
Ada malam tertentu dalam sejarah muzik yang tidak pernah benar-benar tamat. Lampu pentas mungkin sudah lama dipadam, sorakan penonton sudah menjadi gema memori, namun kisahnya terus hidup dari satu generasi ke satu generasi.
Begitulah yang berlaku kepada The Grand Slam Unplugged pada malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka. Sebuah konsert yang tetap berlangsung megah meskipun berdepan gangguan elektrik, lalu berubah menjadi antara momen paling epik dalam sejarah industri muzik tempatan.
Kini selepas dua dekad, nostalgia itu kembali bernafas menerusi The Grand Slam Unplugged 2. Bukan untuk mengulang sejarah lama semata-mata, tetapi mencipta momen baharu yang bakal sekali lagi menyatukan ribuan jiwa dalam satu malam penuh kenangan.
Konsert The Grand Slam Unplugged 2 Sebuah Perjalanan Nostalgia Peminat

The Grand Slam Unplugged 2 bakal berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena dan menjadi titik pertemuan buat ribuan peminat yang membesar dengan lagu lagu malar segar Slam. Lebih daripada sebuah persembahan biasa, konsert ini membawa semula rasa rindu terhadap zaman kegemilangan muzik pop Melayu yang pernah mendominasi industri tempatan.
Menurut gitaris Slam, Shah Slam, konsert ini tidak wujud semata mata mahu mengulang sejarah lama.
“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami,” katanya.
Jelasnya lagi, konsert ini merupakan sebuah apresiasi terhadap karya dan peminat yang tidak pernah meninggalkan perjalanan seni mereka walaupun industri muzik sudah berubah mengikut zaman.
Aura nostalgia itu juga menjadi faktor utama yang membuatkan peminat terus memberi sokongan luar biasa. Malah pemain dram Slam, Osman Khalid mengakui jualan tiket yang sudah mencecah 70 peratus membuktikan karya Slam masih dekat di hati pendengar.
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat. Kami yakin peminat masih setia dengan kami dan ini sangat mengharukan,” ujarnya.
Kehadiran Aznan Alias, JoBranko Dan Kid Search Tambah Eksklusiviti Konsert Slam

Bagi menghidupkan lagi pengalaman unplugged yang lebih besar dan emosional, Slam turut mengundang tiga nama penting dalam industri muzik tempatan iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search.
Kehadiran mereka bukan sekadar penampilan khas biasa tetapi simbol penghormatan terhadap perjalanan muzik tempatan yang dibina bersama selama puluhan tahun. Setiap figura membawa identiti dan pengaruh tersendiri dalam membentuk bunyi dan warna muzik Malaysia.
Aznan Alias menyifatkan jemputan itu sebagai sesuatu yang cukup istimewa buat dirinya.
“Saya sangat menghargai jemputan ini. Dan bagi saya Slam adalah wajah sebenar genre Pop Melayu,” katanya.
JoBranko pula melihat penglibatannya dalam konsert ini sebagai lambang persahabatan sesama pemuzik yang sudah lama terjalin dalam industri.
“Tentu sekali saya berbangga untuk terlibat dalam projek mega Slam ini. Sebagai pemuzik dan sahabat, saya melihat Slam sebagai sebuah kumpulan yang hebat kerana mampu bertahan selama berpuluh tahun,” tambahnya.
Menurutnya, kekuatan terbesar Slam terletak pada kesatuan lima anggota yang terus bertahan hingga hari ini, sesuatu yang semakin sukar dilihat dalam industri muzik moden.
Sementara itu, Kid Search percaya muzik sentiasa menjadi medium penyatuan tanpa mengira genre dan latar belakang sesebuah kumpulan.
“Muzik sentiasa menyatukan kita. Tidak kisah saya datang daripada kumpulan apa, atau Slam membawa muzik yang berbeza genre, namun kita meraikan semuanya,” ujarnya.
Slam Mahu Cipta Momen Baharu Lebih Besar Daripada Sejarah Lama

Apa yang menarik tentang The Grand Slam Unplugged 2 ialah bagaimana Slam tidak terlalu bergantung kepada nostalgia semata mata untuk menjual konsert mereka. Sebaliknya mereka mahu mencipta pengalaman baharu yang mempunyai nilai emosi tersendiri kepada penonton yang hadir.
Dalam dunia hiburan hari ini, ramai artis cuba menghidupkan semula era lama kerana mahu menunggang populariti nostalgia. Namun bagi Slam, konsert ini lebih kepada perjalanan meraikan survival sebuah kumpulan yang masih relevan selepas berdepan pelbagai perubahan industri muzik.
“Malam itu akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam,” kata Shah.
Barangkali itulah sebab utama The Grand Slam Unplugged 2 terasa lebih dekat dengan hati peminat. Ia bukan tentang sekadar menyanyi bersama lagu lama, tetapi tentang meraikan memori hidup yang pernah membentuk zaman remaja, cinta dan perjalanan hidup ramai pendengar.

Buat Havoxians yang juga peminat Slam yang mahu menjadi sebahagian daripada malam penuh nostalgia ini, The Grand Slam Unplugged 2 akan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Kategori PS3 dan PS4 telah habis dijual manakala tiket lain masih boleh didapatkan termasuk GRAND VIP, VIP Gold, PS1 dan PS2. Tiket boleh dibeli menerusi ILasso Tickets.