
Ramadan sering datang dengan cahaya dan harapan. Namun dalam diam, tidak semua hati benar-benar bersedia menyambutnya. Ada yang masih bergelut dengan penyesalan, ada yang mencari ruang untuk kembali memaafkan diri sendiri.
Bagi Black Hanifah, kehadiran Ramadan bukan sekadar detik tahunan yang diraikan, tetapi sebuah peluang kedua yang tidak wajar dipersiakan. Menerusi single terbaharunya, Hadirmu Ramadhan, beliau memilih untuk membuka sisi hati yang lebih jujur dan introspektif menyentuh tentang keinsafan, tentang rindu yang terpendam dan tentang jiwa yang ingin pulang.
Lagu ini bukan sekadar karya bermusim. Ia lahir daripada rasa syukur dan kerinduan terhadap bulan yang sering menjadi titik perubahan buat ramai insan. Dalam dunia yang semakin bising dan pantas, Black mengajak pendengar memperlahankan langkah, menilai diri dan mencari semula sunyi yang mendamaikan.
Ramadan Sebagai Ruang Muhasabah

Menurut Black atau nama sebenarnya Azamuddin Azmi., Hadirmu Ramadhan dibentuk sebagai sebuah karya reflektif, lembut dan penuh pengharapan. Ia bukan lagu yang sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya lebih menyerlahkan dialog hati seorang insan dengan sang penciptaNya.
Inspirasi utama lagu ini datang daripada suasana Ramadan itu sendiri, malam yang hening, doa yang dipanjatkan dalam kesyahduan, serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan penuh barakah ini menghampiri saban tahun.
Bagi Black, Ramadan mempunyai kemampuan luar biasa untuk melembutkan hati manusia, walaupun hanya untuk seketika. Namun dalam seketika itulah sering tercetus kesedaran yang mendalam.
Lirik lagu ini disusun dengan teliti agar mesejnya sampai tanpa rasa berlebihan. Setiap bait digambarkan sebagai suara hati yang jujur, mengungkap keinsafan dan harapan untuk menjadi insan yang lebih baik. Ramadan dalam konteks ini bukan sekadar bulan ibadah, tetapi simbolik terhadap peluang kedua dan ruang untuk kembali kepada fitrah hamba.
Kolaborasi Dua Jiwa, Satu Rasa

Menariknya, proses penulisan Hadirmu Ramadhan tidak berlaku secara terancang. Ketika Black memperdengarkan demo awal kepada sahabat karib yang juga rakan artis Hazama, satu perbincangan santai tercetus, sekaligus membuka ruang kepada idea-idea baharu. Hazama, yang menggunakan nama pena Kadok, kemudiannya turut terlibat sebagai penulis lirik bersama.
Gabungan dua perspektif ini menjadikan karya tersebut lebih seimbang dan berjiwa. Melodi yang menenangkan hadir terlebih dahulu sebelum lirik dibentuk secara berperingkat.
Malah, setiap perubahan dibuat dengan pertimbangan emosi dan keserasian bunyi, agar mesej yang ingin disampaikan benar-benar selari dengan rasa yang dibawa dalam Hadirmu Ramadhan.
Mengulas lanjut, tentang cabaran utama yang dihadapi mereka adalah memastikan lagu ini kekal ikhlas dan tidak klise seperti lambakan lagu sedia ada, ini respon Black.
“Lagu bertemakan Ramadan sering terdedah kepada pengulangan idea dan ungkapan yang sama. Justeru, pendekatan yang diambil kali ini lebih bersifat peribadi dan introspektif dengan menumpukan kepada pengalaman serta renungan sebenar dalam kehidupan saya,” ujarnya.
Peluang Kedua Yang Tidak Wajar Disia-siakan

Black melihat bulan ini sebagai peringatan bahawa masa tidak pernah berhenti berjalan. Setiap Ramadan yang tiba adalah peluang untuk memperbaharui niat dan menyucikan hati. Lagu ini menjadi pengingat lembut bahawa kehadiran Ramadan tidak seharusnya berlalu tanpa makna.
“Secara tersirat, Hadirmu Ramadhan membawa mesej tentang peluang yang mungkin tidak datang berkali-kali.
Ramadan digambarkan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya, mengajak manusia untuk memperbaiki diri, memaafkan kesilapan lalu dan memulakan langkah baharu,” katanya.
Tambahnya lagi, proses penghasilan lagu ini mengambil masa beberapa minggu untuk disiapkan sepenuhnya, meskipun idea asalnya telah tercetus sejak setahun lalu. Dari penulisan lirik, susunan muzik hingga ke sesi rakaman, semuanya dilakukan dengan teliti demi memastikan mesej yang dibawa benar-benar dirasai.
Hadirmu Ramadhan bakal mula distrim di semua platform penstriman muzik digital pada 24 Februari 2026. Sementara itu, video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ bermula 20 Februari 2026 jam 3 petang.
Dalam kesederhanaannya, lagu ini membawa satu peringatan yang mendalam bahawa setiap insan sentiasa diberi ruang untuk kembali. Dan mungkin, Ramadan kali ini adalah peluang kedua yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja.