
Ada doa yang tidak perlu panjang untuk menyentuh hati. Cukup satu ayat yang lahir daripada jiwa rapuh yang sedang diuji.
Dalam suasana Ramadan yang penuh pengharapan, luahan penyanyi dan pelakon Elyana menerusi hantaran di laman sosial miliknya baru-baru ini, membuat ramai terdiam dengan linangan air mata. Bukan kerana sensasi, tetapi kerana kejujuran seorang wanita tabah, menjalani kemoterapi akibat kanser limfoma.
Dalam hantaran berkenaan Elyana mengakui dia memahami kemungkinan yang sedang dihadapinya. Namun sebagai manusia, dia masih berharap untuk diberi sedikit lagi waktu untuk menikmati hari-hari yang ada sebelum semuanya menjadi kenangan.
“Aku Masih Ingin Tinggal Sedikit Lebih Lama”
Dalam luahannya, Elyana tidak berselindung tentang hakikat bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui sang pencipta. Namun sebagai manusia, keinginan untuk terus bernafas dan mencipta memori tidak pernah padam.
“Sebenarnya aku sudah faham arah akhirnya ke mana, tapi aku masih ingin tinggal sedikit lebih lama. Menikmati sisa cerita sebelum semuanya benar-benar jadi kenangan.”
Ayat ringkas, tetapi penuh makna tersirat. Ia bukan sekadar tentang penyakit. Ia tentang perjuangan seorang ibu, seorang isteri dan seorang insan yang masih punya harapan, yang berani meraih mimpi untuk tetap bangun melihat hari esok.
Lebih menyayat hati apabila dia turut berkongsi tentang ubat tahan muntah berharga RM450 yang perlu diambil, selain titisan ubat kemoterapi yang menjadi sebahagian daripada rutin rawatannya.
Malah, demi memperjuangkan kesihatan, dia juga terpaksa meninggalkan puasa, satu pengorbanan yang pasti bukan mudah dalam bulan Ramadan.
Namun di sebalik ujian fizikal dan emosi, Elyana tetap memilih untuk berkongsi kisahnya sebagai sumber kekuatan buat orang lain.
“Semoga menjadi semangat untuk mereka yang memerlukan. Saya tidak akan mampu tolong semua orang, maafkan saya,” tulisnya.
Sokongan Rakan Selebriti & Doa Warganet Mengiringi

Perkongsian tersebut segera dibanjiri doa dan kata-kata semangat daripada rakan industri serta warganet. Ramai yang melihat Elyana bukan sekadar penyanyi lagu Diriku Tapak Sulaiman dan Kalis Rindu, tetapi simbol ketabahan.
Rakan artis, Datuk Ziela Jalil menitipkan pesanan agar Elyana tidak pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH dan mendoakan kesembuhan segera.
Manakala, Datuk Ayu Puteh pula menyatakan keyakinan bahawa ALLAH sentiasa menyayanginya.
Ratu rock negara, Ella turut memberi kata-kata positif bahawa tiada yang mustahil dengan izin-Nya, manakala Linda Rafar berharap keajaiban akan hadir.
Sokongan moral seperti ini mungkin tidak menghilangkan kesakitan fizikal yang dialami Elyana, bahkan menjadi penguat jiwa. Dalam dunia hiburan yang dipenuhi persaingan, momen sebegini memperlihatkan sisi kemanusiaan yang jarang disorot.
Disember lalu, Elyana pernah berkongsi detik menyentuh hati apabila dia mencukur rambut dengan bantuan anak-anaknya. Momen itu bukan sekadar simbol perubahan fizikal akibat kemoterapi, tetapi lambang penerimaan dan kekuatan sebuah keluarga yang berdiri teguh bersama.
Lebih Sedekad Berjuang, Cinta Jadi Kekuatan

Untuk rekod, Elyana mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma tahap empat ketika menyertai program Gegar Vaganza pada 2017. Ketika itu, pengakuannya mengejutkan ramai kerana selama lebih 11 tahun dia menyimpan rahsia tersebut.
Ada satu ketika, dia berkongsi khabar gembira bahawa dirinya bebas daripada kanser. Namun atas saranan doktor, rawatan kemoterapi tetap diteruskan sebagai langkah berjaga-jaga. Kini, ujian itu datang kembali dan dia sekali lagi memilih untuk berdepan dengan berani.
Di belakangnya, berdiri keluarga yang menjadi sumber kekuatan untuk terus hidup. Elyana mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Cinta Sumayyah yang kini berusia 15 tahun. Pasangan itu juga mempunyai seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani, 6 tahun.
Pada setiap perjuangan pesakit kanser, keluarga adalah nadi dan tonggak utama. Bagi Elyana, jelas bahawa cinta daripada suami dan anak-anak menjadi asbab untuk terus bertahan walau sekuat mana ujian yang menimpa.
Ramadan adalah bulan doa, bulan pengharapan, bulan keajaiban dan di celah jutaan doa yang dipanjatkan umat Islam di seluruh dunia, terselit satu doa seorang wanita bernama Elyana agar dirinya diberi sedikit lagi waktu.
Moga doa itu, pada Ramadan yang mulia ini, termakbul.