
Gelombang Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini semakin sukar diabaikan. Selepas mencetuskan fenomena menerusi jualan “Blind Sale Tickets” yang mendapat sambutan luar biasa, festival muzik rentas budaya itu akhirnya mendedahkan barisan penuh artis yang bakal menggegarkan Stadium Hoki Nasional pada 15 Ogos 2026 nanti.
Lebih menarik, edisi kali ini bukan sekadar mempertaruhkan nama besar dari Malaysia dan Indonesia, tetapi turut menjanjikan beberapa kolaborasi eksklusif yang dijangka menjadi momen paling ikonik festival tahun ini termasuk gabungan Rhoma Irama bersama Maliq & D’Essentials serta penampilan istimewa Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno dalam satu pentas.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara festival muzik serumpun paling dinanti-nantikan peminat tempatan.
Barisan Artis Latihan Pestapora 2026 Satukan Fenomena Muzik MalayIndo

Membawa semangat asli Pestapora dari Indonesia, festival kali ini tampil dengan gabungan nama besar yang cukup kuat untuk menarik perhatian peminat dari pelbagai generasi.
Antara yang bakal menjadi tumpuan utama termasuk Tulus, Juicy Luicy, Bernadya, Mahalini, Maliq & D’Essentials, Rhoma Irama dan Nadhif Basalamah yang sememangnya mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia.
Kehadiran nama seperti Rhoma Irama misalnya bukan sekadar membawa nostalgia, tetapi juga memperlihatkan bagaimana festival ini cuba menghubungkan generasi lama dan baharu dalam satu ruang yang sama.
Pada masa sama, kemunculan artis seperti Bernadya dan Nadhif Basalamah pula membuktikan pengaruh muzik Indonesia moden kini semakin kuat di kalangan pendengar muda Malaysia.
Dari sisi tempatan, festival ini turut mempertaruhkan nama seperti Aisha Retno, Aziz Harun, Gerhana Skacinta, Masdo, Insomniacks serta FUGŌ yang bakal membawa warna berbeza ke pentas festival kali ini.
Gabungan artis tempatan dan Indonesia ini secara tidak langsung memperlihatkan bagaimana selera muzik kedua-dua negara kini semakin bercampur dan berkembang tanpa sempadan.
Kolaborasi Eksklusif Taruhan Utama Festival Tahun Ini

Selain barisan artis yang besar, kekuatan sebenar Latihan Pestapora Malaysia 2026 terletak pada konsep kolaborasi rentas genre dan rentas generasi yang menjadi identiti utama festival tersebut.
Antara persembahan eksklusif yang paling mencuri perhatian ialah gabungan Rhoma Irama bersama Maliq & D’Essentials yang dijangka mencipta pertembungan muzik klasik dangdut dan nuansa moden jazz soul dalam satu persembahan unik.
Tidak hanya itu, peminat juga bakal disajikan dengan kolaborasi Masdo dan Gerhana Skacinta yang dilihat cukup sesuai dari segi energi persembahan pentas.
Namun, antara yang paling dinantikan tentunya gabungan Nadhif Basalamah, Aziz Harun dan Aisha Retno yang dijangka menjadi antara momen paling emosional sepanjang festival berlangsung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal, sambutan hangat terhadap “Blind Sale Tickets” membuktikan keyakinan peminat terhadap identiti dan kekuatan jenama Latihan Pestapora.
“Membawa Latihan Pestapora ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat kami. Ia bukan sahaja kejayaan dari sudut penganjuran, tetapi juga satu kejayaan budaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keerand D menjelaskan bahawa barisan artis tahun ini dipilih dengan lebih teliti berdasarkan apa yang benar benar mahu dilihat peminat.
“Bukan sekadar besar dari segi nama, tetapi juga bermakna dari segi pengalaman,” ujarnya.
Latihan Pestapora Malaysia 2026 Gerakan Budaya Serumpun

Di sebalik kemeriahan festival ini, Latihan Pestapora Malaysia 2026 sebenarnya membawa makna yang lebih besar terhadap hubungan budaya muzik antara Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas Bersama Boss Creator, Kiki Ucup menyifatkan festival ini sebagai sebuah gerakan budaya yang semakin berkembang di rantau Asia Tenggara.
“Kami melihat bagaimana peminat Malaysia sanggup ke Jakarta setiap tahun untuk merasai pengalaman Pestapora. Melalui Latihan Pestapora, kami mahu membawa semangat dan pengalaman itu lebih dekat dengan mereka,” katanya.
Menariknya, edisi kali ini turut menampilkan beberapa penambahbaikan penting termasuk penyediaan stesen air percuma di seluruh kawasan festival selain usaha memperbaiki pengalaman keseluruhan pengunjung.
Perkara itu jelas menunjukkan bahawa pihak penganjur bukan sahaja mahu menjual nama besar artis, tetapi turut memberi perhatian terhadap keselesaan dan pengalaman sebenar peminat sepanjang festival berlangsung.
Dengan gabungan nama besar serantau, kolaborasi eksklusif serta semangat budaya yang semakin kuat, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat berpotensi menjadi antara festival muzik paling penting di rantau ini tahun hadapan.
Tiket rasmi Latihan Pestapora Malaysia 2026 kini sudah mula dijual dan peminat, Havoxians disarankan untuk mendapatkannya lebih awal susulan permintaan yang semakin tinggi sejak pengumuman awal festival ini dibuat. Tiket boleh dibeli menerusi laman rasmi Latihan Pestapora Malaysia 2026.