
Pernah tak Havoxians alami malam-malam sunyi, tak seperti biasa? Bukan sebab tiada orang, tapi sebab terlalu banyak perkara bermain dalam kepala. Kadang, tiba-tiba teringat seseorang yang dah lama hilang, atau lebih jujur, teringat diri sendiri yang dah semakin hilang dan tak dikenali.
Selepas mendonia menerusi lagu ‘Casablanca’ Nuha Bahrin kembali bukan untuk sekadar ulang kejayaan lama, tetapi membuka sisi yang lebih rapuh dan jujur. Bersama Ezra Kong di bawah projek mimpi dengan sebuah lagu yang perlahan-lahan membina suasana khusus untuk para pendengar yang sering mengalami belenggu fikiran.
Single ‘Malam-Malam’ bukan lagu cinta biasa. Ia tentangsebuah epilog rindu yang susah untuk dirungkai, sulit jelaskan.
Rindu yang diterjemahkan dalam lagu ini merupakan rindu senyap yang datang diam-diam, menyelinap melalui memori kecil yang dulu tak pernah dianggap penting.
Lebih menyakitkan, ia bukan hanya tentang merindui orang lain. Ia tentangmerindui diri sendiri yang pernah jadi lebih yakin, lebih bebas dan kini seolah olah hilang tanpa ucapan selamat tinggal.
Kolaborasi Nuha Bahrin & Ezra Kong Cipta Bunyi Unik ‘Malam-Malam’

Menariknya, lagu ini merupakan gabungan dari dua elemen Arabic dan Spanish dengan pop Melayu sekaligus menjadikan ia satu cubaan “unik” di tangan yang tepat Ezra Kong, yang jarang sekali menghampakan di setiap karya muzik nukilanya. Sebaliknya, ia menjadi latar emosi yang menyokong padu naratif sesebuah lagu.
“Melalui projek seperti ‘Malam Malam’, saya membawa pendekatan berbeza dari segi sound, susunan, dan lirik mencari titik temu antara citarasa saya dan jiwa artis itu sendiri,” kata Ezra.
Di bawah projek mimpi, Ezra mendedahkan bahawa dia tidak lagi terikat dengan ekspektasi komersial semata. Namun, mempunyai ruang untuk mencipta karya yang lebih jujur.
Hasilnya, ‘Malam-Malam’ terasa seperti sesuatu yang dibina dengan teliti, penuh beremosi bukan sekadar mengejar hit.
Tambahnya, inspirasi lagu ini juga datang daripada kisah nyata, khususnya mereka yang terpaksa berjauhan ketika momen penting seperti musim perayaan.
“Inspirasi ‘Malam-Malam’ hadir ketika mendengar kisah rakan-rakan yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan negara seperti polis, tentera dan parajurit yang terpaksa bekerja di saat orang lain menyambut hari Raya,” ujarnya.
‘Malam-Malam’ Sebuah Eksperimen Berjiwa Bukan Sekadar Gimik

Mengulas lanjut, katanya, muzik video ‘Malam-Malam’ tidak sekadar pelengkap lagu, tetapi memperluaskan maknanya dengan konsep dua dunia selari, penonton dibawa ke dalam dunia kabur antara memori dan realiti.
Watak lelaki yang hadir pada setiap momen, hampir disentuh, hampir bersama, tetapi tidak wujud. Memberi metafora bagaimana memori berfungsi. Ia terasa nyata, tetapi sebenarnya hanya bayangan yang masih dipeluk kerana belum bersedia untuk melepaskan.
Pendekatan ini selari dengan cara penyampaian vokal lunak milik Nuha Bahrin yang tidak terlalu dramatik, tetapi cukup untuk membuatkan pendengar merasai ruang kosong yang ditinggalkan.
“Nuha cuba keluarkan rasa rindu itu dengan cara yang lebih raw dan jujur. Ada sedikit rasa geram, seperti tertanya kenapa you tiba-tiba hilang,” kata Nuha.
Keseimbangan antara kelembutan dan emosi yang terpendam inilah yang membuatkan lagu ini tidak tenggelam sebagai balada biasa.

Akhirnya, ‘Malam-Malam’ lagu yang ditujukan buat mereka yang pernah duduk bersendirian pada waktu malam, memikirkan apa yang telah hilang atau siapa yang sudah berubah seiring waktu yang berlalu pergi meninggalkan kita dengan kenangan dan hanya rindu yang tersisa.
“Kalau kita merindui seseorang, itu bermaksud mereka pernah sangat bermakna dalam hidup kita, dan cinta itu tidak pernah sia sia,” jelasnya.
‘Malam-Malam’ bukan sekadar tentang mencari jawapan, tetapi menerima hakikat bahawa ada perkara yang memang tidak akan kembali seperti dulu. Ada rindu yang tidak pernah usai, cukup sekadar dirasai dan mungkin dalam sunyi yang sama, pendengar akan sedar bahawa kehilangan itu bukan tanda kelemahan, tetapi bukti bahawa sesuatu itu pernah benar-benar bermakna.
Sekadar Info, ‘Malam-Malam’ boleh mula didengari di semua platform penstriman digital mulai 24 April 2026.
Lagu ini bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk dirasai perlahan lahan, terutama ketika malam menjadi terlalu sunyi untuk diabaikan.