
Nama XPDC bukan sekadar terpahat dalam sejarah muzik rock Malaysia, malah terus menjadi simbol perjuangan yang tidak pernah padam meskipun zaman berubah dan generasi silih berganti. Kehilangan vokalis ikonik mereka, Allahyarham Mael, bukan noktah kepada perjalanan kumpulan legenda itu, sebaliknya menjadi titik kebangkitan buat XPDC Kita Peng Yu untuk meneruskan legasi yang sudah dibina sejak puluhan tahun lalu.
Apa yang lebih mengagumkan, jenama XPDC Kita Peng Yu tidak hanya bergantung kepada nostalgia. Sebaliknya, mereka masih kekal relevan apabila terus menjadi antara kumpulan yang paling mendapat permintaan dalam festival rock, acara korporat dan konsert di seluruh negara. Sokongan yang tidak pernah surut daripada peminat membuktikan muzik mereka masih mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hati pencinta rock tempatan.
Kini, selepas menguasai pelbagai pentas di Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei, XPDC Kita Peng Yu bersedia menghadiahkan sebuah persembahan yang lebih eksklusif menerusi konsert XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud di Odeon KL pada 22 Ogos depan.
XPDC Kita Peng Yu Masih Pilihan Peminat Muzik Rock Tanah Air

Walaupun industri muzik sentiasa berubah dengan kemunculan pelbagai genre baharu, XPDC Kita Peng Yu membuktikan mereka masih memiliki pengaruh yang luar biasa apabila mencatatkan lebih 60 persembahan setiap tahun.
Rekod itu menjadi bukti bahawa nama XPDC masih mempunyai nilai yang tinggi dalam industri hiburan. Kehadiran mereka di pelbagai festival dan acara sentiasa menerima sambutan hangat, sekali gus memperlihatkan bahawa karya karya malar segar mereka masih mampu menyatukan peminat daripada pelbagai lapisan usia.
XPDC Kita Peng Yu yang kini dianggotai Arry selaku vokalis, Jeff sebagai pemain gitar, Zuar di bahagian bass serta Amy di posisi dram terus membawa semangat perjuangan kumpulan itu dengan penuh komitmen.
Menurut Pengarah Urusan Rockstation & Event Entertainment, Mozylir Moktaruddin, konsert eksklusif ini diwujudkan selepas melihat permintaan berterusan daripada peminat yang mahu menyaksikan XPDC Kita Peng Yu dalam sebuah persembahan berskala lebih besar.
“XPDC Kita Peng Yu sememangnya mempunyai kelompok peminat yang sangat besar. Selepas melakukan tinjauan dan melihat sambutan yang diterima kumpulan ini di pelbagai lokasi, kami yakin sudah tiba masanya untuk merealisasikan sebuah konsert eksklusif buat mereka,” katanya.
Beliau turut optimis peminat dari Sabah, Sarawak dan Brunei akan turut hadir memeriahkan malam berkenaan memandangkan muzik rock masih mempunyai pengaruh yang cukup kuat di wilayah tersebut.
Konsert XPDC Headbang Live & Loud Tawar Tiga Segmen Eksklusif Bersama Tetamu Istimewa

Konsert yang berlangsung di Odeon Kuala Lumpur itu bukan sekadar menghimpunkan deretan lagu hit yang membesarkan nama XPDC, malah bakal mempersembahkan single terbaharu mereka berjudul Satu Arah.
Lebih menarik, penganjur turut membawa tiga nama besar dalam dunia rock tanah air sebagai tetamu khas iaitu Yan Lefthanded, Jatt Ali daripada Black Dog Bone serta Syed Ali yang juga adik kepada Allahyarham Mael.
Kehadiran mereka akan menghidupkan tiga segmen istimewa yang dinamakan Metal, Tribute dan Metal 60’an. Setiap segmen disusun bagi membawa penonton mengimbau perjalanan muzik rock Malaysia daripada era terdahulu sehingga ke hari ini.
Menurut Mozylir, pihak penganjur turut memberi perhatian kepada aspek teknikal bagi memastikan pengalaman yang diterima penonton benar benar setanding dengan sebuah konsert berskala besar.
Katanya, sistem audio, pencahayaan serta visual sedang dipersiapkan dengan teliti supaya setiap peminat menikmati pengalaman yang lebih berkualiti sepanjang lebih dua jam persembahan berlangsung.
XPDC Kita Peng Yu Janjikan Pengalaman Mantap Buat Peminat

Bagi pemain bass XPDC Kita Peng Yu, Zuar, persembahan bertiket memerlukan persiapan yang jauh lebih rapi kerana setiap penonton hadir dengan harapan yang tinggi.
Menurutnya, seluruh ahli kumpulan memberikan perhatian terhadap setiap aspek produksi supaya peminat membawa pulang pengalaman yang benar benar berbaloi.
“Bila kita buat konsert berbayar, peminat datang dengan harapan yang lebih tinggi. Sebab itu kami beri perhatian kepada setiap aspek termasuk susunan lagu, sistem bunyi, pencahayaan dan keseluruhan produksi.
Kami mahu setiap peminat yang hadir pulang dengan rasa puas dan merasakan mereka benar-benar mendapat pengalaman yang istimewa,” ujarnya
Dalam masa sama, Pengurus XPDC Kita Peng Yu, Mohd Yazid Selamat yakin konsert tersebut mampu menjadi antara persembahan rock paling dinantikan tahun ini berdasarkan rekod sambutan luar biasa yang diterima kumpulan berkenaan setiap kali beraksi di pentas.
“Kami akan sajikan sebuah malam yang penuh tenaga dengan deretan lagu hit yang sentiasa menjadi kegemaran peminat. XPDC Kita Peng Yu mempunyai kredibiliti untuk memberikan persembahan yang mantap dan menghiburkan,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa peminat bukan sahaja berpeluang menikmati persembahan utama, malah boleh menyaksikan sesi uji bunyi dan latihan selain bertemu sendiri semua anggota XPDC Kita Peng Yu pada petang hari konsert berlangsung.
Dengan gabungan lagu lagu legenda yang masih segar di ingatan, kemunculan tetamu khas, tiga segmen eksklusif serta produksi yang dipertingkatkan, XPDC Kita Peng Yu Headbang Live & Loud At Odeon KL dilihat berpotensi menjadi antara konsert rock paling dinantikan tahun ini.
Bagi Havoxians, yang ingin menjadi sebahagian daripada malam penuh adrenalin dan nostalgia itu, tiket kini boleh didapati pada harga bermula RM158 hingga RM258, manakala pakej Rock Zone bernilai RM388 menawarkan peluang eksklusif menyaksikan sesi uji bunyi, menghadiri latihan serta bertemu semua ahli XPDC Kita Peng Yu sebelum konsert bermula.
Tarikh keramat 22 Ogos ini bakal menjadi malam untuk ribuan peminat kembali mengangkat tangan ke udara, menyanyi sekuat hati dan melakukan headbang bersama sebuah nama yang terus hidup dalam sejarah rock Malaysia.