
Tidak ramai kumpulan yang masih mampu mencipta fenomena selepas lebih dua dekad berada dalam industri muzik. Namun, Wali Band membuktikan mereka bukan sekadar nama besar dari Indonesia, malah sebuah fenomena yang terus hidup di hati peminat Malaysia.
Buktinya, hanya dua jam selepas jualan dibuka, sebanyak 50 peratus tiket Wali Live In JB sudah menjadi milik peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kumpulan legenda itu beraksi secara langsung.
Sambutan luar biasa itu sekali lagi mengesahkan bahawa karya-karya Wali Band masih mempunyai tempat istimewa dalam jiwa pendengar. Daripada lagu yang menjadi peneman zaman remaja hinggalah karya yang terus dimainkan sehingga hari ini, hubungan antara Wali Band dan peminat Malaysia kekal utuh meskipun masa terus berlalu.
Selepas menghiburkan peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, kumpulan popular dari Tangerang, Indonesia itu bakal menutup siri jelajah Malaysia menerusi konsert Wali Live In JB di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri pada 3 Oktober depan, sebuah malam yang dijangka menyatukan ribuan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.
50 Peratus Tiket Habis Dalam Dua Jam! Wali Live In JB Bukti Aura Wali Band Masih Luar Biasa

Fenomena Wali Band sekali lagi membuktikan bahawa masa bukan penghalang untuk sebuah kumpulan terus kekal relevan. Hanya dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka, sebanyak 50 peratus tiket Wali Live In JB berjaya dijual, sekali gus memberi gambaran jelas bahawa kumpulan legenda dari Indonesia itu masih memiliki tempat yang istimewa di hati peminat Malaysia.
Dianjurkan oleh Nusantara Live Entertainment bersama Infinity Love Creative Ventures, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik Nusantara paling mendapat perhatian tahun ini apabila menghimpunkan ribuan peminat dari pelbagai negara dalam satu malam yang penuh nostalgia.
Wali Band Kekal Relevan Selepas Lebih 25 Tahun Menghiburkan Peminat Nusantara

Selama lebih 25 tahun berkarya, Wali Band yang dianggotai Faank selaku vokalis, Apoy sebagai pemain gitar dan komposer, Tomi di posisi dram serta Ovie di bahagian keyboard terus mempertahankan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan paling berpengaruh di rantau Nusantara.
Deretan lagu popular seperti Cari Jodoh, Baik Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib dan Nenekku Pahlawanku bukan sahaja meraih jutaan pendengar di platform digital, malah masih menjadi lagu wajib yang dinyanyikan beramai ramai setiap kali mereka mengadakan konsert.
Kejayaan Wali Band bukan hanya terletak pada melodi yang mudah diingati, tetapi juga kemampuan mereka menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Lirik yang ringkas namun sarat makna menjadikan lagu lagu mereka terus relevan merentasi generasi dan diterima baik oleh peminat pelbagai peringkat usia.
Setiap kali Wali Band muncul di pentas Malaysia, suasana konsert sentiasa bertukar menjadi lautan suara apabila ribuan peminat menyanyikan setiap bait lagu bersama mereka. Momen sebegini menjadi identiti yang sukar dipisahkan daripada setiap persembahan kumpulan tersebut.
Faank Anggap Malaysia Seperti Rumah Kedua Buat Wali Band

Menurut Faank, siri persembahan kali ini memberikan pengalaman yang cukup bermakna kerana mereka berpeluang mengadakan jelajah di beberapa lokasi di Malaysia dalam tempoh yang sama.
“Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa. Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, selepas bertemu peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, mereka tidak sabar untuk menutup siri jelajah tersebut bersama peminat di Johor Bahru.
Faank turut mengakui kasih sayang yang diterima daripada peminat Malaysia sentiasa menjadi sebab utama mereka mahu kembali membuat persembahan di negara ini.
“Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia. Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik,” jelasnya.
Tambah beliau, konsert di Johor Bahru nanti bakal menampilkan persembahan yang lebih istimewa dengan beberapa kejutan yang sedang dirancang khas buat para peminat.
“Kami sedang menyiapkan sebuah persembahan yang istimewa untuk Johor Bahru. Sudah tentu lagu lagu yang paling dirindui peminat akan kami bawakan dan mungkin juga ada beberapa kejutan yang kami simpan khas untuk malam itu. Kami berharap semua dapat hadir dan sama sama mencipta kenangan yang indah bersama Wali Band,” ujarnya.
Johor Bahru Dipilih Sebagai Lokasi Strategik Himpunkan Peminat Tiga Negara

Sementara itu, wakil penganjur Nusantara Live Entertainment, Nur Liyana Abdul Rahman dan wakil Infinity Love Creative Ventures, Shasha Samsudin berkata, pemilihan Johor Bahru dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia.
Menurut mereka, lokasi tersebut membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul dalam satu acara berskala antarabangsa.
“Johor Bahru merupakan lokasi yang sangat strategik kerana berada di pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Batam, Indonesia.
Kedudukan ini membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul di satu lokasi untuk menikmati sebuah konsert bertaraf antarabangsa,” tambahnya.
Shasha berkata, EduCity Sports Complex dipilih kerana mampu menampung kehadiran ribuan penonton selain menawarkan kemudahan yang lebih selesa kepada pengunjung.
Beliau percaya jaringan lebuh raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tambak Johor, Laluan Kedua Malaysia Singapura serta perkhidmatan feri ke Batam akan memudahkan perjalanan peminat dari pelbagai negara.
“Kami melihat konsert ini bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi sebagai platform yang menyatukan peminat muzik Nusantara. Kami percaya lokasi ini akan memudahkan peminat dari tiga negara untuk hadir bersama sama,” katanya.
Selain memberi pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa, penganjur turut optimis konsert berkenaan mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi setempat menerusi kehadiran pengunjung dari luar Johor dan luar negara.
Dengan produksi pentas yang lebih segar, sistem audio bertaraf antarabangsa serta rangkaian lagu malar segar yang menjadi runut bunyi kehidupan jutaan peminat, Wali Live In JB dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi antara konsert Nusantara paling hangat pada tahun 2026.
Bagi Havoxians, yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan istimewa ini, tiket telah mula dijual dengan harga bermula RM88 sehingga RM1,188 mengikut kategori. Tiket boleh didapati menerusi platform MyTicket Asia, dan dengan sambutan yang sudah mencecah 50 peratus dalam tempoh hanya dua jam, peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal sebelum kategori pilihan habis dijual.