
Siapa sebenarnya musuh dalam sebuah rumah tangga? Adakah wanita yang datang merampas kebahagiaan orang lain, atau lelaki yang bijak memanipulasi dua hati demi kepentingan dirinya sendiri?
Premis berani itulah yang menjadi kekuatan Madu Atau Racun sebuah drama bertemakan poligami, sekaligus mengajak penonton menilai semula siapakah sebenarnya mangsa dalam sebuah hubungan yang dibina atas pembohongan.
Serta bagaimana jika dua wanita yang pada awalnya saling membenci akhirnya memilih untuk berdiri di pihak yang sama? Lebih mengejutkan, apabila mereka mula menyedari bahawa segala luka, pengkhianatan dan penderitaan yang dilalui berpunca daripada individu yang selama ini paling mereka percayai.
Justeru, naskhah Original iQIYI kali ini bukan sekadar memaparkan perebutan kasih seorang suami, drama ini mengajak penonton menyelami sisi gelap sebuah perkahwinan yang dipenuhi manipulasi, trauma dan rahsia sehingga mengubah dua wanita yang dianggap musuh menjadi tempat bergantung antara satu sama lain.
Bakal menemui penonton bermula 14 Ogos 2026, siri 12 episod arahan Eyra Rahman ini menjanjikan perjalanan emosi yang sarat dengan konflik, pengorbanan dan kejutan di setiap episod yang mendebarkan seperti tagline “Satu rumah, dua isteri”.
Madu Atau Racun Singkap Perspektif Baharu Tentang Poligami

Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, pihaknya akan terus komited menghasilkan lebih banyak karya tempatan yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia serta mampu mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton.
Beliau berkata, sesebuah karya yang baik bukan hanya berfungsi sebagai hiburan, malah mampu membuka ruang untuk masyarakat melihat sesuatu isu daripada sudut pandang yang berbeza.
“Melalui drama ini, kami ingin membawakan sebuah drama yang melangkaui tema poligami. Di sebalik premis tersebut, ia sebenarnya mengisahkan perjalanan dua wanita yang terpaksa berkongsi kehidupan dan berdepan dengan pelbagai konflik yang menguji persepsi mereka terhadap satu sama lain,” katanya
Tambah beliau lagi, penonton disarankan mengikuti setiap episod dengan fikiran terbuka kerana setiap perkembangan cerita akan membongkar sisi baharu setiap watak yang mampu mengubah persepsi terhadap mereka.
Pendekatan tersebut menjadikan Madu Atau Racun lebih daripada sekadar kisah perebutan suami. Sebaliknya, drama ini cuba mempersoalkan siapakah sebenarnya mangsa dalam sebuah hubungan yang dipenuhi manipulasi dan pembohongan.
Eyra Rahman Pertaruh Emosi Menerusi Kekuatan Pelakon

Mengemudi keseluruhan naskhah ialah Eyra Rahman yang terkenal dengan sentuhan penceritaan penuh emosi. Beliau percaya setiap karya mempunyai identiti tersendiri walaupun mengangkat tema yang sering diketengahkan dalam drama tempatan.
Menurut Eyra, kekuatan sesebuah naskhah lahir melalui cara setiap pelakon mentafsirkan watak yang diberikan.
“Bagi saya, setiap pelakon membawa tafsiran watak yang berbeza. Saya belum pernah melihat ada pelakon yang membawakan karakter yang benar benar sama. Setiap daripada mereka akan membentuk identiti tersendiri melalui persembahan masing-masing dan di situlah keunikan sesebuah karya lahir,” jelasnya.
Drama ini dibintangi Aliff Aziz sebagai Adli, Uqasha Senrose sebagai Azura serta Elisya Sandha yang menghidupkan watak Nikita.
Gabungan tiga pelakon ini dilihat mampu membawa lapisan emosi yang kompleks sepanjang perkembangan cerita.
Eyra turut menjelaskan bahawa pemilihan Aliff Aziz dibuat berdasarkan profesionalisme dan bakatnya sebagai pelakon, bukannya dipengaruhi persepsi masyarakat terhadap kehidupan peribadinya.
“Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan.
Bagi saya, Aliff seorang pelakon yang sangat berbakat dan mempunyai kelebihan semula jadi dalam lakonan. Dia juga sangat komited, berdedikasi dan menunjukkan disiplin yang sangat baik sepanjang penggambaran,” ujarnya.
Sementara itu, Elisya Sandha mengakui watak Nikita antara karakter paling mencabar yang pernah diterimanya kerana memiliki pelbagai sisi emosi.
“Bila baca skrip, saya rasa dia sangat berbeza daripada watak yang pernah saya bawa sebelum ini. Dia bukan sekadar wanita yang jahat.
Nikita ialah seorang wanita yang penuh trauma dan emosi yang belum terungkai. Sebagai pelakon, saya suka mencabar diri dengan watak yang mempunyai banyak lapisan seperti ini,” dedahnya.
Dua Wanita Akhirnya Sedar Siapa Musuh Sebenar

Drama dibawah naungan iQIYI Originals ini mengisahkan Azura, seorang isteri yang penyayang, sabar dan sentiasa mengutamakan kebahagiaan keluarga. Walaupun menjalani kehidupan yang kelihatan sempurna, dia sebenarnya memendam kesedihan apabila masih belum dikurniakan cahaya mata selepas bertahun tahun mendirikan rumah tangga bersama Adli.
Situasi menjadi semakin rumit apabila Adli, seorang ahli perniagaan berjaya namun mementingkan diri sendiri, membuat keputusan untuk berkahwin lagi dengan Nikita, wanita muda yang lantang, berani dan penuh misteri, mengubah keseluruhan kehidupan mereka.
Pertemuan pertama antara Azura dan Nikita dipenuhi rasa marah, cemburu serta dendam. Namun keadaan berubah apabila mereka dipaksa tinggal bersama di bawah satu bumbung. Sedikit demi sedikit, kedua-duanya mula memahami luka yang selama ini dipendam masing-masing.
Daripada saling menyalahkan, mereka akhirnya menyedari bahawa individu yang selama ini memecah belahkan hubungan mereka sebenarnya ialah Adli sendiri yang bijak memanipulasi keadaan demi kepentingan dirinya.
Konflik menjadi lebih mendebarkan apabila Adli mula menyedari hubungan akrab yang semakin terjalin antara kedua-dua isterinya. Dari situlah pelbagai rahsia mula terbongkar dan membawa penonton kepada pelbagai kejutan yang sukar dijangka.
Sehubungan itu, dengan jalan cerita yang berani, konflik yang dekat dengan realiti serta lakonan penuh emosi daripada barisan pelakon utama, drama ini dilihat berpotensi menjadi antara drama tempatan yang paling hangat diperkatakan tahun ini.
Havoxians, jangan lepaskan peluang mengikuti setiap episod secara eksklusif di iQIYI bermula 14 Ogos 2026, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam, dan saksikan sendiri bagaimana kisah dua wanita ini mengubah persepsi siapa sebenarnya musuh dalam sebuah rumah tangga.