
Dunia seni sering dilihat indah dari jauh, namun bagi penyanyi dan komposer muda Nami Harez, perjalanan sebenar yang dilaluinya jauh lebih mencabar daripada apa yang disangka.
Di sebalik bakat besar dan karya berkualiti yang pernah mencetus fenomena, Nami akui dia pernah berdepan episod hitam melibatkan penipuan, ketidakjujuran dan diskriminasi sepanjang bergelar anak seni.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya ‘Terindah Akhirnya’, Nami tampil terbuka menceritakan sisi perjalanannya sebagai anak seni yang jarang didengar umum.
Karya Dicuri & Janji Manis Yang Tak Tertunai

Mengimbau kembali pengalaman pahit sebagai anak seni, Nami mengakui bahawa lagu ciptaan hasil titik peluhnya pernah dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
“Bila seorang pengkarya mencipta lagu, dia macam jaga bayi sendiri. Tapi bila ‘anak’ yang kita jaga hilang macam tu je… memang sakit.
Karya bagi saya adalah anak. Bila dicuri, rasa macam hilang anak. Kita jaga elok-elok, tapi orang lain guna untuk kepentingan diri,” luahnya.
Katanya lagi, proses mendapatkan ilham bukanlah semudah yang di sangka. Lebih mengecewakan apabila hasil kreativiti itu dimanipulasi oleh pihak yang hanya pandai menabur janji.
Nami Pernah Ditolak Kerana Tidak ‘Cukup Pakej’
Dalam pada itu, Nami turut mendedahkan pengalaman paling mematahkan semangatnya — apabila bakatnya pernah dipandang sepi hanya kerana faktor fizikal.
“Saya pernah tak dipandang sebab tinggi saya kurang. Saya nak tanya… Judika tinggi ke? Bruno Mars tinggi? Abang Brahim yang berlakon Hollywood tu tinggi ke?
Seni ni tentang bakat, bukan rupa. Kalau nak jadi penyanyi, buat cara penyanyi. Kalau nak viral… pergilah cari viral,” tegasnya.
Bagi Nami, seni mesti berdiri atas kejujuran dan kemampuan, bukan penilaian luaran.
Bangkit Demi Ibu, Harap ‘Terindah Akhirnya’ Tembus Pasaran Indonesia!

Selepas pelbagai episod kecewa, Nami akhirnya memilih untuk bangkit semula — dan punca kekuatannya adalah ibunya sendiri.
“‘Terindah Akhirnya’ diinspirasikan oleh ibu. Sama macam lagu pertama saya, ‘Dewinda’. Mak yang pujuk saya. Hanya ibu tahu macam mana nak sentuh hati anak dia,” katanya dengan nada penuh emosi.
Bercerita tentang hala tuju single terbaru, Nami optimis bahawa karya ini mampu menembusi pasaran negara jiran Indonesia.
“Saya target lagu ini pergi ke negara jiran. Mereka suka vibe lagu-lagu lama, dan ‘Terindah Akhirnya’ memang ada elemen tu.
Teruskan sokong karya lokal, terutama penyanyi tempatan,” ujarnya.
Menyentuh tentang perancangan masa hadapan, Nami mendedahkan bahawa dia telah bersiap sedia untuk melancarkan sekitar 50 buah lagu pada tahun hadapan.
Selain itu, beberapa kolaborasi bersama artis tempatan dan antarabangsa turut sedang dirangka.
“InshaAllah, 2026 akan jadi tahun kolaborasi. Ada artis Malaysia, dan ada juga dari luar negara.
Saya bagi hint sikit… saya bakal berduet dengan penyanyi dari Indonesia,” katanya.
TRIVIA MENARIK NAMI HAREZ
Untuk yang baru mengenali sosok berbakat ini, berikut beberapa trivia menarik tentangnya:
Nama sebenar Muhammad Harith Najmi, namun lebih mesra disapa sebagai Nami Harez. Bukan setakat mempunyai bakat dalam seni suara, tetapi bintang muda berusia 29 tahun yang lahir pada tanggal 3 September 1996 ini juga berbakat sebagai Komposer dan Penulis Lirik.
Sebelum nekad untuk berkecimpung sepenuhnya dalam bidang nyanyian tanah air, Nami Harez pernah aktif sebagai pelakon dalam beberapa drama dan telefilem sejak tahun 2015 lagi.
Namun, titik tolak yang membuatkan Nami nekad menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang seni suara adalah, apabila lagu ciptaan dan nyanyian beliau untuk bagi OST drama Sara Sajeeda menjadi FENOMENA dan Hit pada 2019.
Sejak dari itu, Nami Harez banyak terlibat dengan penciptaan lagu dan menyumbangkan suara dalam beberapa buah lagu yang diangkat menjadi OST Drama di Malaysia.
- Lagu Sara Sajeeda : Lagu dan nyanyian Nami sendiri untuk OST Drama Sara Sajeeda (TV3 ). Lagu ni yang diadaptasi dengan sedikit elemen Bollywood.
- Lagu Dewinda: Lagu untuk OST Drama Lelaki Kiriman Tuhan (Slot Raihana di Astro Oasis) pada tahun 2019.
- Lagu Kan Ada Setia (Duet) bersama Asmidar: Merupakan OST Drama Tak Sempurna Mencintaimu ( Slot Akasia,TV3) pada tahun 2021.
- Lagu BARU RAYA! : Nami pernah muncul dengan lagu raya bersama artis lain (Anuar, Farra, Puteri, Deera). dan Nami juga merupakan komposer dan penulis lirik bagi lagu ini.
- Lagu Empati: Lagu nyanyian Jasper Supayah, tapi Nami Harez merupakan pencipta sepenuhnya lagu ini.
- Lagu Ceritera Cinta: OST bagi filem pendek Jalang Itu Ibu Aku.