
Ada luka yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Ada juga dendam yang lahir bukan kerana kebencian, tetapi daripada kesedihan yang terlalu lama dipendam.
Itulah emosi yang diterjemahkan penyanyi baharu, Heidi Moru, menerusi lagu Dendam, runut bunyi rasmi filem Nar’sata: Sekutu Setan, sehingga karya itu disifatkannya sebagai lagu paling dekat dengan perjalanan hidupnya sendiri.
Lebih daripada sekadar sebuah OST, Dendam menjadi ruang buat Heidi melepaskan segala rasa yang pernah dipendam, sekali gus menjadikan setiap bait yang dinyanyikan hadir dengan kejujuran yang sukar dipalsukan.
Mengangkat tema kehilangan, kesedihan dan pergolakan jiwa, Dendam bukan sekadar melengkapkan naratif filem, malah menjadi nadi emosi yang menghubungkan perjalanan watak Balqis dengan pengalaman sebenar Heidi.
“Lirik lagu ini sangat dekat dengan apa yang saya sedang rasai. Ia seperti memberi ruang untuk saya meluahkan emosi yang selama ini terpendam dan tidak terucap,” kata Heidi.
Heidi Moru Anggap Dendam Sebagai Lagu Refleksi Perjalanan Hidupnya

Peluang untuk menyampaikan lagu ciptaan komposer Luca Sickta hadir pada waktu yang cukup bermakna buat Heidi. Menurutnya, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran tersebut kerana yakin dengan kredibiliti Luca yang juga pernah menjadi juri Anugerah Lagu Indie.
Katanya, sebaik sahaja mendengar versi demo lagu berkenaan, dia merasakan setiap bait lirik seolah olah menggambarkan apa yang sedang dilaluinya ketika itu.
“Apabila Luca menawarkan saya untuk menyanyikan lagu ini, saya terus melihatnya sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan, lebih lebih lagi kerana saya mengenali kredibiliti beliau sebagai komposer,” katanya.
Keakraban emosi antara penyanyi dan karya itu menjadi kekuatan utama Dendam, sekali gus membolehkan setiap bait yang disampaikan kedengaran lebih jujur dan menyentuh perasaan.
Menurut Heidi, lagu ini bukan hanya memerlukan teknik nyanyian yang baik, tetapi juga kejujuran dalam menyampaikan rasa agar setiap pendengar mampu merasai kesedihan yang ingin disampaikan.
Selami Watak Balqis Demi Menyampaikan Emosi Yang Lebih Nyata

Bagi memastikan penyampaiannya benar benar berkesan, Heidi melakukan persediaan rapi dengan memahami keseluruhan jalan cerita filem Nar’sata: Sekutu Setan.
Watak Balqis yang menjadi nadi utama filem itu digambarkan sebagai seorang wanita yang berdepan pelbagai ujian hidup sehingga kesedihan yang dipendam akhirnya bertukar menjadi dendam.
Sebagai individu yang mengakui dirinya mudah bersimpati terhadap orang lain, Heidi menggunakan sifat empatinya untuk menghayati setiap emosi yang dilalui oleh watak tersebut.
“Balqis ialah karakter yang melalui ujian bertimpa timpa. Sebagai seorang yang sangat empati, saya cuba menyalurkan segala rasa kehilangan, kesedihan dan kemarahan yang terpendam itu ke dalam lagu ini,” ujarnya.
Proses rakaman juga bukan sesuatu yang mudah. Heidi mengakui cabaran terbesar adalah memastikan vokalnya kekal stabil tanpa mengorbankan intensiti emosi yang menjadi kekuatan utama lagu tersebut.
Walaupun teknik vokal yang digunakan tidak asing buat dirinya, Dendam menuntut tahap kawalan pernafasan, stamina dan fokus yang jauh lebih tinggi berbanding lagu lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.
“Lagu ini menyelami emosi yang jarang diluahkan secara terbuka. Jadi, saya perlu memastikan vokal kekal jelas, tetapi dalam masa sama emosi itu sampai kepada pendengar,” katanya.
Heidi Moru Harap Dendam Menjadi Teman Buat Mereka Yang Sedang Terluka

Di sebalik kisah dendam yang menjadi tema utama lagu dan filem, Heidi percaya karya ini sebenarnya membawa mesej yang jauh lebih besar iaitu tentang proses menerima kesedihan sebelum seseorang mampu bangkit semula.
Katanya, setiap manusia pernah menyimpan luka yang sukar diluahkan dan muzik mempunyai kuasa untuk menjadi medium penyembuhan kepada mereka yang memerlukan.
“Kadang kadang kita semua menyimpan rasa sedih yang terlalu berat. Bagi saya, mesej lagu ini adalah tentang menerima kesedihan itu, menghadapinya, dan akhirnya melepaskannya dengan reda kerana setiap yang berlaku sudah diatur oleh Tuhan,” katanya.
Dalam masa sama, Heidi menyifatkan kerjasama bersama Luca Sickta dan seluruh pasukan produksi sebagai pengalaman yang amat bermakna dalam membentuk keyakinannya sebagai anak seni yang masih membina nama.
Menurutnya, segala bimbingan dan sokongan yang diterima sepanjang proses penerbitan lagu itu memberi suntikan semangat untuk terus berkembang dalam industri muzik tempatan.
Heidi turut berharap filem Nar’sata: Sekutu Setan bukan sahaja menghiburkan penonton, malah menyampaikan pengajaran tentang pentingnya memilih sahabat yang baik serta tidak membiarkan dendam menguasai kehidupan.
“Saya berharap penonton menerima lagu ini dengan hati yang ikhlas, dan untuk filem Nar’sata: Sekutu Setan, semoga ia memberi teladan tentang pentingnya memilih kawan yang baik. Saya juga berharap lagu ini akan terus didengari walaupun tayangan filem di pawagam sudah berakhir,” katanya.
Dendam kini boleh distrim Havoxians di semua platform digital utama. Jom hayati sendiri kekuatan vokal Heidi Moru yang berpadu dengan susunan muzik penuh emosi, sekali gus melengkapkan pengalaman menonton Nar’sata: Sekutu Setan menerusi sebuah karya yang sarat dengan rasa kehilangan, harapan dan kelegaan jiwa.