
Sejak kemunculannya sebagai Datuk Muzaffar dalam drama Dendam Seorang Mentua, ramai penonton memberi perhatian kepada sisi berbeza Yusry Abdul Halim. Bukan sahaja kerana karisma yang dibawanya menerusi watak tersebut, malah kerana penampilannya yang tampil lebih matang dengan imej beruban yang jarang dilihat sebelum ini.
Menariknya, ketika ramai selebriti berusaha keras mengekalkan imej muda, anggota KRU berusia 52 tahun itu langsung tidak melihat peningkatan usia sebagai sesuatu yang perlu disembunyikan. Malah apabila diminta menambah uban demi menghidupkan watak Datuk Muzaffar, Yusry tidak teragak-agak untuk bersetuju.
Di sebalik wajah yang masih dipuji peminat, Yusry sebenarnya mengakui dia tidak mempunyai sebarang rahsia kecantikan, rutin penjagaan kulit yang rumit atau obsesi terhadap penampilan. Baginya, menjadi tua adalah proses semula jadi yang tidak perlu ditakuti.
Selesa Dengan Usia Dan Tidak Takut Menua

Bagi kebanyakan selebriti, peningkatan usia sering menjadi perkara yang sensitif untuk dibincangkan. Namun bagi Yusry, perkara itu tidak pernah menjadi beban.
Menurutnya, dia tidak mempunyai sebarang rahsia kecantikan atau rutin khas yang boleh dikongsikan kepada peminat.
“Memang saya penjagaan diri saya sangat simple, saya tak rasa takut untuk tua,” ujarnya.
Kata Yusry, dia sedar penampilannya hari ini, jauh berbeza berbanding ketika zaman kegemilangannya bersama KRU suatu ketika dahulu. Namun itu bukan alasan untuk cuba menjadi individu yang sama seperti puluhan tahun lalu.
“Of courselah saya dengan diri saya yang lama berbeza.”
“Tapi pada masa yang sama saya tak rasa saya perlu jadi seperti saya dulu kerana saya bukan lagi orang yang sama. Saya selesa dengan usia saya sekarang,” tambahnya.
Sikap terbuka itu turut diterjemahkan ketika membawakan watak Datuk Muzaffar dalam Dendam Seorang Mentua. Malah, apabila pihak produksi mencadangkan agar rambutnya ditambah uban putih bagi menyesuaikan karakter tersebut, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerimanya.
“Dia orang cakap (krew produksi) kalau nak warnakan uban putih, boleh? Saya okey sahaja demi menjayakan watak.
“Everyone knows my age. Saya tak boleh menipu dan tak perlu pun nak berlakon jadi muda,” katanya.
Bagi Yusry, peminat sudah mengetahui usia sebenarnya dan tidak ada keperluan untuk berpura-pura menjadi lebih muda daripada realiti.
Rutin Penjagaan Diri Yang Sangat Ringkas

Jika ramai menyangka wajah segak Yusry disumbangkan oleh pelbagai produk premium atau rutin penjagaan kulit yang rumit, jawapannya tidak.
Menurut Yusry, isterinya, pelakon dan pengacara Lisa Surihani, merupakan individu yang jauh lebih teliti dalam aspek penjagaan diri.
“Masa saya kahwin dengan Lisa, dia seorang yang sangat detail dengan penjagaan diri. Dia (Lisa) terkejut saya pakai air je. Sampai sekarang dia beli apa-apa pun saya tak pakai. Saya pakai air juga.
“Kalau masuk shower tu kadang-kadang pakai sabun badan je ke muka,” selorohnya.
Lebih mencuit hati, Yusry mengakui ada kalanya dia hanya menggunakan sabun badan untuk membersihkan muka selepas selesai menjalani sesi penggambaran yang memerlukan solekan.
Walaupun sesekali mengikut Lisa mendapatkan rawatan wajah di klinik estetik, kunjungannya boleh dianggap sangat jarang berlaku.
“Every once in a while, Lisa ajak pergi klinik untuk buat facial treatment. Ada buat tapi not often,” dedahnya.
Malah doktor yang merawatnya sendiri pernah terkejut, apabila mendapati lawatan terdahulunya berlaku sekitar dua tahun sebelum itu.
Kesederhanaan tersebut mungkin bertentangan dengan persepsi ramai terhadap selebriti, namun bagi Yusry, dia lebih mengutamakan keselesaan diri berbanding memenuhi jangkaan orang lain.
Makan Untuk Hidup, Bukan Hidup Untuk Makan

Selain tidak terlalu memikirkan soal penampilan, Yusry juga mempunyai pendekatan yang cukup santai mengenai makanan. Dia mengakui bukan seorang pencinta makanan dan tidak terlalu cerewet tentang apa yang dihidangkan di hadapannya.
“Saya bukan foodie.”
“Saya tak kisah apa saya makan.”
“Kalau orang cakap ni tak sedap, pada saya telan je,” katanya.
Malah, penyanyi dan pengarah itu pernah menjalani gaya hidup vegetarian selama enam bulan hanya kerana mahu mencubanya.
“Saya pernah jadi vegetarian selama enam bulan,” dedahnya.
Menurutnya, dia tidak menghadapi masalah untuk meninggalkan daging kerana dirinya tidak mempunyai hubungan emosi yang kuat dengan makanan seperti kebanyakan orang.
“Saya makan untuk kenyang. Saya makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia akhirnya menghentikan amalan tersebut bukan kerana sukar untuk meninggalkan makanan tertentu, sebaliknya disebabkan kesukaran menyediakan hidangan vegetarian secara konsisten.
“Kalau sampai sekarang orang boleh prepare untuk saya, saya sampai vegetarian sampai sekarang kot,” tambahnya.
Dalam masa sama, Yusry turut mengakui dirinya masih gemar menikmati minuman manis dan minuman berkarbonat. Ketika menjalani penggambaran Dendam Seorang Mentua, tabiat itu turut disedari oleh rakan pelakon yang sering melihatnya menikmati minuman tersebut setiap hari.

Walaupun begitu, Yusry bersyukur kerana setakat ini masih dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak berdepan sebarang penyakit kronik.
Apa yang pasti, pendekatan Yusry terhadap usia, penampilan dan kehidupan memperlihatkan satu perkara yang semakin jarang ditemui dalam dunia hiburan hari ini iaitu keberanian untuk menjadi diri sendiri. Dalam industri yang sering menyanjung imej sempurna dan keremajaan tanpa penghujung, Yusry memilih untuk menerima perubahan dengan tenang, selesa dan penuh keyakinan.
Sekadar info, Havoxians mungkin itulah rahsia sebenar yang membuatkan dirinya terus relevan selepas lebih tiga dekad berada dalam industri. Bukan kerana takut menjadi tua, tetapi kerana dia tidak pernah cuba melarikan diri daripadanya.