
Dalam dunia hiburan yang semakin berkembang, saiz sesebuah konsert bukan lagi menjadi ukuran kepada nilai pengalaman peminat. Ketika ramai mengejar pentas berskala besar, satu siri persembahan baharu hadir dengan misi berbeza iaitu mengembalikan keintiman antara penyanyi dan penonton melalui pengalaman muzik yang lebih dekat, eksklusif serta penuh emosi.
Menerusi pengenalan SPOTLIGHT KLCC Series, HiFive Entertainment dengan kerjasama Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bakal membawa dimensi baharu kepada industri hiburan langsung negara apabila menghimpunkan enam persembahan istimewa di pentas berprestij Plenary Theatre, KLCC bermula Ogos depan.
Lebih menarik lagi, siri pertama ini bukan hanya mempertaruhkan nama besar industri muzik tanah air, malah turut membuka ruang kepada kepelbagaian genre dengan gabungan penyanyi berpengalaman dan bakat generasi baharu.
Antara barisan artis yang bakal mencipta momen istimewa bersama peminat ialah Aizat Amdan, Sekumpulan Orang Gila (SOG), Orked Farhan, Iman Troye, Imran Ajmain dan Noryn Aziz.
SPOTLIGHT KLCC Bawa Konsep Persembahan Intim Dengan Pengalaman Premium

Berbeza dengan format konsert berskala mega, SPOTLIGHT KLCC Series memberi fokus kepada pengalaman yang lebih peribadi apabila peminat berpeluang menikmati persembahan dalam suasana lebih dekat bersama artis kegemaran mereka.
Pemilihan Plenary Theatre, KLCC sebagai lokasi utama juga memainkan peranan penting dalam menjadikan siri ini sebuah pengalaman hiburan yang lebih eksklusif. Dengan suasana bertaraf premium di tengah ibu kota, ia dilihat sebagai platform sesuai untuk mengangkat persembahan langsung yang dikurasi secara lebih teliti.
Pengarah Projek SPOTLIGHT KLCC, Mike Manicka berkata, matlamat utama siri ini adalah untuk membuktikan bahawa pengalaman hiburan berkualiti tidak semestinya perlu hadir dalam skala besar atau membebankan peminat dari segi kos.
“Dengan SPOTLIGHT KLCC Series, misi kami sentiasa untuk membuktikan bahawa pengalaman budaya yang luar biasa tidak memerlukan venue yang besar atau harga tiket yang terlalu tinggi.
“Kami amat komited untuk memperjuangkan persembahan berskala kecil dan intim yang menawarkan suasana premium dan sofistikated kepada penonton. Dalam masa yang sama, menawarkan harga tiket yang mampu milik dan boleh diakses oleh semua,” katanya.
Aizat Amdan, SOG, Iman Troye Hingga Noryn Aziz Bergabung Dalam Enam Siri Persembahan Istimewa

Bab pertama SPOTLIGHT KLCC Series akan berlangsung menerusi enam siri persembahan yang dijadualkan pada 22 Ogos dan 12 September 2026.
Pentas siri pertama ini akan dibuka dengan persembahan Aizat Amdan pada jam 1.30 petang, diikuti kumpulan SOG pada jam 4.30 petang dan Orked Farhan pada jam 8.30 malam.
Siri persembahan diteruskan pada 12 September dengan kemunculan Iman Troye pada jam 1.30 petang, Imran Ajmain pada jam 4.30 petang sebelum ditutup dengan persembahan vokalis hebat Noryn Aziz pada jam 8.30 malam.

Gabungan enam nama ini memperlihatkan usaha SPOTLIGHT KLCC Series dalam meraikan warna muzik Malaysia yang pelbagai. Daripada pop, balada, rock alternatif sehingga persembahan vokal matang, setiap siri dijangka membawa identiti dan pengalaman berbeza kepada penonton.
Selain menjadi pentas hiburan, SPOTLIGHT KLCC Series turut berperanan sebagai hab budaya yang menghubungkan artis, jenama tempatan dan komuniti kreatif melalui pengalaman seni yang lebih bermakna.
SPOTLIGHT KLCC Series Bakal Terus Berkembang, Lebih Banyak Persembahan Hiburan Pada Masa Depan

Tidak hanya terhad kepada persembahan muzik, SPOTLIGHT KLCC Series turut mempunyai perancangan lebih besar untuk memperluaskan konsep hiburan langsung pada masa akan datang termasuk penganjuran persembahan komedi berdiri dan pelbagai lagi acara seni.
Menurut Mike, sambutan positif yang diterima menjadi pembakar semangat kepada pihak penganjur untuk meneruskan perjalanan siri ini dengan skala kandungan yang lebih luas.
“Sambutan luar biasa yang kami terima setakat ini menyemarakkan lagi semangat kami, dan kami teruja untuk mengumumkan bahawa kami akan memperkenalkan Bab 2 perjalanan ini secara rasmi pada Julai hadapan.
“Janji kami adalah untuk membawa lebih banyak persembahan berkualiti tinggi yang dikurasi khas,” katanya.
Bagi kategori tiket, persembahan Aizat Amdan, SOG, Orked Farhan, Iman Troye dan Imran Ajmain ditawarkan pada harga RM150 bagi tiket Standard serta RM200 bagi Premium termasuk sesi Meet & Greet.
Sementara itu, persembahan Noryn Aziz pula ditawarkan pada harga RM180 bagi kategori Standard dan RM260 bagi kategori Premium bersama sesi Meet & Greet.
Havoxians, yang ingin menjadi sebahagian daripada pengalaman pertama SPOTLIGHT KLCC Series boleh mendapatkan tiket secara eksklusif menerusi platform rasmi Ticket2U.