
Bagaimana rasanya apabila suara kita tidak didengari — dan emosi itu akhirnya diterjemahkan menerusi muzik?
Persoalan itu menjadi nadi kepada Bersuara, single terbaharu kumpulan band popular tempatan, Insomniacks, yang tampil lebih berani menerusi kolaborasi bersama artis hip hop alternatif, Yonnyboii.
Kali ini, Insomniacks tidak lagi bermain selamat dengan balada emosi yang sinonim dengan identiti mereka sebelum ini. Sebaliknya, Bersuara hadir sebagai sebuah karya yang lebih berat, agresif dan lantang, bukan sahaja dari sudut bunyi, malah mesej yang dibawa.
“Bersuara” Luahan Emosi Insomniacks Tentang Berani Mempertahankan Diri

Bersuara menandakan satu fasa baharu buat kedua-dua artis apabila mereka memilih untuk menyelami sisi emosi yang dekat dengan realiti ramai — tentang keberanian mempertahankan harga diri, menyuarakan perasaan dan tidak lagi berdiam diri apabila dipinggirkan.
Menurut Insomniacks, lagu ini lahir daripada pengalaman peribadi yang sarat dengan tekanan emosi serta perasaan tidak didengari. Ia mewakili situasi di mana suara seseorang seolah-olah diketepikan, sama ada dalam hubungan, persekitaran kerja mahupun kehidupan sosial.
“Lagu ini tentang berdiri untuk diri sendiri, terutama apabila berdepan dengan penindasan atau buli. Ia tentang tahu nilai diri dan berani bersuara,” jelas Insomniacks, merangkumkan inti pati utama Bersuara.
Dari segi susunan muzik, Bersuara memperlihatkan sisi Insomniacks yang lebih heavy dan gritty, jauh berbeza daripada lagu-lagu balada lembut yang sering dikaitkan dengan nama mereka.
Walaupun elemen emosi masih menjadi tunjang utama, kali ini ia disalurkan menerusi bunyi yang lebih tegas, dinamik dan lantang. Sekaligus mencerminkan kematangan serta keberanian mereka bereksperimen dengan identiti muzik yang lebih luas.
Perkembangan ini sekali gus membuktikan kematangan insomniacks sebagai sebuah band yang tidak takut untuk berevolusi. Dalam landskap muzik tempatan yang semakin kompetitif, keberanian untuk keluar daripada zon selesa dilihat sebagai langkah penting untuk kekal relevan dan jujur dengan perjalanan seni sendiri.
Bersuara bukan sekadar lagu baharu, tetapi refleksi kepada perubahan perspektif serta keberanian untuk menyampaikan sesuatu yang lebih tulen dan berterus terang.
Malah, dalam masa sama lagu ini juga membuka lembaran baharu buat insomniacks dan Yonnyboii, apabila kedua-duanya tampil sebagai suara kepada mereka yang pernah merasa terpinggir, tidak didengari, atau memilih untuk berdiam diri terlalu lama.
Kolaborasi Insomniacks & Yonnyboii Jadikan Elemen Rock Alternatif Lebih Berat

Kolaborasi bersama Yonnyboii menjadi nadi penting kepada keseluruhan lagu Bersuara. Kehadiran Yonnyboii bukan sekadar sebagai artis undangan, tetapi sebagai elemen yang melengkapkan naratif dan tenaga lagu ini.
“Yonny ialah jiwa kepada lagu ini. Dia menulis hook dan membawa satu energi yang mentah dan berani. Dia menambah ‘grittiness’ yang menjadikan Bersuara lebih hidup,” kata Insomniacks mengenai kolaborasi tersebut.
Bagi Yonnyboii pula, Bersuara merupakan sebuah luahan peribadi yang sangat dekat dengan dirinya. Lagu ini tercetus daripada pengalaman apabila dia merasakan suaranya tidak didengari oleh segelintir pihak, sekali gus mendorongnya menjadikan muzik sebagai medium meluahkan perasaan.
Lagu “Bersuara” Bawa Mesej Anti Buli & Seruan Untuk Berani Bersuara

Menariknya, menerusi Bersuara, Yonnyboii turut memperlihatkan sisi vokal yang lebih berteraskan rock dan alternatif. Ini berbeza daripada gaya rap yang sinonim dengan namanya sebelum ini. Peralihan ini membuka ruang kepada pendengar untuk mengenali sisi lain dirinya sebagai seorang pemuzik.
“Saya sebenarnya lebih lama menjiwai muzik alternatif berbanding rap. Jadi bila masuk ke genre rock ini, saya rasa lebih selesa. Bagi saya, ini satu fresh start untuk berkongsi sisi lain diri saya dengan pendengar,” jelasnya.
Melalui Bersuara, Insomniacks dan Yonnyboii berharap lagu ini dapat memberi impak positif kepada pendengar, khususnya generasi muda hari ini. Besar harapan agar lagu ini menjadi ruang selamat untuk meluahkan emosi, selain menyampaikan mesej tegas mengenai kesan buruk buli dan penindasan dalam apa jua bentuk.