
Bayangkan satu meja makan yang penuh dengan gelak tawa, cerita kerja, cerita hidup, semua nampak tenang. Sampai satu soalan muncul tanpa amaran, “Bila nak kahwin?” sekelip mata, suasana berubah. Ada yang terpaksa gelak untuk alihkan perhatian, ada yang diam, ada yang jawab sambil hati sendiri berperang.
Soalan ini bukan lagi sekadar gurauan keluarga. Ia sudah jadi tekanan halus yang berulang, yang perlahan-lahan membentuk cara seseorang melihat diri dan masa depan mereka. Lebih pelik, dalam dunia yang kononnya semakin terbuka dan moden, ukuran hidup masih sering kembali kepada satu perkara, status perkahwinan.
Di tengah realiti inilah Andi Bernadee muncul dengan “Aku Nak Kahwin”, sebuah lagu yang pada permukaan kedengaran santai, tetapi sebenarnya menyentuh sesuatu yang ramai cuba sembunyikan.
Bukan tentang tergesa-gesa mencari pasangan, tetapi tentang keinginan yang jujur, bercampur dengan tekanan yang tidak pernah berkesudahan.
Justeru, mungkin inilah yang membuatkan lagu ini terasa lebih dekat dengan golongan-golongan bujang. Kerana di sebalik semua jenaka dan ayat “relax lah, belum sampai masa”, ada satu hakikat yang sukar dijelaskan
Bukan kerana tidak mahu melangkah ke pelaminan, tetapi sedang menunggu jodoh yang tepat, sambil acapkali berdepan soalan yang sama yang merunsingkan.
Tekanan “Bila Nak Kahwin” Bukan Gurauan, Andi Bernadee Dedah Realiti Sosial Kini

Realitinya, tekanan untuk berkahwin bukanlah satu perkara baru. Menariknya, ia masih kuat dalam kalangan generasi muda hari ini walaupun cara hidup dah berubah.
Meski ramai yang sudah mempunyai kerjaya stabil, membina kehidupan sendiri, tapi merasa terkebelakang apabila ditanya urusan jodoh dan perkahwinan.
“Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti “bila nak kahwin?” pasti akan timbul,” ujar Andi.
Apa yang buat lagu ini relatable adalah cara Andi menormalisasikan perasaan itu. Bukan semua orang bersedia dan okay berdepan solana sama.
Secara tidak langsung, lagu ini seolah memberi validasi kepada mereka yang penat, terpaksa mengejar timeline serta bersaing dengan hidup orang lain.
Andi Bernadee Buka Naratif Baru Cinta Tanpa Tekanan & Timeline

“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini.. Jadi ‘Aku Nak Kahwin’ hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, khusus untuk golongan bujang.
“Orang dah penat sedih. Kadang-kadang kita cuma nak dengar sesuatu yang simple, jujur dan tak berat,” tambah Andi.
Jelasnya lagi, lagu ini dicipta bukan kerana mahukan kelainan atau menjadi yang berbeza semata, tapi Andi cuba mengetengahkan dan mewakili emosi pendengar.
“Aku Nak Kahwin” Bukti Evolusi Muzik Andi Bernadee

Menglas tentang elemen dan koordinasi runut bunyi bagi lagu ini, Andi berkata dia mengambil langkah berani yang mencabar dengan mengabungkan elemen nyanyian dan rap dalam satu track smooth tetapi masih mementingkan karakter lagu.
“Gabungan dua elemen berbeza… Menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya,” dedahnya.
Tambahnya, secara teknikal lagu ni mungkin nampak santai, tapi sebenarnya memerlukan kawalan pernafasan dan timing yang tepat. Dalam masa sama, vibe santai disuntik untuk menyampaikan mesej lagu agar terlihat lebih natural.
Baca Juga : Ernie Zakri Pecah Rekod, “Masing-Masing” Raih 236 Juta Penstriman Spotify
Di sebalik semua ini, perjalanan mencipta lagu ini tidak mudah. Andi sempat berdepan masalah kesihatan hingga terpaksa menangguhkan perancangan asal lagu. Malah, sepanjang tempoh itu, menjadi turning point untuk Andi reset dan kembali dengan tenaga baru.
Justeru, asbab inilah “Aku Nak Kahwin” emosinya terasa lebih jujur, kerana datang dari fasa hidup berpaksikan realiti, bukan sekadar strategi lagu baharu semata-mata.
“Apa pun status kita, setiap orang ada perjalanan masing-masing,” kata Andi.
Menurutnya, “Aku Nak Kahwin” bukan sekadar lagu tentang mahu berkahwin semata-mata. Ianya tentang sabar, tekanan, harapan dan menerima garis hidup yang telah ditetapkan oleh Allah untuk diri sendiri tanpa mempersoalkan mahupun membandingkanya dengan orang lain.
Single ini sudah pun dilancarkan pada 17 April 2026 dan boleh distrim di semua platform digital. Khusus untuk yang penat dengar lagu sedih, ini mungkin lagu yang membuka mata dan Havoxians perlukan.