
Dalam dunia filem seram tempatan yang sering bergantung kepada bunyi mengejut dan wajah menyeramkan, Khadam datang dengan pendekatan yang jauh lebih menyesakkan jiwa. Filem ini tidak sekadar mahu menakutkan penonton, tetapi mahu membuat mereka merasa kehilangan, trauma dan naluri seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi anaknya.
Menariknya, rasa itu kini diterjemahkan menerusi lagu tema rasmi berjudul “Tak Berlagu” nyanyian Ernie Zakri yang disifatkan bukan sekadar OST biasa, tetapi sebahagian daripada nadi emosi filem tersebut. Lebih mengejutkan, Ernie sendiri mengakui beliau tidak mampu menahan air mata sepanjang proses rakaman kerana terlalu tenggelam dengan emosi watak Melor.
Dalam era kebanyakan lagu filem hadir sekadar pelengkap promosi, “Tak Berlagu” cuba memecahkan kebiasaan itu dengan menjadikan muzik sebagai medium utama untuk membawa penonton menyelami rasa sakit yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.
Khadam Pertaruhkan Emosi Ibu Sebagai Teras Penceritaan Seram

Berbeza daripada kebanyakan filem seram yang terlalu bergantung kepada elemen kejutan, Khadam cuba membawa pengalaman yang lebih dekat dengan emosi manusia. Filem ini mengangkat sisi pengorbanan seorang ibu menerusi watak Melor, sekali gus menjadikan muzik sebagai medium penting dalam menyampaikan rasa kehilangan dan ketakutan yang tidak mampu diungkap melalui dialog semata mata.
Lagu “Tak Berlagu” digubah oleh Rendra Zawawi bersama NJWA, manakala lirik sepenuhnya ditulis oleh NJWA sendiri. Susunan melodinya pula dibentuk secara berlapis, bermula dengan nada tenang sebelum berkembang menjadi lebih berat dan menyakitkan, selari dengan perkembangan emosi watak utama dalam filem tersebut.
Menurut Penerbit Eksekutif Khadam, Datuk Ahmad Izham Omar, kekuatan utama lagu ini hadir melalui pembinaan muzik yang dirancang secara teliti bagi menyokong naratif filem.
“Apa yang menjadikan susunan muzik ini istimewa adalah garapan melodi dan ritmanya yang dibina dengan jelas dari segi teknik dan emosi, seiring dengan jalan cerita serta perjalanan watak utama iaitu Melor,” katanya.
Pendekatan ini secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana Khadam cuba mengangkat standard filem seram tempatan dengan memberi perhatian kepada aspek bunyi dan emosi secara lebih serius.
Ernie Zakri Menangis Ketika Rakaman Tak Berlagu

Pemilihan Ernie Zakri sebagai penyanyi utama juga bukan dibuat secara rawak. Vokal penyanyi itu dianggap mempunyai kelebihan dalam menyampaikan rasa sakit dan harapan secara seimbang, sesuatu yang sangat diperlukan untuk lagu dengan tema berat seperti “Tak Berlagu”.
Bagi Ernie sendiri, keputusan menerima tawaran tersebut berlaku kerana beliau mempunyai hubungan emosi yang sangat dekat dengan jalan cerita Khadam.
“Saya terpanggil kerana jalan cerita ini sangat dekat dengan perasaan saya sebagai seorang ibu. Apabila mengetahui ia merupakan kerjasama antara Rendra dan NJWA, saya terus yakin untuk menerimanya,” jelas Ernie.
Malah penyanyi itu turut mengakui proses rakaman menjadi antara pengalaman paling emosional pernah dilaluinya sepanjang kerjaya seni.
“Sepanjang rakaman, air mata saya tidak berhenti mengalir kerana saya benar benar dapat merasai emosi itu,” katanya lagi.
Kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa “Tak Berlagu” bukan sekadar lagu balada biasa, sebaliknya sebuah karya yang memerlukan penghayatan mendalam daripada penyanyinya sendiri.
Menurut Rendra Zawawi pula, lagu ini dibina daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada emosi watak Melor.
“Dalam Khadam, muzik dibina untuk menyampaikan emosi dengan tepat. ‘Tak Berlagu’ berkembang daripada ruang sunyi yang menjadi asas kepada perasaan watak,” jelasnya.
Beliau turut memuji sentuhan NJWA yang berjaya menghadirkan rasa keibuan secara lebih jujur dalam komposisi lagu tersebut.
Proses Produksi Setaraf Antarabangsa, Taruhan Khadam

Di sebalik kekuatan emosi lagu ini, proses pembikinannya juga dilakukan dengan standard produksi yang bukan calang-calang. “Tak Berlagu” menjalani proses adunan oleh Alvin Wee yang kini menetap di Los Angeles, manakala proses mastering dilakukan oleh pemenang Anugerah Grammy, Jett Galindo.
Lebih menarik, lagu ini turut menggunakan rakaman orkestra akustik secara langsung melibatkan instrumen seperti piano, violin, viola, cello dan double bass. Pendekatan itu memberi tekstur bunyi yang lebih semulajadi dan sinematik, sekali gus membantu memperkuat pengalaman emosi ketika mendengar lagu tersebut.
Kerjasama antara Komet Productions, Red Communications dan Universal Music Malaysia juga memperlihatkan kesungguhan mereka untuk menjadikan projek ini lebih daripada sekadar kempen promosi lagu OST filem biasa.

Menurut Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, kekuatan utama projek ini terletak pada bagaimana muzik digunakan sebagai sebahagian daripada penceritaan.
“Filem Khadam menitik beratkan penceritaan dalam lagu, dan muzik bukan dijadikan sekadar elemen sokongan sesebuah filem. Ini yang menjadikan projek ini amat menarik,” katanya.
Dalam lambakan lagu OST yang cepat tenggelam selepas filem ditayangkan, “Tak Berlagu” mempunyai peluang untuk meninggalkan kesan lebih panjang kerana ia dibina dengan identiti dan emosi yang jelas. Lagu ini bukan sekadar mengiringi filem, tetapi menjadi suara kepada luka yang cuba disampaikan oleh Khadam.
“Tak Berlagu” kini boleh didengari Havoxians, di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya akan dilancarkan tidak lama lagi menerusi saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia. Sementara itu, Khadam dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.