
Bagi sesetengah orang, rumah ditentukan melalui tempat kelahiran atau darah keturunan. Namun bagi penyanyi pop Perancis India, Salome Das, makna sebuah rumah jauh lebih mendalam daripada sekadar lokasi di dalam pasport.
Dilahirkan di Munich, Jerman, namun membesar di Kuala Lumpur sejak berusia tiga bulan, Salome melalui perjalanan hidup yang unik apabila dirinya dibentuk oleh tiga budaya berbeza iaitu Perancis, India dan Malaysia.
Membesar sebagai seorang “third culture child”, penyanyi ini mengakui perjalanan mencari identiti sendiri bukan sesuatu yang mudah. Dia tidak pernah benar-benar terikat kepada satu budaya sahaja, sebaliknya membawa setiap warna kehidupannya sebagai sebahagian daripada siapa dirinya hari ini.
Segala memori, kerinduan dan penghargaan terhadap negara yang membesarkannya kini diterjemahkan menerusi single solo sulungnya berjudul Back 2 Malaysia, sebuah karya pop penuh nostalgia yang menjadi surat cinta Salome buat Malaysia.
Salome Das Jadikan Malaysia Inspirasi Utama Dalam Single Solo Pertama Back 2 Malaysia

Menerusi Back 2 Malaysia, Salome bukan sekadar menghasilkan sebuah lagu pop musim panas, tetapi membawa pendengar menyelami kembali kenangan yang membentuk dirinya sejak kecil.
Lagu tersebut menggabungkan sentuhan instrumen tradisional Malaysia dan Asia bersama produksi pop global yang moden, menghasilkan sebuah karya yang meraikan pertembungan budaya tanpa melupakan akar asal.
Daripada kenangan terhadap makanan, keindahan alam semula jadi, laut, warna warni kehidupan tropika sehingga rasa kebebasan zaman kecil, semuanya menjadi elemen penting dalam membentuk jiwa lagu tersebut.
Bagi Salome, Malaysia bukan hanya sebuah tempat yang pernah didiami, tetapi sebahagian daripada dirinya yang terus dibawa walau ke mana sahaja dia pergi.
“Tak kira ke mana saya pergi di dunia ini, saya sentiasa membawa Malaysia bersama saya.
“Melalui makanan, budaya, kehangatan, alam semula jadi dan semangat bebas yang sentiasa saya rindui. Bagi saya, Malaysia sentiasa terasa seperti kegembiraan, warna, nostalgia dan rumah,” katanya.
Menurut Salome lagi, Back 2 Malaysia membawa mesej bahawa rumah bukan semestinya tempat seseorang bermula, tetapi sesuatu yang hidup dalam diri mereka melalui pengalaman, memori dan perasaan.
“Lagu ini menangkap perasaan itu, tentang kebebasan, cahaya matahari dan pulang ke tempat yang akan sentiasa kekal dalam diri kita,” luahnya.
Pernah Tinggalkan Dunia Tropika, Salome Das Cari Semula Dirinya

Sebelum hadir dengan Back 2 Malaysia, perjalanan seni Salome sebenarnya sudah bermula lebih awal dan penuh dengan fasa pencarian.
Bekas model Elite itu pernah menetap selama lima tahun di London, jauh daripada suasana tropika yang menjadi sebahagian besar kehidupannya sejak kecil.
Namanya mula mendapat perhatian menerusi lagu Life is Simple yang mencatat lebih 90 juta strim di Spotify, selain membuka peluang kepadanya membuat persembahan di sebuah stadium di Mumbai di hadapan 8,000 penonton.
Namun selepas kejayaan tersebut, Salome tidak terburu buru mengejar populariti semata mata. Sebaliknya, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari arah muzik yang benar benar mencerminkan siapa dirinya sebagai seorang artis.
Tempoh itu digunakan untuk mencari kolaborator yang sesuai, membina visi kreatif dan menghasilkan bunyi yang mampu menyatukan semua sisi identitinya.
Akhirnya, Back 2 Malaysia yang dirakam di Los Angeles pada tahun 2026 menjadi jawapan kepada pencarian tersebut.
Sejak runut bunyi pertama dimainkan, lagu itu memberi perasaan seperti pulang ke tempat yang selama ini menjadi sebahagian daripada dirinya.
Salome Das Mahu Bawa Identiti Asia Ke Pentas Muzik Antarabangsa

Bukan hanya melalui muzik, Salome turut menjadikan penampilan visualnya sebagai cara untuk meraikan kepelbagaian budaya yang membentuk dirinya.
Perhiasan India, batik, sarung dan bindi sering menjadi sebahagian daripada identiti pentasnya. Ia bukan sekadar elemen fesyen, tetapi lambang kebanggaan terhadap akar budaya yang dibawanya.
Dengan imej sebagai gadis tropika abad ke 21, Salome membawa impian lebih besar iaitu memperjuangkan representasi Asia dalam industri muzik global.
Dia berharap kehadirannya mampu membuka lebih banyak ruang buat artis Asia untuk melangkah lebih jauh di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa identiti budaya boleh menjadi kekuatan tersendiri.
Melalui Back 2 Malaysia, Salome bukan sekadar memperkenalkan era baharu dalam perjalanan seninya, tetapi turut meraikan negara yang pernah memberinya kenangan, warna dan rasa memiliki.
Diedarkan oleh Def Jam Malaysia, Back 2 Malaysia kini boleh didengari Havoxians di semua platform penstriman digital.