
Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin, akhirnya membuka tirai berhubung pemilihan barisan artis Majlis Tertinggi Rock Queen bagi konsert mega yang bakal berlangsung pada 14 Februari ini. Di sebalik skala besar konsert tersebut, tersimpan kisah perjalanan seni, hubungan muzik dan legasi yang dibina sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya.
Menurut Ella, setiap nama yang dipilih bukan hadir secara kebetulan atau kerana populariti semasa, sebaliknya berakar daripada sejarah kolaborasi dan pengalaman muzik yang pernah dilalui bersama.
Jelasnya, pemilihan ini menjadikan Majlis Tertinggi Rock Queen lebih daripada sekadar barisan artis, sebaliknya sebuah refleksi perjalanan karier seninya sendiri.
“Pemilihan artis dibuat oleh saya sendiri dan mereka yang dipilih sememangnya mempunyai kaitan dengan kerjaya saya,” ujar Ella.
Ella turut menegaskan bahawa pentas Rock Queen bakal menjadi pertemuan legasi, kenangan dan jiwa muzik yang pernah membentuk siapa dirinya hari ini.
Antara nama yang diumumkan termasuk Sam Bunkface, Amir Masdi, Tam Spider dan The Boys, masing-masing mempunyai kisah tersendiri dalam perjalanan muzik Ella.
Tambahnya, Sam Bunkface pernah menghasilkan lagu buat Ella selain terlibat dalam beberapa projek kolaborasi sebelum ini. Amir Masdi pula dikenali sebagai penyanyi yang pernah menyanyikan lagu-lagu Ella dan pernah mencuba kolaborasi bersama.
Manakala, Tam Spider pula sinonim dengan lagu Dunia Batinku yang dekat dengan identiti Ella, serta The Boys mempunyai sejarah panjang bersama Ella menerusi lagu Dua Insan Bercinta serta sebuah album yang pernah dirakam bersama.
Gabungan ini menjadikan Majlis Tertinggi Rock Queen sebagai sebuah simbol legasi, persahabatan dan kesinambungan muzik, merentasi generasi dan genre.
Pentas Rock Queen: Pertemuan Legasi, Kenangan & Muzik

Walaupun beberapa nama utama telah diumumkan, Ella menegaskan bahawa sebahagian besar kandungan konsert masih dirahsiakan, termasuk susunan lagu, konsep visual serta pengisian khas yang dirancang khusus untuk peminat.
Konsert ini secara asasnya membawa tema Peace, Love, Rindu, satu tema yang dekat dengan jiwa dan karya Ella sepanjang lebih tiga dekad dalam industri muzik. Namun, Ella memberi bayangan bahawa tema tersebut hanyalah gambaran permukaan kepada apa yang bakal disajikan pada malam konsert nanti.
“Banyak perkara masih kami simpan. Setakat ini, kami hanya boleh kongsi tema. Selebihnya kami mahu ia menjadi kejutan kepada mereka yang hadir,” katanya.
Paling mencuri perhatian, Ella mendedahkan bakal ada dua pengisian istimewa daripada dua bintang lagenda hidup, masing-masing daripada dua genre muzik berbeza, yang hanya akan diumumkan secara rasmi pada malam konsert berlangsung.
Pendedahan ini sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat, dengan ramai mula meneka siapakah lagenda yang bakal muncul serta bagaimana kolaborasi lintas genre tersebut akan diterjemahkan di atas pentas berskala stadium.
Langkah menyimpan kejutan ini dilihat sebagai strategi yang berani, namun sejajar dengan karakter Ella yang sentiasa mencipta detik luar jangkaan dalam perjalanan seninya.
Tiket Tinggal 10 Peratus, Persiapan Konsert Masuk Fasa Kritikal

Sambutan luar biasa peminat terhadap konsert Rock Queen terbukti apabila 90 peratus tiket telah terjual, dengan baki hanya 10 peratus sahaja yang masih tersedia untuk peminat yang belum mendapatkan tempat.
Dengan angka tersebut, dianggarkan lebih 50,000 peminat bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, dan sekiranya tiket berjaya dijual sepenuhnya, jumlah kehadiran dijangka mencecah hampir 60,000 orang, menjadikan konsert ini antara acara muzik terbesar tahun ini.
Selari dengan jualan tiket yang hampir mencecah tahap maksimum, Ella memaklumkan bahawa persiapan konsert kini berada dalam fasa penting, dengan latihan telah mencapai lebih 60 peratus.
Menurutnya, proses susun atur konsert berjalan lancar hasil kerjasama erat antara pasukan Rock Queen dan Hitman, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam penyumbangan idea dan perancangan teknikal.
“Dari segi susun atur konsert, saya tak pening. Alhamdulillah, kami ada pasukan yang sangat bagus. Proses idea pun sangat bekerjasama. Bila team Rock Queen dan team Hitman bergabung, hasilnya jadi sangat baik,” ujar Ella.
Dengan baki tiket yang semakin berkurangan, kejutan yang masih dirahsiakan dan persiapan konsert yang hampir ke fasa akhir, Rock Queen bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah peristiwa muzik nasional yang dijangka mencipta sejarah tersendiri.