
Bukan semua orang yang hadir dalam hidup kita datang dengan niat untuk mencintai. Ada yang sekadar singgah ketika sunyi, kemudian pergi saat hati mula berharap. Perasaan itulah yang cuba diterjemahkan oleh Zynakal menerusi single terbaharunya berjudul NIAT, sebuah lagu yang menyentuh ketakutan untuk membuka hati selepas terlalu banyak kecewa.
Kembali dengan karya yang lebih matang dan emosional, Zynakal membawa pendengar menyelami dilema hubungan yang semakin biasa dialami generasi muda hari ini tentang keikhlasan, trauma dan persoalan sama ada seseorang itu hadir kerana cinta atau hanya mahu mengisi kekosongan sementara.
Gabungan melodi santai, susunan muzik minimal dan lirik yang menyentuh sisi paling rapuh manusia, lagu ini dilihat sebagai antara karya paling jujur pernah dipersembahkan oleh Zynakal sepanjang perjalanan karier seninya.
“Apa niat dalam hati, benarkah aku kau cari, atau cuma mahu isi kekosongan dalam hati.”
Lirik tersebut menjadi titik utama yang mengikat keseluruhan naratif lagu ini. Ia bukan sekadar tentang cinta, tetapi tentang ketakutan untuk mempercayai seseorang selepas melalui pengalaman yang meninggalkan luka.
Zynakal Angkat Realiti Hubungan Tidak Pasti Dalam “NIAT”

Sejak awal kemunculannya dalam industri muzik tempatan, Zynakal dikenali sebagai figura yang mempunyai identiti tersendiri dalam dunia hip hop dan pop urban. Setiap karya yang dihasilkan sering membawa emosi yang dekat dengan kehidupan sebenar, menjadikan muziknya mudah diterima terutama dalam kalangan pendengar muda.
Menerusi NIAT, Zynakal sekali lagi mempertaruhkan penulisan yang lahir daripada pengalaman dan pemerhatian terhadap realiti hubungan masa kini. Lagu ini menggambarkan keadaan seseorang yang mahu mencintai, tetapi pada masa sama masih dihantui trauma lalu.
Apa yang membuatkan lagu ini lebih kuat adalah cara ia disampaikan secara sederhana tanpa perlu terlalu dramatik. Pendengar tidak dipaksa untuk bersedih, sebaliknya dibawa perlahan lahan masuk ke dalam emosi yang mungkin pernah mereka alami sendiri.
Pada masa yang sama, NIAT juga memperlihatkan sisi lebih matang Zynakal sebagai penulis lagu. Jika sebelum ini namanya sering dikaitkan dengan karya yang lebih agresif dan penuh tenaga, kali ini beliau memilih untuk tampil lebih tenang namun tetap meninggalkan kesan mendalam.
Zynakal Dari Komposer Hit Ke Artis Arus Perdana Yang Berpengaruh

Nama Zynakal bukanlah asing dalam industri muzik Malaysia. Sebelum dikenali sebagai penyanyi, beliau terlebih dahulu membina reputasi sebagai komposer dan penerbit rakaman di sebalik beberapa lagu popular tempatan.
Antara karya yang pernah mendapat perhatian ramai termasuk Sabar nyanyian Ismail Izzani, Selamat Tinggal Sayang oleh Haqiem Rusli serta Terasa Cinta nyanyian Fara Hezel dan Aiman Tino.
Karier nyanyiannya pula mula melonjak menerusi single Terbang pada tahun 2018 sebelum fenomena Sakit bersama Yonnyboii meletakkan namanya sebagai antara artis muda paling berpengaruh dalam muzik arus perdana tempatan.
Kejayaan lagu tersebut yang pernah menduduki tangga pertama carta RIM bagi kategori Single Paling Distrim di Malaysia selama lapan minggu berturut turut membuktikan pengaruh besar Zynakal dalam landskap muzik moden tempatan.
Namun di sebalik kejayaan itu, perjalanan seninya juga dipenuhi pelbagai fasa kehidupan yang membentuk dirinya menjadi seorang pengkarya lebih matang dan jujur. Pengalaman itulah yang dilihat banyak mempengaruhi penghasilan NIAT.
Soul Booster Jadi Lambang Dunia Kreatif Zynakal

Selain pelancaran single baharu, Zynakal turut terus mengembangkan identiti kreatifnya menerusi Soul Booster, sebuah jenama yang dibangunkan berdasarkan perjalanan seni dan muziknya sendiri.
Menurut Zynakal, Soul Booster lahir sebagai satu ruang yang menjadi “booster” kepada jiwa pendengar yang menemukan sebahagian diri mereka dalam setiap karya yang dihasilkan.
Jenama tersebut bukan sekadar merchandise rasmi, tetapi juga simbol kepada hubungan lebih dekat antara dirinya dan peminat yang selama ini mengikuti perjalanan muziknya.
Seiring perkembangan karier, Soul Booster kini dirancang untuk diperluaskan ke dalam industri fesyen sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang yang berkembang bersama evolusi seni Zynakal sendiri.
Dengan kekuatan lirik yang relatable, susunan muzik yang mudah melekat dan emosi yang dekat dengan realiti ramai orang, NIAT dilihat mempunyai potensi untuk menjadi antara lagu yang paling mudah “kena” dengan pendengar tahun ini.
Untuk pengetahuan Havoxians, NIAT kini boleh distrim di semua platform digital.