
Bukan semua pejuang memilih untuk berada di medan perang. Ada yang terheret kerana keadaan, ada yang dipaksa mengangkat senjata dan ada juga yang hanya mahu melindungi keluarga serta tanah tempat mereka dilahirkan.
Persoalan itu menjadi nadi kepada filem kenegaraan Orang Perang, sebuah filem epik aksi arahan Hashim Rejab yang membawa penonton menyelami kisah masyarakat Orang Asli ketika Tanah Melayu berdepan ancaman komunis pada era 1950 an.
Diilhamkan daripada kisah benar kaum Semai, filem ini tidak hanya meletakkan pertempuran sebagai tarikan utama. Sebaliknya, perjalanan seorang pemuda bernama Bah Tangga menjadi titik tumpu kepada kisah tentang kepercayaan, persahabatan, pengkhianatan dan keberanian untuk mengubah pendirian apabila realiti yang dihadapi tidak lagi selari dengan apa yang dipercayai.
Kisah Bah Tangga Dalam Orang Perang Uji Kepercayaan Dan Kesetiaan

Pergolakan bermula apabila sebuah perkampungan Orang Asli di pedalaman Cameron Highlands diserang komunis. Bah Tangga kemudiannya direkrut secara paksa sebelum pengalaman yang dilaluinya mula menggugat kepercayaannya terhadap kumpulan tersebut.
Segalanya berubah apabila dia menyaksikan sendiri kekejaman terhadap masyarakatnya. Apa yang pada awalnya mungkin dilihat sebagai satu perjuangan mula dipersoalkan apabila orang yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada perjuangan itu sendiri melakukan keganasan terhadap masyarakatnya.
Bersama sahabatnya, Bah Ayob, Bah Tangga mengambil keputusan untuk memberontak dan melarikan diri ke dalam hutan.
Namun, pelarian tersebut tidak membawa mereka kepada kebebasan seperti yang diharapkan. Sebaliknya, mereka ditahan oleh Jungle Squad pimpinan Inspektor Syed Zainal.
Pada ketika itu, Bah Tangga masih dibelenggu kebencian dan prasangka terhadap orang Melayu serta Inggeris akibat hasutan yang diterimanya sebelum itu. Namun, pendekatan Syed Zainal secara perlahan lahan membuka ruang kepada perubahan dalam dirinya.

Hubungan antara kedua dua watak tersebut menjadi salah satu elemen penting dalam perjalanan Bah Tangga. Daripada rasa curiga dan kebencian, muncul satu bentuk kepercayaan yang akhirnya mengubah arah hidupnya.
“Pendekatan Syed Zainal secara beransur ansur mengubah pandangannya, sekali gus membuka ruang kepada kepercayaan baharu.”
Perjalanan Bah Tangga kemudiannya berkembang apabila dia bersama rakan rakannya menjalani latihan untuk menjadi anggota Senoi Praaq di bawah seliaan British SAS.
Di sinilah kepakaran masyarakat Orang Asli dalam mengenali hutan dan menjejaki pergerakan musuh diketengahkan sebagai sebahagian daripada kekuatan mereka. Hutan yang sebelum ini menjadi ruang pelarian berubah menjadi medan yang menuntut ketahanan fizikal, keberanian dan kemahiran.
Konflik menjadi semakin rumit apabila Bah Tangga bertemu semula dengan Bah Pelangkin, sahabat lamanya yang kini berada di pihak komunis. Pertemuan tersebut bukan sekadar menemukan dua individu daripada masa lalu, tetapi mempertemukan kesetiaan, dendam dan keinsafan dalam satu pertentangan yang lebih peribadi.
Pelakon Orang Perang Hidupkan Dunia Rimba Dan Konflik 1950-an

Bagi menghidupkan kisah yang berlatarbelakangkan zaman penuh pergolakan tersebut, Orang Perang menghimpunkan barisan pelakon yang terdiri daripada Niezam Zaidi, Syazwan Zulkifli, Ammar Alfian, Fadli Masoot, Dewa Arteh, Izuan Razali, Adam Corrie, Hairi Safwan dan Fauzi Nawawi.
Turut membintangi filem ini ialah Razib Salimin, Kazar Sarsi, Azhan Rani, Pui Yi dan Vanida Imran.
Gabungan pelakon berpengalaman bersama bakat generasi baharu memberikan ruang untuk filem ini mengetengahkan watak daripada latar berbeza yang masing-masing mempunyai pendirian, pengalaman dan kepentingan tersendiri dalam konflik yang berlaku.
Lebih menarik, latar hutan bukan sekadar menjadi lokasi untuk babak aksi. Perdik Fall di Ulu Langat, Bukit Tunku dan Kem Asia di Semenyih antara lokasi yang digunakan dalam produksi filem ini bagi membina dunia cerita yang membawa penonton kembali kepada suasana Tanah Melayu pada era 1950-an.
Menerusi kisah Bah Tangga, Orang Perang turut membuka ruang untuk melihat perjuangan daripada perspektif yang jarang menjadi tumpuan dalam filem aksi tempatan. Perjuangan bukan hanya milik anggota pasukan keselamatan, tetapi turut melibatkan masyarakat yang mempertahankan keluarga, kampung dan tanah tempat mereka berpijak.
Sumpah Leluhur Jadi Suara Perjuangan Filem Orang Perang

Menariknya, semangat perjuangan Orang Perang turut diteruskan menerusi lagu runut bunyi asal atau OST berjudul “Sumpah Leluhur” yang mempertemukan Niezam Zaidi bersama Elly Langkasuka.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan Achoi Floor 88, sekali gus menemukan nama daripada dunia lakonan dan muzik dalam sebuah karya yang mempunyai kaitan rapat dengan tema filem.
Achoi juga merupakan antara penulis lirik Tiwikarma, lagu nyanyian K.O.I yang dinobatkan sebagai Juara Anugerah Juara Lagu ke 40.
“Sumpah Leluhur” membawa tema kasih, kerinduan dan semangat perjuangan menerusi perspektif mereka yang berada di medan perjuangan serta insan yang menanti kepulangan orang tersayang. Bait-bait liriknya turut mengangkat semangat untuk terus berdiri mempertahankan apa yang dipercayai.
Gandingan vokal Niezam Zaidi dan Elly Langkasuka memberikan lapisan emosi yang melengkapi kisah Bah Tangga. Jika perjuangan menjadi nadi kepada perjalanan watak utama, unsur kasih dan kerinduan dalam lagu tersebut pula mengingatkan bahawa setiap pertempuran mempunyai insan yang menunggu di belakang.
Pada akhirnya, kekuatan Orang Perang terletak pada keberaniannya membawa kisah masyarakat Orang Asli ke tengah layar menerusi sebuah cerita yang menggabungkan aksi dengan konflik manusia. Orang Perang lebih daripada sebuah filem tentang pertempuran.
Sekadar info, Orang Perang arahan Hashim Rejab dan terbitan 3LINE MEDIA SDN BHD serta NANORD STUDIO PRODUCTION, bakal menemui Havoxians dan penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.