
Peminat muzik, nampaknya Stadium Merdeka bakal menjadi medan untuk berpesta apabila NU FEST 2027 tampil dengan gabungan nama yang cukup menarik perhatian! MASDO, Nidji dan The Changcuters antara taruhan yang bakal menghimpunkan peminat daripada kelompok berbeza, sekali gus menjadikan festival ini antara acara yang wajar masuk dalam radar kaki muzik menjelang tahun hadapan.
Menariknya, NU FEST 2027 turut membawa konsep yang menggabungkan muzik, budaya, kreativiti dan gaya hidup, lengkap dengan tarikan karnival, kawasan makanan, pasar kreatif serta persembahan DJ.
Malah, barisan artis yang diumumkan merangkumi pelbagai karakter muzik, daripada pesona retro MASDO hingga ke identiti tersendiri Nidji dan The Changcuters serta lebih ramai line up artis yang bakal mewarnai NU FEST 2027. Persoalannya, apakah lagi kejutan yang bakal menanti apabila festival ini membuka tirainya nanti?
NU FEST 2027 Bawa Konsep Festival Muzik, Budaya dan Gaya Hidup

Antara tarikan yang dirancang termasuk pentas utama, Rock Zone, tempat duduk Grandstand, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif dan aktiviti pengenalan jenama atau brand activation.
Malah, gabungan ini dilihat berpotensi memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh, khususnya kepada pengunjung yang mahu menikmati suasana festival bersama rakan dan komuniti masing-masing.
Menurut wakil COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy, matlamat penganjuran ini bukan sekadar mengumpulkan ramai artis dalam satu acara.
“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama.
“Konsep kami sangat mudah iaitu ‘Music, Culture & Community’. Kami mahu NU FEST menjadi tempat golongan muda berkumpul, berseronok dan mencipta pengalaman bersama,” jelas beliau.
The Changcuters, Nidji dan MASDO Jadi Tarikan NU FEST 2027

NU FEST 2027 mempertaruhkan barisan artis yang merangkumi pelbagai karakter dan latar genre. Pengumuman Fasa 1 memperkenalkan The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja Band dan Monosterio, selain kemunculan istimewa Band D_Va.
The Changcuters menjadi antara nama yang mencuri perhatian menerusi perjalanan muzik mereka yang memasuki tahun ke-22. Kumpulan dari Indonesia itu membawa identiti tersendiri yang dekat dengan penggemar muzik rock, sekali gus memberikan warna kepada barisan awal festival berkenaan.
Dukes dan Lokarya pula diketengahkan sebagai bakat baharu yang berpotensi menarik perhatian penonton, manakala The Beretta’s, Saja Band dan Monosterio melengkapkan barisan dengan identiti muzik masing masing. Kehadiran Band D_Va turut menawarkan sentuhan nostalgia buat peminat yang merindui suasana muzik era 2000-an.
Kepelbagaian tersebut diteruskan menerusi pengumuman Fasa 2 yang menyaksikan Nidji dan Masdo menyertai barisan artis NU FEST 2027.
Nidji dijadualkan mengadakan persembahan selama 90 minit, menjadikan kemunculan kumpulan popular Indonesia itu antara segmen yang bakal dinantikan oleh peminat.
Masdo pula membawa pendekatan muzik retro dengan sentuhan kontemporari yang mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda, termasuk generasi Z. Identiti muzik kumpulan tempatan itu memberikan dimensi berbeza kepada festival yang turut mengetengahkan artis daripada latar muzik lain.
Selain itu, komuniti DJ tempatan Beats & Brew turut menyertai acara ini bagi menambahkan kepelbagaian hiburan. Penglibatan mereka dijangka menghidupkan suasana menerusi persembahan yang lebih dinamik, sekali gus melengkapkan pengalaman festival di luar persembahan kumpulan muzik.
“Kami mahu barisan artis yang boleh merentasi beberapa generasi dan kelompok peminat yang berbeza. Setiap nama mempunyai karakter tersendiri, daripada rock, pop dan nostalgia hinggalah muzik alternatif serta ‘energy’ yang lebih segar.
Gabungan ini diharap dapat memberikan pengalaman muzik yang pelbagai sepanjang berlangsungnya festival,” tambah Zairul.
Pihak penganjur turut merancang elemen istimewa yang berpotensi merangkumi gandingan artis, susunan muzik khas dan persembahan yang disediakan khusus untuk festival ini. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perancangan tersebut akan diumumkan kemudian.
Stadium Merdeka Jadi Lokasi NU FEST 2027, Produksi dan Komuniti Turut Diberi Tumpuan

Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi penganjuran turut memberikan dimensi tersendiri kepada NU FEST 2027.
Sebagai lokasi yang mempunyai nilai sejarah, stadium ikonik itu bakal menjadi latar kepada usaha membangunkan sebuah festival yang menggabungkan persembahan muzik dengan pelbagai aktiviti berkaitan budaya dan gaya hidup.
Bagi memastikan pengalaman pengunjung memenuhi perancangan penganjur, aspek produksi turut diberikan perhatian. Ini termasuk visual, pencahayaan, skrin LED, sistem bunyi serta peralihan antara persembahan bagi memastikan setiap artis mempunyai ruang untuk menyerlah di pentas utama.
Pada jangka panjang, COMs. Creative Studio dan AKE Seni mahu menjadikan NU FEST sebagai festival tahunan yang mampu berkembang bersama industri kreatif tempatan.
“Kami mahu NU FEST menjadi sebuah festival yang mempunyai identiti tersendiri dan dinantikan setiap tahun. Kejayaan sebenar bukan hanya apabila orang datang pada hari festival, tetapi apabila mereka pulang dan mula menantikan edisi seterusnya.
“NU FEST 2027 ialah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Kami mahu membina sebuah komuniti dan pengalaman yang boleh berkembang bersama generasi muda Malaysia,” ujar Zairul.

Havoxians dan peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada pengalaman tersebut, NU FEST 2027 dijadualkan berlangsung pada 30 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Harga tiket bermula RM88 dan tawaran khas untuk pembelian berkumpulan. Jualan tiket Fasa 1 akan membuka kategori Standing terlebih dahulu, manakala maklumat mengenai kategori Seating termasuk Grandstand akan diumumkan kemudian.
Havox Media akan terus menyalurkan perkembangan lanjut daripada COMs. Creative Studio dan AKE Seni untuk maklumat rasmi mengenai tiket, barisan artis serta tarikan tambahan festival ini.