
Bukan semua penyanyi mendapat peluang untuk berkongsi pentas dengan sebuah kumpulan yang sudah tiga dekad membina legasi di hati jutaan peminat.
Namun buat Marsha Milan, peluang tersebut hadir dengan satu pengiktirafan yang cukup bermakna apabila namanya bukan sekadar dipilih sebagai artis jemputan, sebaliknya menjadi pilihan sendiri anggota Ungu.
Selepas 30 tahun perjalanan seni, kumpulan legenda Indonesia itu pastinya tidak memilih sembarangan individu untuk bersama mereka meraikan sebuah malam yang penuh dengan sejarah, memori dan emosi.
Lebih istimewa, pemilihan Marsha dibuat kerana mereka melihat sesuatu yang selari dengan jiwa muzik mereka iaitu kekuatan vokal, karakter dan kemampuan menyampaikan lagu sehingga mampu menyentuh perasaan pendengar.
Konsert “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” bakal berlangsung pada 5 September 2026 bertempat di Idea Live Arena dan dijangka menjadi antara persembahan paling peribadi sepanjang karier kumpulan tersebut.
Marsha MilanPilihan Ungu Kerana Kekuatan Vokal Dan Emosi

Mengumumkan Marsha sebagai artis jemputan khas, band legenda itu mendedahkan pemilihan tersebut bukan dibuat secara kebetulan sebaliknya kerana mereka melihat keistimewaan tersendiri pada penyanyi berkenaan.
Sepanjang perjalanan seninya, Marsha dikenali sebagai antara penyanyi wanita tempatan yang memiliki kemampuan menyampaikan lagu dengan penuh rasa dan emosi.
Kekuatan itulah yang menarik perhatian, kerana konsep konsert ulang tahun ke 30 mereka kali ini bukan hanya tertumpu kepada persembahan semata mata, tetapi turut membawa penonton menyelami perjalanan penuh kenangan sejak awal kemunculan mereka.
“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini.
“Kami benar benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata Ungu.
Gabungan Ungu dan Marsha juga dijangka menghadirkan sebuah persembahan yang sarat dengan emosi, terutama apabila kedua duanya cukup dikenali dengan lagu yang dekat dengan kisah cinta, kehidupan dan kenangan pendengar.
Ungu Bawa Peminat Imbau Perjalanan Muzik Tiga Dekad

Sementara itu, konsert istimewa ini bakal menjadi hadiah buat peminat yang membesar bersama karya mereka sejak kumpulan tersebut mula menempa nama dalam industri muzik Nusantara.
Dengan deretan lagu popular seperti “Demi Waktu”, “Tercipta Untukku”, “Seperti Yang Dulu” dan “Cinta Dalam Hati”, berjaya membina hubungan istimewa bersama pendengar yang terus setia mengikuti perkembangan mereka sehingga hari ini.
Lebih menarik, persembahan kali ini akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu “The Birth”, “The Peak” dan “The Legacy” bagi membawa peminat menyelusuri setiap fasa penting perjalanan seni mereka.
Daripada kisah awal perjuangan sehingga menjadi antara nama terbesar dalam industri muzik serantau, setiap bahagian dirancang dengan elemen penceritaan, visual serta susunan muzik yang lebih mendalam.
Menurut pihak penganjur, sambutan terhadap konsert ini juga amat memberangsangkan apabila jualan tiket telah mencecah 50 peratus sejak pengumuman rasmi dibuat.
Permintaan tinggi daripada peminat turut menyaksikan perancangan untuk membuka beberapa kategori tempat duduk baharu dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menyaksikan persembahan bersejarah ini.
Kolaborasi Ungu Dan Marsha Milan Dijangka Meledak!

Pengarah Konsert, En. Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio berkata, pihaknya mahu memastikan konsert kali ini memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada peminat.
Menurutnya, “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” bukan hanya sebuah persembahan muzik biasa, tetapi merupakan penghargaan terhadap hubungan panjang bersama mereka yang setia menyokong karya kumpulan tersebut.
“Sejak pengumuman konsert ini dibuat, kami menerima reaksi yang sangat luar biasa daripada peminat. Keterujaan itu semakin terasa dari semasa ke semasa dan kami sendiri tidak sabar untuk menyaksikan malam tersebut menjadi kenyataan.
“Apa yang boleh kami katakan, ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tetapi sebuah malam yang meraikan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara kami dan peminat di Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut percaya kehadiran Marsha bakal menjadi antara kejutan yang memberi nilai tambah kepada keseluruhan persembahan.
“Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa.
“Kami percaya penonton akan dapat menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi juga penuh ‘chemistry’ dan emosi,” ujarnya.
Selain persembahan bersama Marsha Milan, beberapa lagi kejutan eksklusif turut dirancang untuk diumumkan menjelang hari konsert bagi menjadikan malam tersebut lebih istimewa.
Buat Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan tiga dekad dan menyaksikan sendiri gabungan istimewa bersama Marsha Milan, tiket “Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur” boleh didapatkan sekarang menerusi pautan rasmi pembelian tiket di ILASSO & FANTOPIA.
