
Dalam industri muzik yang sentiasa bergerak laju, hilang selama setahun pun boleh membuat nama tenggelam. Inikan pula jika tiada jejak sehingga 12 tahun.
Sakura Band bukan sekadar “berehat”, mereka seolah-olah lenyap daripada radar. Tiada momentum, tiada bising, tiada cerita besar yang mengikat semula nama mereka dengan generasi pendengar baharu.
Jadi apabila nama Sakura Band tiba-tiba muncul semula dengan album RE:START, persoalan sebenar bukan lagi “mereka kembali”, tapi satu benda yang lebih jujur masih relevankah mereka pada hari ini?
Pelancaran di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 17 April 2026 bukan sekadar memperkenalkan album baharu, tetapi menjadi titik tolak sama ada kumpulan ini benar-benar bersedia untuk bermula semula, atau sekadar mengimbau memori lama.
Dalam industri muzik yang bergerak pantas, tempoh 12 tahun bukanlah satu jarak yang kecil. Ramai yang hilang, tenggelam, atau sekadar tinggal kenangan. Tetapi Sakura Band memilih jalan berbeza. Mereka tidak kembali dengan nostalgia kosong, sebaliknya hadir dengan naratif baharu yang lebih matang dan jujur.
Menurut vokalis kumpulan ini, Mell Sakura atau Melly Matius, pemilihan judul RE:START bukan sekadar nama, tetapi refleksi kepada perjalanan mereka.
“Konsep kali ini memang lebih kepada kemunculan semula Sakura Band selepas lama kami berehat. Sebab itu kami pilih judul RE:START,” ujarnya.
Sebaris ayat yang tampak ringkas, tapi mempunyai makna yang mendalam. Jelas, ini bukan sekadar kembali semula, ini reset untuk sesuatu yang lebih gah!
Evolusi Bunyi Pop Rock Lebih Matang, Taruhan Sakura Band Dalam ‘RE:START’

Kalau dulu Sakura Band sinonim genre pop ringan dan mudah hadam, kali ini mereka tampil berani mengubah arah tanpa membuang identiti asal.
RE:START hadir dengan sentuhan pop rock yang lebih berat, lebih bervariasi dan jelas menunjukkan kematangan jiwa sebagai pemuzik.
Single pertama “Masih” dipilih dengan strategi yang cukup bijak. Lagu ini berfungsi sebagai jambatan antara versi lama dan baharu Sakura Band.

“Kami fikir dari segi strategi juga, nak bagi peminat lama rasa ‘ini Sakura Band yang mereka kenal’. Lagu ini ada elemen pop yang kuat dan vibe dia hampir dengan lagu Melepaskanmu,” katanya.
Dalam masa sama, mereka tidak sekadar bermain selamat. Kolaborasi bersama Adi 6ixth Sense dan Laq membuka ruang kepada eksplorasi bunyi yang lebih segar.
“Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar. Mereka jelas dengan hala tuju lagu dan kami pula bebas berkongsi idea,” tambahnya.
Lebih menarik lagi, ini merupakan kali pertama Sakura Band menghasilkan dan menerbitkan album mereka sendiri. Meski terpaksa menelan risiko yang tinggi, tapi di situlah datangnya identiti sebenar kumpulan ini.
Dari Kisah Peribadi Ke Universal, ‘RE:START’ Sebuah Realiti Pendengar

Salah satu kekuatan utama album ini terletak pada kejujuran dalam penulisan lagu. Bukan sekadar lirik kosong, setiap trek dalam RE:START dibina daripada pengalaman sebenar yang dilalui oleh ahli kumpulan masing-masing.
“Kebanyakan lagu datang daripada apa yang kami sendiri lalui seperti perkara-perkara dalam hidup kami,” tegasnya.
Pendekatan ini menjadikan album tersebut lebih mudah untuk melekat di jiwa. Pendengar bukan sekadar mendengar tetapi menghayati setiap bai-bait lagu di dalam album RE:START . Dalam dunia muzik hari ini elemen asli dan autentik seperti ini merupakan sebuah kekuatan yang sukar ditiru.
Baca Juga : Puncak Galau! ‘Buang Garam Di Laut’ Penamat Pahit Trilogi Cinta Sia-Sia Luvia Band
Mengulas tentang perjalanan menghasilkan album ini, jelas bukanlah suatu yang mudah. Bermula sejak Januari 2025, mereka berdepan cabaran dalam mencari konsep yang benar-benar segar serta mengekalkan momentum di tengah komitmen masing-masing.
“Cabaran terbesar adalah mencari idea dan konsep yang benar-benar segar. Selain itu, untuk kekalkan momentum juga agak mencabar,” katanya.
Namun, hasil akhirnya jelas memberi kepuasan kepada mereka dan ini merupakan satu petanda baik untuk para pendengar.
Comeback selepas 12 tahun bukan lagi soal kembali muncul. Ia tentang sama ada masih relevan atau sekadar menumpang nostalgia. Berdasarkan apa yang dibawakan dalam RE:START, Sakura Band nampaknya memilih untuk bergerak ke lebih pantas dan maju kehadapan.
Album RE:START terbitan Seventeen Eleven Music sudah boleh distrim di semua platform digital utama bermula 17 April 2026.
Havoxians yang nak rasa sendiri ‘jambatan emosi’ yang di bina Sakura Band, muzik video rasmi “Masih” sudah pun dilancarkan dan boleh ditonton di YouTube.
Jika ini mrupakan satu permulaan semula, ayuh kita saksikan sejauh mana Sakura Band mampu melangkah pergi kali ini.