
Ada nama yang tidak perlu terlalu bising untuk kekal relevan. Walaupun industri hiburan silih berganti menerima kehadiran wajah baharu, Yusry Abdul Halim membuktikan perjalanan seni yang dibina lebih tiga dekad lalu masih mempunyai ruang untuk terus berkembang.
Menariknya, ketika namanya kembali menjadi sebutan ramai menerusi fenomena watak Dato’ Muzaffar dalam drama popular Dendam Seorang Mentua, Yusry memilih satu lagi langkah berani dengan kembali kepada cinta pertamanya iaitu muzik.
Bukan bersama KRU, bukan sekadar muncul sebagai figura nostalgia, tetapi kali ini sebagai seorang penyanyi solo yang membawa sisi lebih matang tentang kehidupan, cinta dan perjalanan usia.
Selepas lebih 20 tahun sejak kemunculan single solo terakhirnya Dekat Padamu pada tahun 2003, Yusry kini membuka bab baharu menerusi lagu Jiwa & Raga yang diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia.
Kembalinya Yusry bukan sekadar tentang melancarkan sebuah lagu baharu, tetapi menjadi simbol bagaimana seorang anak seni terus mencari ruang berekspresi walaupun sudah berada pada tahap yang ramai anggap sebagai lengkap.
Selepas 20 Tahun Menyepi Sebagai Penyanyi Solo, Yusry KRU Kembali Dengan Cerita Yang Lebih Matang

Sepanjang lebih tiga dekad dalam industri hiburan, nama Yusry cukup sinonim dengan pelbagai kejayaan sama ada sebagai penyanyi, komposer, pengarah mahupun penerbit.
Namun untuk kembali menyampaikan sebuah karya solo selepas tempoh yang begitu panjang, penyanyi berkenaan mengakui Jiwa & Raga mempunyai sesuatu yang membuatkannya tertarik sejak kali pertama mendengar demo lagu tersebut.
Menurut Yusry, kekuatan utama karya ciptaan dan tulisan Luca Sickta itu bukan sekadar terletak pada melodi, tetapi emosi yang dibawa menerusi setiap bait lirik.
“Bila saya dengar demo lagu ini buat pertama kali, saya terus rasa ada sesuatu yang sangat jujur dalam melodi dan liriknya. Ia bukan sekadar lagu cinta biasa, ia ada rasa kehilangan, pengorbanan dan ketulusan yang dekat dengan kehidupan sebenar,” katanya.
Bagi Yusry, Jiwa & Raga membawa gambaran sebuah cinta yang diberikan sepenuhnya tanpa syarat.
“Bagi saya, lagu ini menggambarkan seseorang yang mencintai dengan sepenuh hati, bukan separuh jalan, dan bukan sekadar kata-kata. Apabila seseorang sanggup memberi Jiwa & Raga, itu adalah tahap cinta yang paling dalam,” ujarnya.
Walaupun sudah memiliki pengalaman luas sebagai penyanyi, Yusry mengakui cabaran terbesar ketika merakamkan lagu tersebut bukan tentang kemampuan vokal semata mata.
Sebaliknya, beliau mahu memastikan pendengar dapat merasai kejujuran emosi yang cuba disampaikan.
“Lagu ini tidak memerlukan nyanyian yang terlalu besar atau berlebihan. Cabaran sebenar adalah untuk buat pendengar percaya pada setiap rasa yang disampaikan. Kadang-kadang emosi yang paling perlahan itulah yang paling kuat,” jelasnya.
Daripada Pentas Lakonan Ke Studio Rakaman, Aura Dato’ Muzaffar Bawa Perhatian Baharu Kepada Yusry

Kemunculan semula Yusry dalam muzik hadir pada waktu yang cukup menarik apabila beliau turut menjadi perhatian menerusi watak Dato’ Muzaffar dalam drama Dendam Seorang Mentua.
Karakter tersebut mencetuskan fenomena tersendiri dalam kalangan penonton sekali gus membuktikan daya tarikannya sebagai seorang penghibur masih kuat walaupun selepas puluhan tahun berada dalam industri.
Namun di sebalik populariti watak tersebut, Jiwa & Raga memperlihatkan sisi berbeza Yusry yang lebih peribadi dan dekat dengan pengalaman kehidupan sebenar.

Menurutnya, mesej yang dibawa lagu berkenaan tidak hanya terhad kepada kisah percintaan, sebaliknya menyentuh tentang perasaan yang pernah dilalui ramai orang termasuk kehilangan, kerinduan dan pengorbanan.
“Siapa sahaja yang tidak pernah melalui pengalaman mencintai, merindui atau kehilangan seseorang dalam hidup? Saya rasa itulah yang menjadikan lagu ini dekat dengan ramai orang.
“Emosi yang ada dalam Jiwa & Raga bukan milik seorang individu sahaja, tetapi sesuatu yang boleh dirasai oleh sesiapa sahaja,” katanya.
Dalam memastikan karya tersebut sampai kepada pendengar, Yusry memilih pendekatan lebih natural dan tidak mahu keterlaluan dalam menyampaikan emosi.
“Saya cuba sampaikan lagu ini dengan sejujur mungkin. Bagi saya, lagu seperti ini tidak memerlukan nyanyian yang berlebihan kerana kekuatannya sudah ada pada cerita dan emosinya. Saya hanya mahu pendengar dapat rasakan setiap bait lirik itu dengan cara mereka sendiri,” tambahnya.
Sentuhan Luca Sickta Beri Nafas Baharu Kepada Perjalanan Seni Yusry Abdul Halim

Selain menjadi penanda kembalinya Yusry sebagai penyanyi solo, Jiwa & Raga turut menemukan beliau dengan sentuhan kreatif Luca Sickta yang sebelum ini dikenali sebagai penyanyi rap dan penulis lagu berbakat.
Yusry memuji kemampuan Luca menghasilkan karya yang bukan sahaja mudah diterima pendengar, tetapi mempunyai kekuatan emosi tersendiri.
“Luca ada kelebihan menghasilkan melodi yang terus masuk bila kita dengar, tapi pada masa sama dia sangat bijak bermain dengan emosi dalam penulisan lirik. Itu yang menjadikan Jiwa & Raga lebih istimewa,” katanya.
Sementara itu, Luca mendedahkan bahawa beliau sudah membayangkan suara Yusry sejak awal proses penciptaan lagu tersebut kerana merasakan penyanyi itu mempunyai karakter yang sesuai untuk membawa karya berkenaan.
“Saya mahu Jiwa & Raga kedengaran jujur dan dekat dengan kehidupan sebenar. Lagu ini berkisar tentang cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang ramai pernah lalui.
“Sejak awal lagi, saya dapat membayangkan Yusry menyampaikan emosi itu dengan cara yang sangat tulus dan bermakna,” jelas Luca.
Selepas melalui pelbagai fasa dalam dunia hiburan, Jiwa & Raga menjadi antara karya solo paling bermakna buat Yusry kerana ia hadir pada waktu berbeza dalam kehidupannya sebagai seorang anak seni.
“Saya harap lagu ini dapat menemani mereka yang sedang melalui rasa kehilangan, kesetiaan atau pengorbanan dalam cinta. Kadang-kadang kita cuma perlukan sebuah lagu untuk faham bahawa setiap perasaan itu pernah dirasai oleh orang lain,” katanya.
Havoxians boleh mendengar single Jiwa & Raga kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.