
TERBANG sebenarnya sudah mula membina momentum, meski sebelum pelancaran poster dan treler rasmi, menerusi beberapa inisiatif kreatif yang berjaya menarik perhatian orang ramai.
Masih Havoxians ingat bagaimana OlaBola pernah membuatkan satu pawagam bersorak, menangis dan pulang dengan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia? Hampir sedekad selepas fenomena itu, pengarah tersohor Chiu Keng Guan kembali dengan sebuah lagi naskhah yang dijangka mampu membangkitkan semangat sama.
Kali ini, bukan kisah bola sepak yang menjadi taruhan, sebaliknya perjalanan luar biasa seorang legenda rali negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Diinspirasikan daripada kisah sebenar Karamjit Singh, filem TERBANG hadir membawa gabungan aksi berintensiti tinggi, emosi yang menyentuh hati dan semangat juang yang membuktikan bahawa keberanian mampu membawa seorang anak Malaysia terbang lebih jauh daripada apa yang pernah dibayangkan.
Malaysia bakal menyaksikan sebuah lagi filem inspirasi yang meraikan keberanian, semangat juang dan rasa bangga terhadap negara, apabila TERBANG menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 17 September ini.
Gabungan elemen aksi, emosi dan inspirasi ini menjadikan TERBANG antara filem tempatan yang paling dinantikan tahun ini.
Astro Shaw Lancar Kempen ‘Kita Terbang Sama-Sama’ Bersama Rakan Strategik

Bagi meraikan tayangan filem ini, Astro Shaw turut memperkenalkan kempen ‘Kita Terbang Sama-Sama” yang bakal menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik bersama rakan strategik sepanjang tempoh promosi.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata pemilihan tarikh tayangan pada 17 September bukan dibuat secara kebetulan, sebaliknya membawa simbolik yang cukup besar bersempena sambutan Hari Malaysia.

“TERBANG adalah sebuah filem yang mengangkat kisah Malaysia di mata dunia dengan semangat pasukan tempatan melangkaui batas. Kami akan mempersembahkan filem ini pada 17 September di pawagam seluruh tanah air.
Pemilihan tarikh tayangan tersebut seiring dengan sambutan Hari Malaysia dan membawa makna yang istimewa kerana ia meraikan semangat perpaduan, kebanggaan dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kempen tersebut akan menghubungkan rakyat Malaysia dengan dunia TERBANG melalui pelbagai pengalaman merentasi platform digital dan fizikal.
“Harapan kami adalah agar TERBANG menjadi lebih daripada sekadar sebuah filem dan menjadi sebuah pengalaman bersama yang menyatukan rakyat Malaysia serta mencetuskan rasa bangga terhadap kisah yang lahir dari negara kita sendiri,” jelasnya lagi ketika ditemui pada Sidang Media pelancaran Trailer rasmi filem berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Etika, Amy Gan berkata kerjasama bersama Astro Shaw kini berkembang kepada usaha mewujudkan pengalaman yang lebih dekat dengan penonton.
“Kami berharap inisiatif ini dapat membangkitkan keterujaan menjelang tayangan filem, sambil memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman TERBANG,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ketua Pemasaran U Mobile, Bernand Lee berkata kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada peminat melihat proses pembikinan filem menerusi kandungan eksklusif The Making Of.
“Kami berharap kolaborasi ini bukan sahaja memberi akses istimewa kepada peminat, malah membuka perspektif baharu tentang bagaimana teknologi terus mengubah landskap industri kreatif tempatan,” katanya.
Kempen kreatif TERBANG terus raih perhatian sebelum tayangan di pawagam

Meski sebelum pelancaran poster dan treler rasmi, TERBANG sebenarnya sudah mula membina momentum menerusi beberapa inisiatif kreatif yang berjaya menarik perhatian orang ramai.
Antaranya termasuk pelancaran video teaser berdurasi 35 saat yang mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat filem tempatan. Kempen itu kemudiannya diteruskan dengan kolaborasi bersama STING serta kemunculan semula kereta ikonik Proton PERT dalam pameran khas di EON Auto Fest, sekali gus membangkitkan nostalgia terhadap era kegemilangan sukan permotoran negara.
TERBANG bakal menemui Havoxians, di pawagam seluruh negara bermula 17 September 2026. Filem ini turut ditayangkan dalam format 4DX yang menawarkan pengalaman sinematik lebih imersif menerusi kerusi bergerak serta pelbagai kesan persekitaran seperti angin, air dan bau, sekali gus membawa penonton merasai sendiri debaran perjalanan luar biasa yang diangkat ke layar perak.
Sekadar info, TERBANG diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama EJJ Films, Enotech Pictures dan Aventure Space, manakala proses produksinya dikendalikan oleh Woohoo Pictures.
Filem ini turut mendapat sokongan strategik daripada STING, U Mobile serta kebenaran penggunaan elemen jenama daripada PROTON, PETRONAS, EON Berhad dan Malaysia Aviation Group bagi menghidupkan semula suasana era kegemilangan tersebut.