
Konsert reunion dan nostalgia bukan perkara baru dalam industri muzik tempatan. Tapi bila sebuah kumpulan legenda seperti Umbrella memilih untuk menggabungkan emosi era 90-an bersama teknologi AI dan pendekatan produksi moden, itu terus mengubah naratif sebuah konsert biasa menjadi pengalaman tak terlupakan.
Bukan sekadar malam nyanyian hit lama, Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang bakal berlangsung di Universiti Utara Malaysia pada 6 Jun 2026 dilihat seperti percubaan membawa semula “jiwa” muzik Melayu yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai orang.
Lebih menarik lagi, acara ini tidak hanya bergantung kepada elemen nostalgia semata-mata. Sebaliknya, cubaan membina sebuah pengalaman yang menghubungkan tiga generasi pendengar berbeza melalui gabungan Umbrella, Zamani dan Floor 88 dalam satu pentas sama.
Apa yang membuatkan konsert ini lebih signifikan adalah keberanian mereka keluar daripada zon selesa industri hiburan yang selama ini sentiasa tertumpu di Kuala Lumpur.
Konsert nostalgia kini mula bergerak ke luar Kuala Lumpur

Selama bertahun-tahun, industri konsert tempatan sering tertumpu di ibu negara sehingga peminat di negeri lain terpaksa berbelanja besar semata-mata mahu menyaksikan artis kegemaran mereka secara langsung.
Namun penganjuran Konsert Seribu Rahmat Umbrella di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia membawa mesej berbeza bahawa acara berskala besar juga mampu hidup di luar kota metropolitan.
Pemilihan lokasi di Kedah bukan dibuat secara rawak. Selain memiliki fasiliti profesional, kedudukan UUM juga strategik untuk peminat dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara dan selatan Thailand.
Dalam masa sama, langkah ini secara tidak langsung membuka peluang kepada ekonomi kreatif di wilayah utara yang selama ini kurang menerima penganjuran konsert berskala besar.
Menurut pihak penganjur, lebih 150 tenaga kerja tempatan terlibat dalam penerbitan konsert tersebut termasuk kru teknikal, produksi dan pengurusan acara.
Ini sekaligus membuktikan industri hiburan bukan sekadar tentang artis di atas pentas, tetapi turut menjadi pemangkin kepada peluang pekerjaan dan pergerakan ekonomi setempat.
Umbrella hidupkan semula emosi album yang membesar bersama peminat

Bagi peminat muzik era 90 an, nama Umbrella bukan sekadar sebuah band rock jiwang biasa.
Lagu seperti Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu pernah menjadi teman kepada generasi yang membesar dengan radio kaset, walkman dan surat cinta tulisan tangan.
Sebab itu apabila vokalisnya, Zarul Husin mengakui dirinya sendiri turut terbawa emosi ketika sesi latihan berlangsung, ia memberi gambaran bahawa konsert ini lebih daripada sekadar persembahan pentas.
“Ini merupakan kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bass kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut.
“Kami bakal mempersembahkan kira kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas.
Ia benar benar sebuah perjalanan nostalgia, malah ketika sesi latihan, saya sendiri merasai emosi yang mendalam kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu lagu tersebut,” ujar Zarul.
Tambahnya lagi, konsert itu akan membawa penonton menyusuri jatuh bangun perjalanan seni mereka sejak awal kemunculan dahulu.
“Kami mahu penonton merasai satu perjalanan. Lagu lagu yang dipilih adalah yang cukup dekat di hati peminat tegar termasuk kemungkinan lagu daripada album Payung Sakti dan persembahan solo saya sendiri. Ini adalah hadiah buat mereka yang setia menyokong kami sejak awal 90 an,” jelasnya.
Dalam era muzik yang kini bergerak pantas di platform digital, usaha menghidupkan kembali karya lama dengan nilai sentimental sebegini sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri kerana ia menghubungkan memori lama dengan generasi baru.
AI dan medley Zamani jadi taruhan utama malam penuh emosi

Satu lagi faktor yang dijangka menjadi perhatian adalah penggunaan teknologi AI dalam penceritaan visual konsert tersebut.
Penonton bakal disajikan dengan video flashback perjalanan Umbrella yang diolah semula menggunakan kecerdasan buatan menerusi gabungan rakaman arkib dan visual eksklusif di sebalik tabir.
Pendekatan ini menunjukkan bagaimana teknologi moden boleh digunakan untuk memperkayakan elemen emosi sesebuah persembahan tanpa menghilangkan identiti asal muzik itu sendiri.
Dalam masa sama, kemunculan Zamani bersama Umbrella menerusi segmen medley khas dijangka menjadi antara momen paling dinanti nantikan.
Dua nama besar yang pernah mendominasi era rock Melayu itu bakal berkongsi pentas buat julung kalinya dalam sebuah susunan muzik istimewa.

Kehadiran Floor 88 pula memberi keseimbangan kepada keseluruhan acara dengan membawa tenaga generasi baru menerusi lagu lagu moden yang lebih dekat dengan pendengar muda hari ini.
Gabungan tiga era berbeza ini menjadikan Konsert Seribu Rahmat Umbrella bukan hanya tentang nostalgia, tetapi juga simbol bagaimana muzik mampu menyatukan generasi.
Konsert ini akan berlangsung pada 6 Jun 2026 di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia. Tiket sudah mula dijual mengikut kategori Zon Ramalanku Benar Belaka berharga RM150, Zon Bukalah Hatimu RM100 dan Zon Akulah Teduhan Mu RM50 dengan konsep tempat duduk bebas berdasarkan siapa cepat dia dapat.
Sekadar info, untuk pembelian tiket dan maklumat lanjut berkenaan konsert ini, Havoxians boleh layari Ticket2U