
Siapa sangka di saat ramai menganggap kisah Hang Tuah sekadar sejarah yang tercoret dalam buku teks, masih ada insan yang sanggup mempertaruhkan wang sendiri demi menghidupkan semula legenda pahlawan Melayu di layar perak.
Lebih mengejutkan, individu itu bukanlah anak seni yang lahir daripada industri filem Melayu, sebaliknya seorang penerbit berbangsa India yang percaya warisan negara tidak mengenal bangsa.
Menerusi filem The Keris, beliau tampil membawa gabungan aksi, sejarah dan budaya dalam sebuah naskhah yang bukan sekadar menghiburkan, malah mengajak generasi muda mengenali semula identiti bangsa yang semakin dilupakan.
Apa yang menjadikan filem ini lebih menarik ialah keberaniannya menggabungkan dua dunia yang berbeza iaitu sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan kehidupan moden.
Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi dimensi baharu kepada kisah legenda Hang Tuah, malah membuktikan bahawa warisan lama masih mampu dipersembahkan dengan gaya yang relevan kepada penonton hari ini.
The Keris Lahir Daripada Kebimbangan Terhadap Sejarah Melayu Yang Luput Ditelan Zaman

Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan, idea menghasilkan The Keris tercetus selepas beliau menyedari semakin ramai anak muda yang tidak lagi mengenali tokoh legenda seperti Hang Tuah dan para sahabatnya walaupun kisah tersebut merupakan antara hikayat paling penting dalam sejarah Melayu.
“Saya mendapati bahawa kisah sejarah seperti hikayat Hang Tuah yang begitu cukup terkenal semakin dilupakan. Boleh dikatakan segelintir anak muda hari ini tidak lagi mengenali Hang Tuah dan sahabat sahabatnya,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu mendorong dirinya menghasilkan sebuah filem yang mampu menghidupkan semula semangat sejarah serta memperkenalkan kembali seni persilatan Melayu kepada generasi baharu.
“Maka, ia telah mencetuskan idea dalam diri saya untuk menghasilkan The Keris bagi membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi oleh generasi akan datang,” tambahnya.
Menariknya, walaupun berbangsa India, Dr. Matheyalagan menganggap penghasilan karya yang berteraskan budaya Melayu sebagai satu penghormatan kepada negara dan bukannya satu batasan.
Beliau mengakui membesar bersama masyarakat Melayu sejak kecil sehingga membentuk rasa cinta yang mendalam terhadap budaya serta nilai kehidupan masyarakat tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang bersejarah,” ulasnya.
Lebih membanggakan, projek ini direalisasikan menggunakan dana sendiri tanpa menerima sebarang pembiayaan luar termasuk daripada FINAS. Komitmen itu memperlihatkan kesungguhan beliau dalam memastikan warisan sejarah terus dipelihara menerusi medium perfileman.
Gabungan Legenda Hang Tuah Dan Dunia Moden Tampil Dengan Aksi Yang Mendebarkan

The Keris mengisahkan seorang anggota mafia dari luar negara yang berusaha mendapatkan Keris Tempa Melaka milik Hang Tuah yang dipercayai mempunyai keistimewaan tersendiri serta disimpan oleh seorang individu misteri.
Konflik tersebut menjadi pemangkin kepada sebuah pengembaraan yang menyatukan sejarah silam dengan dunia moden, sekali gus menghasilkan jalan cerita yang berbeza daripada kebanyakan filem tempatan.
Menurut Dr. Matheyalagan, filem arahan Viknes Perrabu itu menawarkan pengalaman tontonan yang unik kerana menggabungkan dua latar masa dalam satu penceritaan yang saling berkait.
Selain menyelitkan unsur sejarah, filem ini turut menampilkan aksi persilatan tradisional, seni bela diri moden serta pelbagai adegan lagak ngeri yang disusun bagi memberikan pengalaman sinematik yang lebih mengujakan kepada penonton.
Gabungan elemen tersebut bukan sahaja menghidupkan kembali semangat kepahlawanan Melayu, malah membuktikan bahawa sejarah boleh dipersembahkan dalam bentuk hiburan yang dinamik tanpa menghilangkan nilai asalnya.
Pendekatan ini sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali semula tokoh legenda negara melalui medium yang lebih dekat dengan citarasa mereka.
Kajian Mendalam Dan Cabaran Bahasa Jadi Kekuatan Sebalik Pembikinan The Keris

Bagi pengarah Viknes Perrabu, The Keris menjadi satu pengalaman baharu selepas lebih 15 tahun menghasilkan filem Tamil.
Beliau mengakui tertarik dengan kekuatan skrip yang menggabungkan sejarah, budaya dan identiti bangsa dalam sebuah naratif yang berpotensi besar untuk diketengahkan kepada penonton pelbagai kaum.
“Apabila saya melihat skrip dan jalan cerita filem ini, saya merasakan ia mempunyai potensi yang besar. Kami melakukan banyak kajian mengenai senjata keris, sejarahnya serta adat dan budaya Melayu yang merangkumi pelbagai istilah dan nilai tradisi,” jelasnya.
Menurutnya lagi, filem tersebut mengangkat semula kisah legenda Hang Tuah dan Hang Jebat dalam bentuk yang lebih moden tanpa menghilangkan roh asal sejarah tersebut.
“Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu khususnya pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberikan nafas baharu kepada cerita berunsurkan warisan Melayu,” dedahnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan skrip dilakukan melalui penyelidikan yang menyeluruh dengan kerjasama Datuk Zulkiflie M. Osman bagi memastikan setiap elemen sejarah dan budaya dipersembahkan secara lebih autentik.

Dalam masa sama, Viknes mengakui cabaran terbesar sepanjang pembikinan filem itu ialah komunikasi kerana buat pertama kali beliau mengarahkan filem dalam bahasa Melayu selepas sekian lama bekerja dalam industri filem Tamil.
“Untuk The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar terutama ketika memberi arahan atau penjelasan kepada pasukan produksi dan pelakon,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana menerima sokongan daripada pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan keseluruhan proses penggambaran.
The Keris menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan. Turut mencuri perhatian ialah kemunculan istimewa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menerusi penampilan cameo.
Sekadar info, Filem The Keris telah menemui Havoxians di pawagam seluruh negara sejak 2 Julai 2026, sekali gus menawarkan sebuah pengalaman sinematik yang menggabungkan aksi, sejarah dan warisan Melayu dalam satu naskhah yang penuh identiti.