
Setiap penyanyi mempunyai lagu hit yang membawa nama ke puncak, tetapi tidak semua penyanyi berani membawa pendengar mendekati sisi lebih peribadi di sebalik lagu-lagu ciptaan mereka.
Bagi Amir Masdi, perjalanan muzik yang dilaluinya selama ini bukan sekadar tentang mengejar lagu hit, berdiri di atas pentas atau membuktikan kemampuan vokalnya.
Di sebalik sorakan penonton dan deretan persembahan yang bertenaga, tersimpan sebuah perjalanan yang cukup peribadi tetapi membentuk dirinya sebagai seorang artis dan pengkarya. Kini, Amir seakan bersedia membuka satu lagi halaman dalam perjalanan seni miliknya.
Persoalannya, apakah yang bakal berlaku apabila seorang penyanyi memilih untuk membawa peminatnya lebih dekat daripada biasa?
Jawapannya bakal terungkai menerusi AM:PM Showcase, persembahan eksklusif Amir Masdi yang dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya muziknya, Amir kini mahu menjadikan pentas tersebut sebagai ruang untuk meraikan perjalanan seni bersama mereka yang selama ini berada di belakang setiap langkahnya, iaitu para peminat.
Amir Masdi Mahu AM:PM Showcase Jadi Pengalaman Intim Bersama Peminat

Bagi Amir, idea menghasilkan AM:PM Showcase tercetus daripada keinginan untuk menghargai perjalanan seni yang telah dilaluinya bersama peminat.
Sepanjang pembabitannya dalam industri muzik, setiap karya yang dihasilkan hadir dengan cerita tersendiri. Pada masa sama, setiap lagu turut mempunyai makna berbeza kepada pendengar yang menghayatinya.
Justeru itu, Amir mahu showcase kali ini bergerak lebih jauh daripada sekadar persembahan pentas.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut.
Sebab itu saya mahu AM:PM Showcase menjadi sebuah malam yang cukup istimewa,” katanya.
Menurut Amir, matlamat utama beliau adalah memastikan peminat yang hadir bukan sekadar menikmati persembahan, tetapi turut membawa pulang satu pengalaman yang mempunyai nilai sentimental.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.
Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” tambahnya lagi.
Pendekatan tersebut memberikan gambaran bahawa AM:PM Showcase bakal menjadi pentas yang lebih bersifat peribadi, sekali gus membolehkan Amir Masdi meneroka sisi persembahannya yang mungkin tidak dapat ditampilkan sepenuhnya dalam acara berskala besar.
Lebih menarik, konsep berkenaan turut membuka ruang untuk Amir berinteraksi secara lebih dekat dengan peminat sambil mempersembahkan karya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seninya.
AM:PM Showcase Tampilkan Sisi Amir Masdi Yang Lebih Eksklusif & Penuh Emosi

Penganjuran AM:PM Showcase diterajui AR United Music dengan sokongan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, manakala ERA fm, GEGAR fm dan HITZ fm bertindak sebagai rakan radio rasmi.
Bagi pihak penganjur, pemilihan Amir sebagai figura utama showcase dibuat berdasarkan konsistensinya dalam menghasilkan karya berkualiti selain kemampuan menghidupkan pentas menerusi persembahan yang bertenaga.
Wakil AR United Music berkata, showcase tersebut dirancang sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan industri muzik tempatan dengan mengetengahkan bakat tempatan menerusi persembahan berkualiti tinggi.
“Amir Masdi merupakan antara artis yang sentiasa konsisten menghasilkan karya berkualiti dan memberikan persembahan yang bertenaga di atas pentas.
Melalui AM:PM Showcase, kami mahu menampilkan sisi Amir yang lebih dekat dengan peminat menerusi sebuah persembahan yang eksklusif, penuh emosi dan berbeza daripada konsert berskala besar,” Ujarnya.

Tambah wakil penganjur lagi, setiap komponen persembahan diberi perhatian bagi memastikan pengalaman penonton tidak terhad kepada persembahan vokal semata mata.
“Setiap elemen yang dirancang, daripada susunan muzik, visual hinggalah pengalaman penonton, disusun dengan teliti bagi memastikan malam tersebut menjadi satu memori yang sukar dilupakan,” jelasnya.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula dilihat bersesuaian dengan konsep yang diketengahkan kerana lokasi berkenaan mampu memberikan suasana lebih dekat antara artis dan peminat.
Bagi sebuah persembahan yang mahu mengetengahkan hubungan tersebut, faktor jarak antara pentas dan penonton sememangnya memainkan peranan penting.
“Kami percaya AM:PM Showcase bukan sekadar sebuah showcase, tetapi satu pengalaman muzik yang meraikan hubungan antara artis dan peminat. Dengan kapasiti yang eksklusif, setiap penonton akan dapat menikmati persembahan dalam suasana yang lebih dekat dan istimewa,” katanya.
Amir Masdi Teruja Mahu Cipta Memori Baharu Di Zepp Kuala Lumpur

AM:PM Showcase turut hadir pada satu fasa penting dalam perkembangan kerjaya Amir Masdi, yang semakin memperlihatkan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi juga sebagai seorang pengkarya yang mempunyai visi terhadap muzik dan persembahannya.
Selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang perjalanan seni, pentas kali ini memberikan ruang untuk Amir menyusun semula kisah tersebut dalam bentuk persembahan yang lebih dekat dengan peminat.
Konsep yang diketengahkan juga menjadikan hubungan antara lagu dan pendengar sebagai salah satu elemen utama. Bagi peminat yang sudah mengikuti perjalanan Amir sejak awal, showcase ini berpotensi menjadi ruang untuk mengimbas kembali karya yang pernah menemani mereka pada fasa kehidupan tertentu.
Dalam masa yang sama, unsur baharu yang dijanjikan Amir memberikan sebab tambahan untuk peminat hadir secara langsung dan merasai sendiri persembahan tersebut.
Lebih daripada sekadar menyaksikan seorang penyanyi menyampaikan lagu di atas pentas, AM:PM Showcase mahu mewujudkan satu pengalaman yang membuatkan penonton berasa mereka sebahagian daripada perjalanan tersebut.
Bagi Amir sendiri, sokongan peminat sepanjang kerjayanya menjadi antara sebab utama beliau mahu menjadikan showcase ini sebagai tanda penghargaan.
“AM:PM Showcase adalah hadiah penghargaan kepada semua yang terus percaya dan menyokong perjalanan muzik saya selama ini,” tegasnya.
Tarikh 20 Disember 2026 semakin menghampiri, Zepp Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pertemuan antara Amir dan peminat dalam sebuah malam yang dijanjikan lebih intim, lebih dekat dan sarat dengan cerita.
Havoxians dan peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada AM:PM Showcase, tiket kini boleh didapati menerusi Ticket Empire dengan kategori VIP (Seated) RM254, CAT 1 (Seated) RM204, CAT 2 (Seated) RM184, CAT 3 (Seated) RM154 dan CAT 4 (Standing) RM104. Pilihan BOX (Seated) turut tersedia untuk pengalaman lebih eksklusif dengan tempahan boleh dibuat menerusi 011 5996 3265. Tiket boleh dibeli menerusi Ticket Empire.