
Selama ini, nama Wany Hasrita cukup sinonim dengan balada yang menyentuh emosi dan mudah diterima pendengar. Identiti itu membina reputasinya sebagai penyanyi bersuara lunak yang dekat dengan jiwa peminat.
Namun dalam industri muzik yang sentiasa berubah dan bergerak pantas, kekal dengan formula lama bukan lagi pilihan paling selamat. Menerusi Lembayung Tari, Wany membuat keputusan mencabar untuk tampil berbeza, mempertaruhkan sisi lain Wany Hasrita yang lebih matang dalam refleksi perjalanan seni miliknya.
Dilancarkan pada 6 Februari lalu, single ini memberi gambaran jelas bahawa Wany sedang membuka sebuah lembaran baharu. Percubaannya mengangkat pop etnik kontemporari memperlihatkan kesediaan untuk keluar daripada zon nyaman yang selama ini membentuk identiti dirinya.
Malah, ini bukan langkah yang terlalu selamat, kerana genre ini menuntut kesabaran dan tumpuan untuk benar-benar dihayati dan disampaikan.
Susunan Lapisan Muzik Yang Lebih Halus Dan Teratur

Lembayung Tari tidak dibina untuk memberi kesan segera. Lagu ini berkembang secara perlahan, membina suasana sedikit demi sedikit sebelum membawa pendengar menyelami emosi yang lebih mendalam.
Pendekatan sebegini memperlihatkan perancangan yang rapi, bukannya sekadar memenuhi jadual pelancaran.
Kerjasama bersama Hael Husaini dan Iqie Hugh memberikan nafas yang berbeza kepada karya ini. Susunan muziknya lebih tenang dan teratur, dengan lapisan bunyi yang disusun secara seimbang. Unsur tradisional diserap secara sederhana dan tidak ditonjolkan secara berlebihan, menjadikan ia sebati dengan sentuhan moden yang lebih kontemporari.
Gabungan tersebut menghasilkan suasana etnik yang lembut dengan sedikit nuansa misteri, berbanding balada dramatik yang sering dikaitkan dengan Wany sebelum ini.
Tiada ledakan vokal yang berlebihan atau permainan emosi yang terlalu dramatik. Sebaliknya, penekanan diberikan kepada keseimbangan antara vokal dan muzik.
Pendekatan ini memperlihatkan kematangan dalam cara Wany mengawal penyampaian serta memberi ruang kepada keseluruhan komposisi untuk membentuk pengalaman mendengar, tidak bergantung sepenuhnya pada kekuatan vokal.
Langkah ini sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap identiti baharu Wani Hasrita yang sedang dibentuk yakni lebih tenang, lebih tersusun dan lebih berhati-hati dalam menentukan arah serta halatuju karier seninya.
Senja Sebagai Simbol Peralihan

Dari sudut tema, Lembayung Tari menggunakan detik senja sebagai simbolik peralihan yang mempamerkan antara terang dan gelap, antara kesibukan dan ketenangan. Imej tarian dan cahaya lembayung menjadi metafora kepada perasaan yang tidak selalu diungkapkan secara terus.
Pendekatan simbolik ini memberi ruang tafsiran yang lebih luas kepada pendengar. Ia bukan lirik yang terlalu mendalam, tetapi bersifat reflektif dan membiarkan makna serta mesej yang ingin disampaikan berkembang secara perlahan.
Menurut Wany, lagu ini dekat di hatinya kerana memberi peluang kepada pendengar untuk berhenti seketika, daripada kesibukan harian. Ini seiring dengan mood keseluruhan lagu yang tidak tergesa-gesa dan memberi ruang untuk berfikir sejenak.
Dalam suasana industri yang sering mengejar populariti segera dan capaian digital yang pantas, pendekatan seperti ini boleh dianggap sebagai satu taruhan.
Malah, lagu yang memerlukan masa untuk dihayati mungkin tidak terus menjadi siulan ramai, namun ia mampu membina kelompok pendengar yang lebih menghargai ketelitian dan kehalusan sesuatu karya seni.
Satu Lembaran Baharu Dalam Kerjaya Wany Hasrita

Sejak awal kemunculannya, Wany Hasrita membina nama melalui lagu-lagu yang mudah menyentuh hati. Namun ‘Lembayung Tari’ memperlihatkan kesediaannya untuk tidak terus berada dalam kerangka yang sama.
Percubaan mengangkat pop etnik kontemporari ini memberi gambaran bahawa beliau mahu meneroka ruang kreatif yang lebih luas dan mencabar dirinya sebagai artis. Keluar daripada zon selesa bukan sekadar perubahan gaya, tetapi keputusan yang boleh menentukan hala tuju seterusnya.
Single ini diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management serta diedarkan oleh Universal Music Malaysia. Ia kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.
Sama ada ‘Lembayung Tari’ menjadi titik perubahan atau permulaan kepada fasa penerokaan yang lebih luas, satu perkara pasti Wany Hasrita sedang bereksperimentasi dengan berani mengambil risiko. Meski dalam industri yang sentiasa berubah, keputusan untuk tampil berbeza mungkin menjadi kunci untuk kekal relevan dan berkembang sebagai anak seni.