
Belum puasa, apatah lagi raya, namun TVS sudah bersedia menggegarkan tahun 2026 dengan deretan drama baharu dan Pesta Raya yang dirancang lebih awal.
Langkah ini membuktikan strategi TVS yang tidak sekadar menunggu musim perayaan, sebaliknya merancang hiburan jangka panjang untuk kekal relevan di hati penonton.
Pendekatan ini dizahirkan menerusi Sidang Media Rancangan TVS 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur, sekali gus memperlihatkan hala tuju jelas penyiar nasional itu dalam memperkukuh kandungan tempatan menerusi kolaborasi strategik bersama penggiat seni dan kreatif industri hiburan tanah air.
Menariknya, bukan sekadar memperkenalkan judul baharu, TVS tampil dengan perancangan menyeluruh yang menggabungkan elemen hiburan, nilai kekeluargaan serta realiti masyarakat masa kini.
Menurut Ketua Saluran TVS, Mohd Aizal Ibrahim, pengenalan barisan kandungan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik jangka panjang TVS bagi menawarkan rancangan yang segar, relevan dan dekat dengan pelbagai lapisan penonton.
“TVS sentiasa komited untuk membawakan kandungan yang bukan sahaja menghiburkan, malah bermakna sebagai medium penceritaan yang mencerminkan realiti, nilai kekeluargaan serta kepelbagaian budaya masyarakat,” katanya.
Kombinasi Lagenda & Kisah Baharu Jadi Taruhan ‘Drama’ TVS 2026

Antara pengumuman yang paling mencuri perhatian ialah kemunculan semula drama ikonik “Gerak Khas 2.0”, yang bakal bersiaran mulai 23 April 2025. Diterajui oleh Datuk Yusof Haslam, drama ini menghidupkan kembali francais legenda dengan suntikan aksi yang lebih mencabar serta jalan cerita yang disesuaikan dengan landskap jenayah moden.
Tidak terhenti di situ, TVS turut mempertaruhkan drama “Siti in the City” yang akan mula bersiaran pada 21 April 2025. Dibintangi Sweet Qismina, Adam Lee, Puteri Aisyah, Ameer Dawi, Sharifah Zarina dan Michelle Lungan.
Sebuah drama yang bakal mengetengahkan kisah kehidupan urban moden yang sarat dengan konflik emosi, tekanan kerjaya dan realiti hubungan dalam masyarakat bandar.
Bagi peminat drama berunsur konflik keluarga, “Halalkan Aku” dijadualkan bersiaran pada Jun 2026. Menampilkan Nafiz Muaz, Aniq Durar, Jihaa Sham, Lana Nodin dan Nik Rifaie, drama ini menyentuh isu perkahwinan tanpa rela, dilema kasih sayang serta tekanan sosial yang sering berlaku namun jarang dibicarakan secara terbuka.

Turut menjadi taruhan ialah drama bersiri “Boneka”, yang dibarisi pelakon berkaliber seperti Atiq Azman, Marc Benji, Nafiez Zaidi, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Aleeza Kasim, Sera Melissa, Nina Smith dan Rahim Jailani.
Malah, drama ini dijangka menarik perhatian menerusi penceritaan berlapis yang menyelami sisi gelap emosi dan konflik dalaman manusia.
Manakala “The Trap”, lakonan Shaza Bae, Aidit Noh, Ali Reza dan Fian Ali, membawa penonton menyelusuri dunia penipuan siber dan jenayah dalam talian — satu isu semasa yang semakin meresahkan masyarakat dan relevan dengan perkembangan teknologi hari ini.
Pesta Raya TVS: Raikan Aidilfitri Dengan Hiburan Sarat Nilai Kekeluargaan

Bagi memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, TVS turut memperkenalkan Pesta Raya TVS, sebuah inisiatif khas yang menghimpunkan pelbagai program istimewa untuk tontonan seisi keluarga.
Antara program yang bakal mengisi slot Aidilfitri termasuk ‘3 Mak Dara Musim Kedua’, yang kembali dengan gandingan Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora. Program ini menjanjikan gabungan elemen hiburan, humor dan emosi yang dekat dengan realiti kehidupan keluarga.
Penonton juga bakal disajikan dengan Inspirasi Duniamu & Pesta Raya, Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri, serta filem pendek Raya berjudul ‘Raya Paling Epik’ yang turut disertai muzik video khas sempena perayaan.
Tambah Aizal, keseluruhan barisan program ini dirangka bagi mengukuhkan nilai kebersamaan dan kasih sayang yang menjadi teras sambutan Aidilfitri, di samping memberi ruang kepada bakat kreatif tempatan untuk terus diketengahkan.
“Menerusi Pesta Raya dan program khas ini, TVS berhasrat untuk terus menjadi platform yang menyatukan keluarga dan komuniti, selain memperkukuh peranan kami sebagai penyiar nasional yang relevan dengan kehendak penonton masa kini,” katanya.
Dengan perancangan awal, deretan drama pelbagai genre serta program khas Aidilfitri yang menyeluruh, TVS jelas tidak menunggu musim perayaan untuk bergerak.
Sebaliknya, penyiar nasional ini sudah memanaskan ‘enjin’ lebih awal, bersedia menjadikan Raya 2026 sebagai medan hiburan yang lebih bermakna untuk penonton di seluruh negara.