
Dalam lambakan lagu Raya saban tahun, bukan mudah untuk sesebuah kempen benar-benar meninggalkan kesan. Namun tahun ini, Rocketfuel Entertainment membuktikan bahawa strategi yang tepat dan pemilihan karya yang dekat dengan emosi pendengar berjaya mencipta fenomena tersendiri!
Buktinya, kempen “Macam-Macam Raya” bersama Rocketfuel Entertainment berjaya mencatat lebih 13 juta penstriman digital secara keseluruhan.
Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, kejayaan ini mencerminkan kekuatan jenama Rocketfuel Entertainment dalam menghasilkan karya yang dekat dengan jiwa pendengar.
“Macam-Macam Raya” mencerminkan kekuatan jenama Rocketfuel dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan rakyat. Kami berbangga melihat penerimaan luar biasa terhadap karya artis kami,” katanya.
Sekadar info, Rindu Raya nyanyian ALPHA, Senyum Gugur Di Penghujung Doa oleh Dayang Nurfaizah, Restu Raya nyanyian Nadeera serta Lagu Raya Untukmu oleh Hael Husaini antara lagu-lagu yang menyumbang kepada kejayaan mega Rocket Fuel ini.
Baca Juga : Ernie Zakri & Syamel ‘Mendunia’ Suasana Raya Bernuansa Antarabangsa
Momentum 13 Juta Penstriman, Rocketfuel Entertainment Lancar Muzik Baharu Sepanjang Tahun

Kejayaan besar kempen Raya ini bukan sekadar titik pencapaian, sebaliknya menjadi pemangkin kepada perancangan lebih agresif Rocketfuel sepanjang tahun 2026. Syarikat ini terus memperkukuhkan portfolio muzik mereka dengan memperkenalkan barisan karya baharu daripada artis sedia ada serta bakat meningkat naik.
Antara yang mencuri perhatian ialah Qal G yang tampil dengan single terbaharu “Seharusnya Aku”, meneruskan perjalanan muziknya selepas debut “Sepi”. Sebagai finalis Big Stage Alpha, Qal G dilihat sebagai antara nama baharu yang berpotensi besar dalam industri.
Dalam masa sama, Awienit juga bersedia untuk melancarkan single sulungnya di bawah Rocketfuel, sekali gus menandakan kemunculan generasi baharu artis yang dibentuk melalui platform realiti.
Di peringkat antarabangsa pula, duo dari Korea Selatan, HoonDoo, tampil dengan lagu “Jejak Yang Tertinggal” yang dipilih sebagai runut bunyi drama “Dendam Seorang Mentua”, memperlihatkan usaha Rocketfuel menembusi pasaran serantau melalui kolaborasi strategik.
Wani Kayrie Perkukuh Impak “Cak Cak Cekuk” Menuju Pentas SFMM40
Dalam deretan artis di bawah naungan Rocketfuel, nama Wani Kayrie terus menunjukkan peningkatan ketara apabila lagu “Cak Cak Cekuk” bukan sahaja tular, malah berjaya mengumpul jutaan tontonan dan penstriman di platform digital.
Lebih menarik, momentum tersebut kini membawanya ke pentas Semi Final Muzik Muzik ke 40, satu pencapaian penting dalam perjalanan kerjayanya sebagai penyanyi.
Menurut Wani, peluang ini hadir bersama tanggungjawab besar untuk memberikan persembahan terbaik.
“SFMM40 adalah pentas yang sangat besar dan bermakna buat saya. Saya sedang membuat persiapan rapi dari segi vokal, persembahan dan emosi untuk memberikan yang terbaik.
Sokongan terhadap ‘Cak Cak Cekuk’ benar-benar memberi saya semangat untuk tampil lebih yakin,” jelasnya.
Selain Wani, Nadeera juga bakal tampil dengan single baharu “Cuba Jadi Aku” pada Jun ini, manakala Hael Husaini dijangka hadir dengan kolaborasi istimewa yang masih dirahsiakan.
Rocketfuel Entertainment Luaskan Pengaruh Merentasi Platform, Dari Muzik Ke Layar Perak

Tidak hanya tertumpu kepada muzik, Rocketfuel Entertainment turut memperlihatkan perkembangan signifikan dalam bidang lakonan dan kandungan digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai syarikat hiburan serba lengkap.
Mierul Aiman bakal muncul dalam filem “Tarung” bersama Zul Ariffin, manakala Fazziq Muqris akan membintangi filem “Kata Hati”. Dalam masa sama, Qistina Rania, Bella Dowanna dan Arabella Ellen turut aktif dalam pelbagai projek drama dan siri digital.
Kehadiran karya seperti “Dendam Seorang Mentua” yang menampilkan lagu “Jejak Yang Tertinggal” sebagai runut bunyi turut memperlihatkan sinergi antara muzik dan penceritaan visual yang semakin menjadi keutamaan dalam strategi kandungan mereka.
Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee menyifatkan tahun ini sebagai antara yang paling signifikan buat syarikat tersebut.
“Tahun ini adalah antara yang paling signifikan buat kami. Kami bukan sahaja melancarkan pelbagai karya baharu, tetapi juga memperluaskan portfolio artis merentasi pelbagai platform,” tambahnya.
Malah, sokongan daripada jenama besar seperti Vida, KFC, Shell, Bath and Body Works, Lepas Malaysia dan U Mobile turut mengukuhkan lagi kedudukan Rocketfuel dalam industri.
Ketua A&R Rocketfuel Entertainment, Pasha Ahmad menegaskan bahawa fokus utama mereka kekal pada pembangunan artis dan kualiti karya.
“Kami sentiasa memberi fokus kepada pembangunan artis dan kualiti karya. Setiap pelancaran dirancang dengan teliti untuk memastikan ia mampu memberi impak yang berpanjangan.” ujarnya.
Dengan pencapaian 13 juta penstriman sebagai bukti kukuh, Rocketfuel Entertainment kini berada pada landasan yang tepat untuk terus mendominasi landskap hiburan tempatan, bukan sahaja sebagai penerbit muzik, tetapi sebagai penggerak utama ekosistem hiburan yang semakin berkembang.
Baca Juga : Hael Husaini ‘Muse’ IRAMA Signature Raya ‘Next Level’