
Dalam dunia di mana viral boleh dicipta dalam beberapa saat dan dilupakan secepat mungkin, kebanyakan nama hanya muncul sebagai bunyi latar yang tidak sempat meninggalkan kesan. Malah, tidak sedikit yang hilang sebelum sempat dikenali sebagai artis sebenar.
Namun bagi Adam Nuqris, satu rakaman ringkas yang pada awalnya sekadar momen spontan berubah menjadi titik perubahan yang membawa dirinya keluar dari lanskap digitalisadi dan mengahmpiri realiti sebenar industri muzik.
Ini bukan sekadar kisah penyanyi baharu melancarkan single. Ini adalah cerita tentang bagaimana perhatian sementara boleh bertukar menjadi kepercayaan, dan bagaimana seorang anak muda memilih untuk tidak berhenti pada viral, tetapi membina sesuatu yang lebih besar iaitu identiti sebagai seorang artis.
Daripada rakaman cover di TikTok yang mencuri perhatian puluhan ribu pengikut, kepada pelancaran single debut “Alasan”, perjalanan Adam Nuqris bukan sekadar tentang angka atau perhatian digital.
Namun, ia adalah kisah tentang bagaimana seorang anak muda menukar momentum viral menjadi langkah pertama ke arena muzik arus perdana.
Dengan berbekalkan bakat vokal serak penuh emosi serta keupayaan merentas genre daripada hip hop kepada rock, Adam Nuqris tidak sekadar hadir sebagai bakat baharu, tetapi sebagai suara yang membawa pengalaman hidup sebenar ke dalam muziknya.
Dari Tukang Gunting Rambut, Adam Nuqris Ke Pentas Arus Perdana

Di sebalik peningkatan popularitinya, latar belakang Adam Nuqris jauh daripada glamor. Sebelum dikenali sebagai penyanyi, beliau menjalani kehidupan biasa sebagai seorang tukang gunting rambut yang mengusahakan gerai makanan di Kampung Baru.
Perjalanan seninya pula tidak dibentuk dalam studio besar, sebaliknya lahir daripada sesi jamming santai, pembelajaran sendiri bermain gitar dan pengalaman pentas kecil sejak usia muda.
Bahkan, bakatnya mula disedari sejak zaman persekolahan melalui persembahan spontan bersama rakan artis Dannqrack.
“Saya tidak datang daripada jalan yang mudah, dan saya tidak pernah mahu berpura-pura seolah-olah saya datang daripada sesuatu yang sempurna. Semua yang saya lalui daripada kerja biasa, kehidupan harian, sehinggalah jatuh bangun dalam mencari arah, semuanya membentuk siapa saya hari ini.
Saya belajar bahawa muzik bukan sekadar tentang bunyi, tetapi tentang kejujuran dalam menceritakan apa yang kita rasa. ‘Alasan’ adalah refleksi paling jujur tentang fasa hidup saya sekarang,” jelasnya.
Naratif ini menjadikan Adam Nuqris lebih daripada sekadar produk viral. Sebaliknya membawa kredibiliti yang datang daripada pengalaman hidup sebenar.
Rakaman 30 Saat Ubah Haluan Hidup Adam Nuqris

Kisah “Alasan” bermula daripada sesuatu yang hampir tidak disengajakan. Hanya sebuah rakaman pendek berdurasi 30 saat yang dimuat naik ke TikTok ketika sesi jamming biasa.
Namun, respons yang diterima membuka dimensi baharu, apa yang bermula sebagai momen spontan bertukar menjadi titik perubahan yang membawa Adam ke fasa lebih serius dalam kerjayanya.
“Saya ingat itu hanya momen kecil pada mulanya. Tapi apabila saya lihat orang mula benar-benar ‘connect’ dengan klip itu, saya sedar mungkin ini bukan sekadar satu rakaman spontan. Mungkin ini adalah cerita yang perlu disempurnakan menjadi sesuatu yang lebih besar.
Dari situ, ‘Alasan’ mula berkembang menjadi sebuah karya penuh yang datang daripada emosi yang sangat jujur,” kongsinya.
Di sinilah terletaknya kekuatan sebenar Adam. Dia tidak bergantung pada viral semata mata, tetapi tahu bagaimana untuk menterjemah perhatian itu menjadi karya yang lebih matang dan bermakna.
“Alasan” Bukan Lagu Patah Hati Biasa

Dicipta oleh Kidd Santhe dan ditulis bersama Adam, Saixse serta Altimet, “Alasan” hadir sebagai sebuah karya hip hop dengan sentuhan trap moden yang segar dan emosional.
Namun yang membezakan lagu ini adalah pendekatannya terhadap tema. Ia tidak sekadar bercerita tentang kehilangan, tetapi menyelami keletihan emosi, kejujuran terhadap diri sendiri dan keberanian untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi makna.
“Lagu ini bukan sekadar tentang kesedihan. Ia tentang momen apabila kita akhirnya berhenti menafikan apa yang kita rasa, dan mula berani mengakui bahawa kita sudah sampai ke satu titik di mana kita perlu memilih diri sendiri.
Kadang-kadang kita bertahan terlalu lama dalam sesuatu yang sebenarnya sudah tidak lagi memberi ruang untuk kita berkembang. Dan pada saat itu, ‘pergi’ bukan bermaksud kalah, tetapi satu bentuk keberanian yang paling jujur,” tambahnya.
Pendekatan ini menjadikan “Alasan” lebih dekat dengan realiti pendengar hari ini yang semakin menghargai kejujuran berbanding naratif klise.
Visual Sinematik, Dari Viral Ke Legit!

Mengiringi pelancaran single ini, video muzik rasmi “Alasan” diarahkan oleh Kripxen yang dikenali dengan gaya visual beremosi dan simbolik.
Pendekatan sinematik yang digunakan bukan sekadar melengkapkan lagu, tetapi memperluaskan pengalaman mendengar kepada pengalaman merasai. Setiap visual dibina untuk memperkukuh mesej tentang konflik dalaman dan proses melepaskan.
Ini menjadikan “Alasan” bukan hanya sebuah lagu, tetapi satu naratif lengkap yang bergerak antara bunyi dan visual.
Di bawah naungan SVLTAN Management dengan kerjasama Sony Music Entertainment Malaysia, pelancaran “Alasan” menandakan titik mula rasmi Adam Nuqris dalam industri muzik arus perdana.
Namun lebih penting daripada itu, ia melambangkan satu peralihan yang jarang berlaku, daripada fenomena digital kepada artis yang sedang membina asas kukuh dalam industri.
Dalam landskap muzik yang semakin sesak, Adam tidak sekadar mengejar perhatian. Dia sedang membina sesuatu yang lebih sukar untuk dicapai, kepercayaan pendengar terhadap kejujuran muziknya.
Jika “Alasan” adalah langkah pertama, adakah Havoxians rasa perjalanan selepas ini berpotensi untuk menjadi sesuatu yang jauh lebih besar daripada sekadar viral?