
Bayangkan satu hari nanti, sebuah lagu baharu muncul dengan suara mirip penyanyi kegemaran anda. Melodinya menyentuh hati, liriknya kedengaran penuh emosi, tetapi persoalannya, bagaimana jika semua itu sebenarnya bukan lahir daripada manusia?
Di saat teknologi Kecerdasan Buatan atau AI semakin bijak meniru dan menghasilkan karya, legenda muzik negara, Datuk M. Nasir tampil membawa satu persoalan besar tentang masa depan seni. Apakah nilai sebuah lagu masih sama jika ia kehilangan sentuhan jiwa penciptanya?
Bagi figura yang sudah puluhan tahun membentuk landskap muzik itu, karya bukan sekadar gabungan melodi dan perkataan. Ia membawa pengalaman hidup, budaya, perjuangan serta identiti seseorang manusia.
Justeru, M. Nasir bersama Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) kini menggesa perlindungan lebih kukuh terhadap hak cipta bagi memastikan kreativiti manusia tidak tenggelam dalam kepantasan dunia teknologi.
M. Nasir Tegaskan Sentuhan Manusia Tidak Mampu Diganti Sepenuhnya Oleh Mesin

Menurut M. Nasir, sesebuah karya ada nilai yang jauh lebih mendalam kerana ia lahir daripada pengalaman sebenar manusia.
“Hak cipta merupakan hak pencipta yang berakar umbi dalam pengalaman hidup manusia, dibentuk oleh keperibadian, emosi dan imaginasi yang hanya dimiliki oleh manusia.
“Ia harus mengiktiraf karya yang lahir daripada minda manusia, di mana kreativiti bukan sekadar output atau penjanaan kandungan, ia merupakan ungkapan memori, budaya, perjuangan dan identiti,” katanya.
Tidak menolak kemajuan teknologi, M. Nasir mengakui AI akan terus berkembang dan mampu membantu dalam proses kreatif.
Beliau berpandangan bahawa elemen paling penting dalam sesebuah karya seperti niat, emosi dan makna sebenar masih datang daripada manusia.
“Walaupun teknologi akan terus berkembang dan membantu proses kreatif, kepengarangan sebenar kekal berasaskan niat dan makna manusia, yang mana mesin tidak dapat meniru atau menterjemahkannya secara sebenar,” jelasnya.
Pandangan tersebut hadir ketika industri muzik global sedang berdepan perdebatan besar tentang penggunaan lagu, suara artis dan karya kreatif sebagai bahan latihan kepada sistem AI.
Malaysia Music Rights Alliance (MMRA) turut menyuarakan kebimbangan sekiranya teknologi berkenaan digunakan untuk menghasilkan kandungan baharu berdasarkan karya asal tanpa pengetahuan, persetujuan atau bayaran yang adil kepada pencipta.
Menurut MMRA, perlindungan lebih kukuh diperlukan bagi memastikan pencipta lagu, penyanyi, pemuzik, penerbit rakaman dan semua pemegang hak cipta tidak terkesan akibat eksploitasi teknologi baharu itu.
Industri Muzik Malaysia Mahu Perlindungan Lebih Tegas Terhadap Hak Cipta Dalam Era Digital

Antara langkah mempertahankan ekosistem kreatif tempatan, MMRA telah menghantar surat bersama kepada Perdana Menteri serta beberapa pihak termasuk Menteri Digital, Menteri Komunikasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, MyIPO serta Pejabat Kecerdasan Buatan Negara.
Surat tersebut membawa mesej jelas berhubung keperluan mewujudkan garis panduan yang lebih kukuh dalam penggunaanya, khususnya apabila melibatkan kandungan berhak cipta.
Antara perkara utama yang diperjuangkan adalah memastikan pembangun digitalisasi ini mendapat kebenaran jelas daripada pemegang hak sebelum menggunakan sebarang karya muzik atau bahan kreatif.
MMRA turut membantah sebarang cadangan yang membolehkan sistem AI menggunakan karya berhak cipta melalui pengecualian Perlombongan Teks dan Data tanpa kebenaran atau pampasan kepada pencipta.
Bagi mereka, karya seni bukan sekadar data untuk diproses, tetapi hasil titik peluh dan kreativiti manusia yang perlu di ambil kira.
Oleh itu, MMRA turut mencadangkan supaya pembangun sistem ini diwajibkan menyimpan rekod bahan yang digunakan dalam latihan sistem mereka bagi memastikan wujud ketelusan dan akauntabiliti.
Masa Depan Seni Bukan Sekadar Teknologi Tetapi Tentang Penghargaan Pencipta

Dalam perkembangan sama, MMRA turut menyokong pelaksanaan pelabelan wajib bagi kandungan yang dijana sepenuhnya oleh kecerdasan buatan.
Langkah itu dianggap penting supaya masyarakat dapat membezakan antara karya yang dicipta manusia dan kandungan yang dihasilkan mesin.
Menurut badan tersebut, pengguna berhak untuk mengetahui asal usul sesuatu kandungan, terutama ketika teknologi seperti deepfake semakin berkembang dan berpotensi mengelirukan orang ramai.
Isu ini bukan hanya tentang seni semata mata, malah turut memberi kesan kepada ekonomi kreatif negara.
Berdasarkan kajian impak ekonomi oleh Price Waterhouse Coopers yang ditugaskan oleh RIM bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik Malaysia menjana output ekonomi tahunan sebanyak RM19.4 bilion, menyokong lebih 111,000 pekerjaan serta menyumbang RM531 juta cukai kepada kerajaan.
Justeru, Havoxians perlindungan hak cipta dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan industri muzik negara terus berkembang dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagi M. Nasir dan warga seni lain, kemajuan teknologi bukan musuh kepada kreativiti. Namun di tengah kehebatan mesin mencipta sesuatu dalam beberapa saat, nilai sebenar sebuah karya tetap kembali kepada perkara paling asas iaitu jiwa manusia di sebaliknya.