
Bukan semua album mampu bertahan selama tiga dekad. Lebih sukar daripada itu, bukan semua karya masih mampu membuatkan orang kembali menyanyikan setiap lagunya tanpa perlu melihat lirik.
Itulah magis yang dimiliki 1.2 Milligrams, album sulung Butterfingers yang bukan sahaja membentuk landskap muzik alternatif tempatan, malah membesar bersama sebuah generasi.
Kini, selepas 30 tahun, karya ikonik itu kembali dihidupkan menerusi dua showcase eksklusif yang menjanjikan pengalaman penuh nostalgia, emosi dan kejujuran buat peminat lama serta generasi baharu.
Butterfingers Rayakan Tiga Dekad Album Ikonik 1.2 Milligrams Dengan Dua Showcase Istimewa

Dilancarkan pada tahun 1996 ketika gelombang grunge, punk dan muzik alternatif sedang berada di kemuncaknya, 1.2 Milligrams muncul sebagai sebuah karya yang membawa identiti tersendiri. Butterfingers mengambil inspirasi daripada pengaruh muzik antarabangsa ketika itu, namun kekuatan sebenar album ini terletak pada melodi yang kekal relevan sehingga hari ini.
Bagi Butterfingers, menghasilkan muzik bukan sekadar mencipta bunyi yang lantang, sebaliknya membina lagu yang mampu bertahan merentasi zaman dan terus memberi makna kepada pendengarnya.
Sempena ulang tahun ke 30 album bersejarah itu, Butterfingers akan mengadakan dua showcase khas di Odeon KL Event Hall. Persembahan pertama dijadual berlangsung pada 8 Ogos 2026 pada waktu malam, manakala persembahan kedua menyusul pada 9 Ogos 2026 dalam suasana petang yang lebih intim.
Menariknya, peminat bakal disajikan persembahan penuh keseluruhan album 1.2 Milligrams, selain beberapa rakaman demo yang belum pernah dipersembahkan secara langsung sebelum ini.
Menurut vokalis Butterfingers, Emmett, dua showcase itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah pengalaman untuk menghidupkan semula semangat era 90 an.
“Tiga puluh tahun hanya datang sekali. Kami mahu dua showcase ini terasa seperti kembali ke era 90 an. Bukan kerana kami hidup dalam nostalgia, tetapi kerana di situlah semuanya bermula. Bunyi yang kuat. Lagu yang jujur. Orang ramai yang menyanyi bersama.
Kami juga akan memainkan beberapa lagu demo yang hampir tidak pernah dipersembahkan sebelum ini. Ada perkara yang tidak perlu diulang berkali kali. Itulah yang menjadikannya begitu bermakna,” ujarnya.
Odeon Dipilih Kerana Nilai Sejarah Yang Dekat Dengan Perjalanan Butterfingers

Keputusan memilih Odeon sebagai lokasi persembahan bukanlah satu kebetulan. Selepas beberapa produksi berskala besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio, Butterfingers mula merindui suasana persembahan yang lebih dekat dengan peminat.
Mereka mahu kembali merasai pengalaman gig yang lebih kecil, lebih jujur dan lebih mentah seperti ketika awal penubuhan kumpulan itu sekitar tahun 1996.
Bagi Butterfingers, hubungan paling bermakna antara pemuzik dan peminat sering terjalin dalam ruang yang sederhana, tanpa jarak dan tanpa gimik.
Pemilihan Odeon juga mempunyai kaitan rapat dengan sejarah muzik alternatif tempatan. Kawasan sekitar Kompleks Pertama suatu ketika dahulu menjadi lokasi penting buat anak muda mencari kaset, mengenali kugiran baharu dan memulakan kecintaan terhadap muzik rock sebelum kewujudan platform penstriman digital.
Justeru, membawa showcase ke Odeon bukan sekadar soal lokasi persembahan, tetapi satu usaha mengembalikan memori kolektif sebuah generasi yang membesar bersama muzik Butterfingers.
Loque Sifatkan 1.2 Milligrams Sebagai Lambang Kejujuran Yang Terus Hidup Selepas 30 Tahun

Bagi pengasas dan gitaris Butterfingers, Loque, sambutan ulang tahun ini membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar meraikan usia album.
Beliau menyifatkan 1.2 Milligrams sebagai karya yang lahir daripada kejujuran, keberanian dan pengalaman yang membentuk identiti Butterfingers sejak awal penubuhannya.
“Ini adalah sambutan untuk luka pertama kami. Luka yang melahirkan album sulung kami. Pada waktu itu, orang mengingati distortion, feedback dan semangat memberontak. Itu memang sebahagian daripada zaman kami.
Tetapi di bawah semua itu, sentiasa ada melodi. Tiga puluh tahun kemudian, saya mahu kembali kepada lagu lagu ini dan melihat semula bagaimana magis itu berlaku,” katanya.
Loque turut percaya kekuatan album itu bukan terletak pada formula tertentu, sebaliknya pada kejujuran yang diterjemahkan melalui setiap lagu.
“Mungkin inilah peluang untuk kita sama sama merungkai apa sebenarnya yang membuatkan 1.2 Milligrams terus dekat di hati begitu ramai orang. Mungkin akhirnya kita akan sedar bahawa tidak pernah wujud satu formula pun. Yang ada hanyalah kejujuran, beberapa buah lagu, dan sekumpulan manusia yang bersedia untuk mendengarnya,” jelasnya.
Selepas tiga dekad, 1.2 Milligrams terus membuktikan bahawa karya yang lahir dengan penuh keikhlasan mampu merentasi generasi dan kekal menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tempatan. Dua showcase ini bukan sekadar peluang untuk mengimbau nostalgia, malah menjadi ruang buat peminat lama dan baharu berkongsi pengalaman yang sama di hadapan pentas.
Tiket untuk showcase ulang tahun ke 30 album 1.2 Milligrams kini boleh didapatkan menerusi platform rasmi Loket. Havoxians, yang ingin menyaksikan persembahan eksklusif Butterfingers serta menikmati lagu lagu ikonik album ini secara langsung disarankan mendapatkan tiket lebih awal kerana tempat adalah terhad.