
Bukan semua reunion layak diraikan sebagai sejarah. Namun apabila tujuh nama bersatu membentuk identiti Exists kembali berkogsi pentas, ini bukan sekadar sebuah konsert! Sebaliknya sebuah ‘anugerah terindah’ buat peminat yang membesar bersama karya seni mereka.
Konsert Exists Memento Mori yang bakal berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena Kuala Lumpur ini pastinya membawa makna lebih besar daripada sekadar nostalgia. Apabila buat pertama kali dalam tempoh puluhan dekad lamanya Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa, Mamat dan Ezad disatukan semula untuk meraikan 35 tahun perjalanan sebuah kugiran legenda.
Lebih menarik, penganjuran ini tidak digerakkan sekadar bertujuan mengimbau kenangan semata-mata, tetapi membawa falsafah yang lebih mendalam.
Memento Mori yang berasal daripada frasa Latin mengangkat kesedaran untuk menghargai setiap momen dalam kehidupan. Dalam konteks Exists, ia diterjemahkan sebagai penghormatan terhadap perjalanan panjang yang pernah melalui kemuncak populariti, diuji peredaran industri, namun terus bertahan kerana kekuatan karya.
Exists Memento Mori Reunion Penuh Makna, Satukan Tujuh Anggota

Sekadar rekap, Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa adalah tunjang yang membina identiti muzik Exists sejak awal, sementara Mamat dan Ezad pula mewakili dua era penting yang memperluaskan pengaruh kumpulan itu kepada generasi berbeza.
Gabungan ini menjadikan konsert tersebut sebagai sesuatu yang jarang berlaku. Lebih istimewa apabila kedua dua vokalis ikonik itu kembali berkongsi pentas sebagai sebahagian daripada satu naratif yang sama.
Menurut wakil penganjur ICON Entertainment, Iman Tang, konsert ini digerakkan sebagai penghargaan terhadap perjalanan Exists dan hubungan mereka dengan peminat.
“Konsert Exists Memento Mori adalah apresiasi dan penghargaan terhadap setiap momen yang pernah dan sedang Exists hadirkan kepada peminat muzik di Nusantara,” katanya.
Beliau turut menyifatkan konsert ini sebagai “Anugerah” kerana menghimpunkan kesemua anggota asal dan dua vokalis yang telah lama tidak berkongsi pentas bersama.
Dalam industri hiburan yang sering menyaksikan perpecahan menjadi pengakhiran, Exists memilih untuk meraikan persamaan yang masih mengikat mereka. Itulah yang memberi dimensi lebih besar kepada konsert ini.
Bagi peminat, nilai reunion ini bukan sekadar melihat tujuh nama di atas satu pentas, tetapi menyaksikan sejarah hidup kembali di depan mata.
Lagu Sing Along Exists Jadi Nadi Persembahan Nostalgia Dan Legasi

Selain penyatuan anggota, kekuatan utama yang dijanjikan adalah setlist yang dibina berasaskan lagu-lagu yang dekat di hati peminat.
Menurut penganjur, hampir keseluruhan persembahan akan berteraskan lagu yang bersifat sing along. Ini bermaksud konsert ini bukan hanya untuk ditonton, tetapi untuk diselami bersama.
Karya hits seperti Untukmu Ibu, Langkah Seiringan, Mencari Alasan, Jesnita, Seperti Dulu dan Percayakan Siti bukan sekadar lagu popular, tetapi sebahagian daripada memori kolektif buat para peminat.
Itulah yang membezakan Exists dengan band-band lain. Lagu merekatidak hanya hidup pada zamannya, tetapi terus dimainkan, dinyanyikan dan ditemukan semula oleh generasi baharu.
Along menyifatkan konsert ini sebagai manifestasi perjuangan mereka selama berdekad.
“Konsert Exists Memento Mori adalah manifestasi perjalanan dan perjuangan kami selama ini.
Kali ini bertujuh bersama kepala kepala yang telah mewujudkan Exists menerusi kepercayaan masing masing,” katanya.
Kenyataan itu memberi bayangan bahawa persembahan kali ini membawa lebih daripada sekadar susunan lagu hit. Ia tentang menceritakan semula perjalanan sebuah kugiran melalui muzik.
Musa pula menggambarkan roh Exists dengan ungkapan puitis yang kuat.
“Wujud dalam nyata, senyap diamnya mengeriap ke dalam minda akhirnya,” jelasnya.
Barangkali itulah gambaran paling tepat tentang bagaimana Exists bertahan. Tidak sentiasa bising dalam pasaran, tetapi sentiasa ada dalam ingatan.
Apabila ribuan peminat menyanyikan lagu lagu itu bersama pada malam konsert, ia bukan sekadar persembahan. Ia menjadi ritual nostalgia yang diulang dan direalisasikan.
Exists 35 Tahun Buktikan Legasi Kekal Relevan Dalam Industri

Malah, dalam dunia muzik yang sentiasa berubah, bertahan selama 35 tahun adalah pencapaian yang jarang berlaku.
Exists pernah melalui zaman kemuncak, pernah diuji perubahan pasaran, malah berdepan fasa redup. Namun yang membezakan mereka ialah keupayaan untuk kembali relevan tanpa mengkhianati identiti muzik sendiri.
Secara tak langsung, mengingatkan kita bahawa masa bergerak, namun karya yang jujur akan sentiasa menemukan jalannya untuk terus hidup. Ini yang menjadikan Memento Mori bukan sekadar tema, tetapi simbolik yang tepat.
Konsert ini juga menjadi bukti bahawa legasi bukan diukur melalui berapa lama nama bertahan di carta, tetapi sejauh mana karya masih disebut meski setelah puluhan tahun berlalu.
Exists telah membuktikannya. Dengan tujuh anggota berkumpul semula, konsert ini seolah menjadi kayu ukur bahawa perjalanan mereka belum selesai. Sebaliknya sedang memasuki fasa baharu.
Bagi peminat lama, ini peluang menghidupkan semula kenangan yang pernah membesar bersama mereka. Bagi generasi baharu, ini ruang memahami sendiri mengapa Exists sering disebut antara kugiran terbaik yang pernah lahir di Malaysia.
Atas sebab itu, Konsert Exists Memento Mori berpotensi menjadi antara penganjuran paling penting tahun ini, bukan hanya sebagai acara hiburan, tetapi sebagai perayaan legasi.
Tiket Konsert Exists Memento Mori ditawarkan pada harga bermula RM228 hingga RM5000 mengikut kategori dan mula dijual pada 30 April jam 11 pagi.
Havoxians yang mahu menjadi sebahagian daripada “Anugerah” ini, pembelian boleh dibuat menerusi pautan rasmi di Ticket2u Kali ini, ia mungkin bukan sekadar membeli tiket konsert, tetapi membeli peluang menyaksikan sejarah Exists ditulis semula di depan mata.