
Bukan sekadar sah bergelar suami isteri, pernikahan El Rumi dan Syifa Hadju pada Ahad mencetuskan fenomena sekaligus meraih perhatian luar biasa! Apabila dengan sekali lafaz El Rumi sah bergelar suami.
Dalam majlis tertutup di Raffles Jakarta itu, putera kedua kepada Ahmad Dhani telah melafazkan ijab kabul dengan begitu yakin sekali, namun itu bukan satu-satunya perkara yang mencuri perhatian warganet.
Tetapi, mas kahwin berjumlah 2026 Poundsterling (RM 10,842.43 ), serta hadiah cenderamata berupa emas tulen yang diberikan khusus buat tetamu dan simbolik mendalam di sebalik pemilihan dua item ini menjadikan hari bahagia pasangan ini lebih daripada sekadar perkahwinan selebriti.
Persoalannya, mengapa angka 2026 dipilih, dan apa makna sebenar emas yang menjadi tema besar dalam majlis ini?
Sekali Lafaz El Rumi Jadi Sorotan, Akad Nikah Penuh Adat Jadi Bualan.

Proses akad nikah berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh emosi. Walaupun bersifat privasi, aura majlis itu tetap dirasai apabila beberapa tetamu jemputan berkongsi momen yang berlaku sepanjang acara.
Menurut tetamu yang hadir, El tampil cukup tenang dan meyakinkan ketika melafazkan ijab kabul. Malah, tiada pengulangan diperlukan, sesuatu yang dianggap bukan mudah dalam momen penuh debar seperti itu.
Wakil Ketua Majlis Republik Indonesia, Fadel Muhammad turut memuji kelancaran prosesi berkenaan.
“Waktu akad nikahnya fasih. Dia tak perlu dua kali, memang betul betul khidmat dan sudah hafal luar biasa,” katanya.
Di sebalik keindahan majlis, perjalanan menuju hari bahagia bukanlah perkara yang berlaku dalam sekelip mata. Pasangan ini melalui fasa hubungan yang diperhatikan umum sejak mereka mula rasmi bercinta dua tahun lalu pada Oktober 2024.
Setahun kemudian, lamaran romantik di Lauterbrunnen menjadi titik perubahan besar sebelum hubungan mereka dimeterai secara rasmi menerusi majlis pertunangan di Hutan Kota by Plataran pada Januari lalu.
Naratif cinta mereka kini dilihat lengkap apabila berakhir di jinjang pelamin, sekali gus menutup segala spekulasi yang pernah berlegar mengenai hubungan mereka.
Mas Kahwin 2026 Poundsterling Dan Emas Simbolik Tahun Perkahwinan El-Rumi & Syifa Hadju

Selain akad nikah yang mencuri perhatian, mas kahwin diberikan El Rumi kepada Syifa Hadju turut menjadi topik perbualan hangat.
Difahamkan, El menghadiahkan 2026 Poundsterling bersama emas sebagai mas kahwin buat isterinya. Angka itu dipercayai dipilih bersempena tahun perkahwinan mereka, menjadikan pemberian itu bukan hanya bernilai material, tetapi sarat makna.
Pemilihan simbolik itu turut mengundang reaksi positif ramai yang melihatnya sebagai idea romantik yang mempunyai makna mendalam. Ia juga memperlihatkan sisi peribadi El yang teliti dan penuh pertimbangan.
Dalam dunia selebriti yang sering dikaitkan dengan kemewahan, mas kahwin ini bagaimanapun lebih dilihat sebagai lambang penghargaan terhadap ikatan yang dibina, bukannya soal nilai semata-mata.
Malah, ramai menganggap simbol tahun perkahwinan pada jumlah mas kahwin itu menjadikan momen ini lebih peribadi dan sukar dilupakan.
BACA JUGA : Pre Wedding Tradisi Jawa Jennifer Coppen & Justin Hubner Curi Perhatian
Cenderamata Emas Dan Pesanan Maia Estianty Tambah Makna Hari Bahagia

Jika mas kahwin sudah cukup mencuri perhatian, cenderamata buat tetamu pula menambah satu lagi kejutan eksklusif pada perkahwinan ini.
Menurut pendedahan Senator Republik Indonesia, Hana Shahab, setiap tetamu menerima tumbler jenama Stanley bersama kepingan emas tulen seberat 0.2 gram.
“Cenderamatanya emas. Ya, di dalam ini ada kepingan emas 0.2 gram,” ujarnya.
Lebih menarik, emas itu bukan dipilih sekadar hadiah mewah, sebaliknya membawa simbolik mendalam tentang pembinaan masa depan rumah tangga.
“Simboliknya mengingatkan kita semua, untuk sentiasa bersedia di alam rumah tangga dari sekarang kumpul sedikit demi sedikit emas supaya lama kelamaan menjadi bukit,” tambahnya.
Turut menyentuh emosi ialah pesanan ibu El, Maia Estianty, yang sebelum ini meluahkan rasa bangga melihat anak keduanya membesar menjadi lelaki matang, bertanggungjawab dan bersedia menggalas peranan sebagai suami.

Ucapan itu seakan melengkapkan perjalanan El daripada seorang anak, kekasih, tunang, dan kini suami.
Perkahwinan El Rumi dan Syifa Hadju mungkin berlangsung dalam skala tertutup, namun impaknya cukup besar di mata peminat.
Daripada sekali lafaz yang lancar, mas kahwin penuh simbolik, hinggalah cenderamata emas yang membawa falsafah rumah tangga, semuanya membentuk sebuah naratif yang lebih besar daripada sekadar kisah percintaan dan rumahtangga selebriti.
Tetapi ia adalah cerita tentang persediaan menggalas tanggungjawab, makna dan cinta yang akhirnya dimeterai secara sah dan buat Havoxians yang mengikuti perjalanan mereka sejak awal, inilah penutup kisah #ThELastforSyifa yang cukup sempurna.