
Selepas dua single galau yang buat ramai pendengar trauma cinta berulang kali, Luvia kembali lagi! Kali ini, mereka datang dengan penamat paling pahit!
Lagu ini bukan sahaja mengekalkan karakter muzik mereka yang romantis dan penuh emosi, tetapi turut mengukuhkan kedudukan Luvia sebagai kumpulan yang konsisten dalam menyampaikan kisah cinta yang dekat dengan kehidupan pendengar.
Kalau Havoxians baru nak kenal Luvia, jangan tersilap — mereka bukan band baru trending TikTok. Mereka dah lama menghantui carta Indonesia dengan lagu-lagu easy listening tapi liriknya pedih macam tikaman belati!
Kini, Luvia digerakkan oleh tiga pemuzik utama yang memastikan setiap karya yang tercipta mempunyai signature muzik tersendiri.
Analogi ‘Buang Garam Di Laut’ Gambaran Pengorbanan Yang Sia-Sia

Lagu yang dicipta dan diterbitkan oleh Hendy Irvan, lagu ini membawa tema cinta bertepuk sebelah tangan — suatu pengalaman perit yang sering dirasai tetapi sukar diterjemahkan.
Dengan lirik yang ringkas, puitis dan terus mengetuk jiwa dan perasaan, ‘Buang Garam Di Laut’ memberi gambaran jelas tentang seseorang yang mencintai sepenuh hati, namun tidak pernah dihargai.
“Mencintaimu, aku seperti, buang garam di laut…”
Analogi garam yang hilang dalam laut ini begitu indah tau! buat Havoxians terdiam 5 saat sebab pernah mengalami situasi serupa! Memang sesuai diangkat sebagai nadi utama single terbaharu Luvia ini.
Lebih menarik lagi, ia menggambarkan usaha dan pengorbanan yang besar tetapi dipandang sepi dan tidak dihargai.
Dalam konteks ini, garam melambangkan segala usaha, air mata, dan pengorbanan yang dicurahkan, manakala laut melambangkan seberapa luasnya kesia-siaan itu.
Susunan muzik ciptaan Rahman Hakim bersama anggota Luvia berjaya menghasilkan sentuhan pop Melayu yang khas — rentak perlahan yang mengalir lembut menerusi petikan gitar yang harmoni, serta vokal merdu lontaran Syeliah membuatkan elemen kesedihan dan kehilangan begitu jelas.
Menurut Rahman Hakim, pemilihan rentak perlahan tetapi padat dengan melodi itu adalah satu nafas baharu bagi genre pop Melayu seiring arus moden dan sesuai untuk pendengar masa kini.
Cinta Bertepuk Sebelah Tangan!

Ketika ditemui media, Luvia mendedahkan ‘Buang Garam Di Laut’ tercipta berkisarkan tentang cinta tak semestinya memiliki dan terbalaskan. Sebuah perjuangan dan pengorbanan yang akhirnya hanya sia-sia, daripada detik itulah seseorang belajar untuk menerima hakikat sebenar meskipun perit.
“Lagu ini tentang menyedari bahawa perjuangan cinta kita sia-sia, dan menerima suratan bahawa tidak semua cinta akan dibalas.
Dari situ, kita belajar untuk memaafkan dan melangkah pergi dengan berlapang dada,” dedah Luvia.
Setiap pendengar, sama ada mereka yang pernah melalui hubungan tidak dihargai atau sedang berdepan perpisahan, pastinya boleh ‘relate’ dengan naratif yang disampaikan menerusi lagu ini.
Lagu ini memberi refleksi terhadap perasaan yang sering disimpan diam-diam — rasa kecewa, keliru, tetapi pada akhirnya reda.
Single Terbaharu, ‘Sequence’ Pelengkap Kepada Dua Lagu Luvia Sebelumnya

Walaupun ‘Buang Garam Di Laut’ merupakan single terbaharu, lagu ini merupakan sequence daripada dua lagu Luvia terdahulu iaitu ‘Lelah dan Kalah’ serta ‘Orang Yang Salah’.
Gabungan tiga lagu ini mewujudkan satu penceritaan galau yang lengkap — sebuah perjalanan cinta yang bermula dengan harapan, berulang dengan kekecewaan, dan berakhir dengan kesedaran untuk melepaskan.
- ‘Lelah dan Kalah’: Lagu ini menekankan ketabahan hati — tetap bertahan walaupun hati seringkali terluka, sebelum akhirnya redha dengan takdir. Muziknya lebih tenang, menggambarkan fasa putus asa.
- ‘Buang Garam Di Laut’: Menggambarkan tentang percintaan yang sia-sia, iaitu puncak kesakitan apabila usaha tak dipandang.
- ‘Orang Yang Salah’: Merupakan kemuncak kepada keseluruhan perjalanan galau, yang menggambarkan saat seseorang akhirnya menyedari bahawa mereka telah memilih hati yang salah, the final cut untuk move on.
Luvia berjaya mengangkat tema ini dengan cara yang penuh beremosi, menjadikan trilogi tiga karya paling signifikan dan mantap dalam karier seni mereka.
Lagu Khas Untuk Havoxians Yang Dalam Fasa ‘Mengikhlaskan’

Gabungan mood melankolik lembut, dengan bait-bait lirik yang mudah dihayati serta susunan muzik yang menyentuh jiwa.
Lebih menarik lagi, ‘Buang Garam Di Laut’ hadir dengan runut bunyi khusus, terutama buat havoxians yang sedang refleks semula kehidupan peribadi — sama ada untuk mengikhlaskan, menerima atau menutup satu bab dalam kehidupan.
Single yang bakal membungkam jiwa ini akan dilancarkan di semua platform digital pada 3 September 2025, dan merupakan satu lagi sumbangan Luvia Band untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam arena pop Melayu moden.
‘Buang Garam Di Laut’ bukan sekadar penutup trilogi — tapi satu tamparan emosi yang mengingatkan kita, kadang-kadang cara paling betul menyayangi seseorang adalah dengan melepaskan.