiri dan menikmati pengalaman tersebut dalam suasana yang lebih santai.
Ruang ini boleh menjadi tempat Havoxians dan keluarga berkumpul, rakan-rakan bertemu atau pengunjung yang sekadar mahu mengenali lebih dekat masakan Pantai Timur. Perubahan daripada katering kepada restoran juga memperlihatkan bagaimana sebuah perniagaan makanan boleh berkembang dengan mengekalkan akar yang sama.
“Apa yang berubah hanyalah tempat, tetapi ‘Jiwa’ makanan yang terhidang masih berteraskan rasa asli rumoh,” ujarnya.
Pelancaran rasmi pada 23 Ogos 2026 turut menjadi detik bermakna buat Rumoh Mekda apabila keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang menyerikan majlis berkenaan, sekaligus melengkapkan satu perjalanan yang bermula secara sederhana melalui hidangan katering sebelum berkembang menjadi sebuah ruang yang kini boleh dikunjungi orang ramai.

Bagi Mekda, pembukaan ini bukan noktah kepada perjalanan tersebut. Sebaliknya, ia membuka peluang untuk lebih ramai orang mengenali makanan Pantai Timur dalam konteks yang lebih dekat dengan kehidupan moden.
Justeru, dari meja majlis kepada meja makan harian, Rumoh Mekda kini membawa cerita yang sama ke lokasi baharu. Sebuah cerita tentang makanan yang menyatukan manusia. Sebuah cerita tentang rasa yang menghidupkan kenangan.
Paling penting, sebuah cerita tentang bagaimana sesuatu yang bermula dengan menghantar makanan ke rumah orang akhirnya berkembang sehingga mempunyai rumoh sendiri. Di Rumoh Mekda, meja bukan sekadar tempat untuk meletakkan hidangan. Ia adalah ruang untuk berkongsi cerita, menghidupkan nostalgia dan mencipta kenangan baharu.