
Ada lagu bila kita dengar sekali, lepas itu hilang begitu sahaja dan ada lagu yang kita sangka sudah dilupakan, tetapi sebenarnya hanya menunggu masa untuk kembali dengan rasa yang lebih kuat.
“Pujaan Hatiku” bukan lagu baharu. Namun cara Monoloque menghidupkan semula karya ini menjadikannya seolah sesuatu yang tidak pernah usai sejak awal.
Lebih sedekad disimpan, bukan kerana ia tidak layak untuk diketengahkan. Sebaliknya, mungkin kerana lagu ini belum cukup ampuh pada waktunya.
Kini, segala yang berlebihan telah diketepikan, yang tinggal hanyalah susunan minimal, runut bunyi yang sesuai serta emosi yang tidak lagi disorok.
Ini bukan versi yang lebih besar, tetapi ini versi yang lebih dekat dengan jiwa, lebih telus, dan lebih mendalam maknanya dan apabila Havoxians mendengarnya, ada satu perkara yang mungkin anda sedar. Bukan lagu ini yang berubah, tetapi cara memahami rasa itu sendiri.
Lagu Lama Kembali Jadi Perhatian Dengan Magis Monoloque

Apa yang menarik tentang “Pujaan Hatiku” bukan sekadar sejarahnya, tetapi sebab ia dipilih untuk kembali sekarang. Lagu yang pernah dibawakan oleh kumpulan Histeria pada tahun 2013 ini sebenarnya sudah lama “disimpan” oleh loQue, menunggu masa yang sesuai untuk diberi nafas baharu.
Bukan semua karya lama layak dihidupkan semula. Tapi untuk lagu ini, jelas ada sesuatu yang belum selesai.
“Ini bukan sekadar keluarkan semula lagu lama. Ini macam bagi peluang kedua untuk lagu ini jadi apa yang sepatutnya dari awal,” menurut loQue.
Tambahnya, bila seorang penulis kembali kepada karyanya sendiri selepas bertahun, dia bukan orang yang sama lagi. Perspektif berubah, pengalaman bertambah, dan yang paling penting, keberanian untuk membuang semua yang tidak perlu.
“Itu yang berlaku di sini. Versi baharu “Pujaan Hatiku” ini bukan remake. Ini reinterpretasi yang lebih jujur,” jelasnya.
“Pujaan Hatiku” Versi Monoloque Susunan Minimalis Ubah Emosi Lagu
Jika Hvoxian antara yang sudah terbiasa dengan karya MonoloQue yang sarat makna dan bertekstur berat dan mendalam, versi ini mungkin akan buat anda terpana sekejap. Tiada dram. Tiada lapisan bunyi yang kompleks. Hanya gitar akustik, piano dan synthesizer.
Meski pun versi terbaharu ini lebih simple, lebih ringan untuk dinikmati namun “Pujaan Hatiku” versi kini bukan kosong.
Keputusan untuk “mengosongkan” susunan ini sebenarnya merupakan satu perjudian artistik, dalam dunia muzik hari ini yang lebih cenderung dengan karya muzik yang padat dan bising, loQue memilih berani untuk tampil berbeza menghasilkan sebuah karya sunyi tapi berisi.
“Saya nak lagu ini bernafas sendiri. Bila kita buang semua elemen yang tak perlu, yang tinggal cuma rasa sebenar lagu itu,” jelas loQue.
Hasilnya, suasana lagu terhasil lebih gelap, sedikit suram,lebih dalam emosi tetapi dalam masa sama ada sentuhan romantik ala gothic 80-an yang halus. Ia bukan jenis lagu yang terus melekat pada first listen. Tapi bila ia kena, ia duduk lama dalam minda, jiwa dan menusuk hati para pendengar.
Lirik “Pujaan Hatiku” Penuh Metafora Monoloque

loQue berjata, kalau ada satu elemen yang benar-benar mengangkat “Pujaan Hatiku”, ia adalah liriknya yang tidak terus terang, tidak juga terlalu abstrak. Ia berada di tengah, cukup untuk buat pendengar berfikir, tetapi tidak sampai hilang arah.
Konsep “serampang dua mata” dalam penulisan lirik jelas terasa di sini. Lagu ini boleh jadi tentang cinta. Tapi dalam masa sama, ia juga boleh jadi tentang kehilangan, obsesi, atau sesuatu yang lebih gelap yang hanya difahami oleh pendengar itu sendiri.
“Saya suka bila lagu boleh ditafsir ikut pengalaman masing-masing. Lagu yang baik tak patut ada satu maksud saja,” kata loQue.
Pendekatan ini mengingatkan kepada karya-karya klasik yang tidak pernah lapuk kerana maknanya sentiasa berkembang mengikut siapa yang mendengar dan mungkin itu sebabnya lagu ini masih relevan, walaupun lahir dari era yang berbeza.
Sekadar info, “Pujaan Hatiku” versi MonoloQue bukan sekadar single baharu yang akan dilepaskan pada Jumaat ini, 17 April 2026. Ia adalah bukti bahawa muzik tidak pernah benar-benar selesai. Ia hanya menunggu masa, ruang, dan keberanian untuk dilahirkan semula dalam bentuk yang lebih jujur.
Kalau Havoxians tanya sama ada ini lagu untuk semua orang, jawapannya mungkin tidak. Tapi kalau anda jenis yang selalu hilang dalam perasaan sendiri, tanpa distraksi, ini mungkin antara karya yang akan kena tepat pada tempatnya dan bila itu berlaku, anda akan faham kenapa lagu ini mengambil masa lebih 10 tahun untuk kembali.