
Sudah lama Johor Bahru tidak menjadi pentas utama untuk sebuah konsert berskala besar yang mampu menarik perhatian peminat muzik dari luar negeri, malah dari negara jiran.
Namun, keadaan itu bakal berubah apabila kumpulan popular Indonesia, Wali Band, memilih bandar raya selatan tanah air tersebut sebagai lokasi untuk bertemu peminat menerusi WALI LIVE IN JB pada Oktober ini.
Lebih menarik, konsert berkenaan bukan sekadar membawa nama besar dari Indonesia ke Johor Bahru. Ia hadir bersama satu angka yang cukup mencuri perhatian apabila pihak penganjur memaklumkan lebih 10,000 tiket telah terjual, dengan sebahagian besar pembeli terdiri daripada peminat dari Singapura.
Perkembangan tersebut secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Johor Bahru mempunyai potensi besar sebagai destinasi acara muzik serantau, terutama dengan kedudukannya yang begitu hampir dengan Singapura.
Bagi sebuah konsert yang turut menjadi projek sulung Nusantara Live Entertainment sebagai penganjur, sambutan berkenaan boleh dianggap sebagai satu petunjuk awal bahawa keputusan membawa acara berskala besar ke Johor Bahru bukanlah sesuatu yang tersasar.
Malah, apa yang bermula dengan rasa ragu dalam kalangan penganjur akhirnya berubah menjadi satu perkembangan yang cukup meyakinkan.
WALI LIVE IN JB Jadi Percubaan Menghidupkan Semula Konsert Berskala Besar Di Johor Bahru

Menurut wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman, mereka pada awalnya turut mempunyai keraguan untuk menganjurkan sebuah konsert berskala besar di Johor Bahru.
Namun, selepas mempertimbangkan potensi bandar raya berkenaan serta melihat sudah agak lama tiada konsert besar dianjurkan di kawasan tersebut, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan projek berkenaan.
“Pada awalnya kami juga agak skeptikal untuk menganjurkan konsert ini di JB. Tetapi setelah difikirkan beberapa kali, akhirnya kami membuat keputusan untuk membuat konsert di JB kerana menyedari sudah lama JB tidak mempunyai konsert berskala besar,” kata mereka.
Keputusan itu ternyata memberikan hasil yang di luar jangkaan apabila jualan tiket menunjukkan sambutan menggalakkan.
“Alhamdulillah, rasa tidak percaya juga bila mendapat tahu tiket konsert ini sudah terjual 10,000 lebih dan kebanyakan yang membeli adalah peminat dari Singapura,” jelas mereka.
Situasi tersebut memperlihatkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar kejayaan jualan tiket.
Johor Bahru mempunyai kelebihan dari segi kedudukan geografi kerana menjadi antara bandar utama yang paling hampir dengan Singapura. Dengan aliran pengunjung yang tinggi antara kedua dua negara, penganjuran acara hiburan berskala besar di JB mempunyai potensi untuk menarik penonton dari luar Johor, khususnya Singapura.
Atas sebab itu, WALI LIVE IN JB dilihat sebagai satu percubaan penting untuk menguji semula kemampuan Johor Bahru menjadi lokasi pilihan bagi acara muzik besar.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan Tourism Johor, Infinity Love Creative Ventures serta EduCity Sports Complex selaku penyedia lokasi acara.
Bagi Nusantara Live Entertainment, pengalaman yang dimiliki oleh pasukan mereka serta sokongan rakan strategik menjadi antara faktor penting dalam memastikan projek sulung tersebut dapat dilaksanakan.
“Kami melihat sambutan penonton di JB dan Singapura sangat menggalakkan, dan perkara ini memberikan kami keyakinan bahawa JB mempunyai potensi besar untuk terus menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran konsert pada masa akan datang,” kata wakil penganjur.
Wali Band Kembali Dengan Lagu Nostalgia, Najwa Latif Turut Berkongsi Pentas

Pemilihan Wali Band sebagai artis utama juga dilihat cukup tepat memandangkan kumpulan tersebut mempunyai sejarah panjang bersama peminat Malaysia.
Lebih 25 tahun dalam industri muzik menyaksikan Wali Band membina identiti tersendiri menerusi karya yang dekat dengan kehidupan seharian pendengar.
Barisan anggota kumpulan itu terdiri daripada Faank sebagai vokalis, Apoy sebagai gitaris dan komposer, Tomi sebagai pemain dram serta Ovie di bahagian keyboard.
Sepanjang perjalanan mereka, Wali Band menghasilkan pelbagai lagu yang bukan sahaja popular ketika dilancarkan, malah terus dimainkan dan dinyanyikan sehingga hari ini.
Antara karya yang cukup sinonim dengan mereka termasuk Cari Jodoh, Baik Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib, Nenekku Pahlawanku, Cari Berkah, Emang Dasar dan Tobat Maksiat.
Kekuatan Wali Band terletak pada formula muzik yang mudah diterima. Melodinya senang diingati, liriknya dekat dengan pengalaman hidup dan tema yang diketengahkan pula merangkumi cinta, keluarga, kehidupan serta nilai kemanusiaan.
Sebab itu, persembahan Wali Band sering kali bukan hanya tentang penonton melihat artis di atas pentas. Ia juga mengenai momen apabila ribuan peminat menyanyikan semula lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup mereka.
Menambahkan lagi tarikan untuk WALI LIVE IN JB ialah kemunculan penyanyi tempatan, Najwa Latif, sebagai penyanyi istimewa.
Najwa mengakui dirinya sendiri membesar dengan lagu lagu Wali Band dan tidak teragak agak untuk menerima tawaran tersebut.
“Saya amat berbesar hati apabila diberi peluang untuk terlibat dalam konsert ini. Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu Wali Band.
Jadi apabila peluang ini datang dan kebetulan pula tarikh konsert itu agak cantik serta saya tidak mempunyai apa-apa komitmen pada tarikh tersebut, saya terus tidak fikir panjang untuk menerima tawaran ini,” katanya.
Kehadiran Najwa dijangka memberikan warna berbeza kepada persembahan malam tersebut, sekali gus mempertemukan dua generasi muzik yang mempunyai kekuatan masing-masing.
Penyanyi yang dikenali menerusi Cinta Muka Buku, Sahabat dan AdaMu itu mempunyai kelompok peminat tersendiri, manakala Wali Band hadir dengan katalog lagu yang sudah cukup sinonim dengan nostalgia muzik Nusantara.
Konsert Wali Band Di Johor Bahru Boleh Jadi Pencetus Kepada Acara Muzik Lebih Besar

Bagi pihak Infinity Love Creative Ventures, kerjasama bersama Nusantara Live Entertainment pula dilihat sebagai peluang untuk menggabungkan pengalaman penganjuran dengan idea baharu daripada pasukan yang sedang membina nama.
Wakilnya, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata pengalaman dan pengetahuan perlu dikongsi bagi memastikan penganjuran acara dapat dilakukan dengan lebih tersusun.
“Sebagai pihak yang mempunyai pengalaman dalam industri, kami melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan kepakaran bersama pasukan Nusantara Live Entertainment,” katanya.
Menurut beliau, WALI LIVE IN JB boleh menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang penganjuran acara berkualiti di Johor Bahru.
Harapan tersebut bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan sekiranya sambutan terhadap WALI LIVE IN JB menjadi petunjuk kepada permintaan sebenar pasaran.
Malah, kehadiran peminat dari Singapura dalam jumlah yang besar boleh memberikan kesan lebih luas kepada ekonomi setempat.
Penonton yang datang dari luar Johor bukan sahaja membelanjakan wang untuk tiket konsert, malah berpotensi menggunakan perkhidmatan hotel, restoran, pengangkutan dan perniagaan tempatan sepanjang berada di Johor Bahru.
Dalam konteks itu, sebuah konsert boleh menjadi lebih daripada sekadar acara hiburan selama beberapa jam. Ia boleh menjadi pemangkin kepada pergerakan ekonomi dan pelancongan, khususnya bagi bandar yang mempunyai akses mudah kepada pasaran antarabangsa seperti Singapura.
Mubarak turut berharap kerjasama tersebut dapat membantu menghidupkan kembali scene konsert di Johor.
“Kami berharap kerjasama ini dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak peluang dan penganjuran acara berkualiti di Johor Bahru pada masa akan datang, sekali gus membantu menghidupkan kembali scene konsert di negeri ini,” katanya.
Jika sambutan terhadap WALI LIVE IN JB terus menunjukkan momentum positif, tidak mustahil Johor Bahru akan kembali menjadi salah satu destinasi penting dalam kalendar konsert muzik Nusantara.
Havoxians, konsert kali ini tidak hanya semata-mata tentang Wali Band kembali bertemu peminat Malaysia, tetapi tentang sebuah bandar yang sedang cuba mendapatkan semula tempatnya dalam peta hiburan serantau.

WALI LIVE IN JB akan berlangsung pada 3 Oktober 2026, jam 8.00 malam di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru. Konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu menampilkan Wali Band bersama Najwa Latif sebagai tetamu istimewa.
Tiket ditawarkan pada harga RM88 untuk Cari Berkah, RM128 bagi Cari Jodoh dan Emang Dasar, RM168 untuk Nenekku Pahlawanku, RM388 bagi Tomat serta RM1,188 untuk kategori Yank Super VIP, dan boleh didapati menerusi MyTicket Asia.