
Selepas menikmati sambutan luar biasa menerusi Hijab Rindu, penyanyi Black Hanifah mara setapak lagi menerusi single terbaharunya, Terlerai Sudah.
Namun, bagi penyanyi Black Hanifah yang cukup dikenali dengan kekuatan vokal dan penghayatan emosinya itu, kejayaan terdahulu bukanlah ukuran mutlak untuk menentukan sejauh mana sesebuah karya baharu mampu menambat hati pendengar.
Sebaliknya, Black melihat setiap lagu sebagai sebuah perjalanan berbeza yang mempunyai identiti, cerita dan emosinya sendiri.
Justeru, meskipun tidak menafikan wujud tekanan untuk memastikan Terlerai Sudah mendapat sambutan yang baik, penyanyi itu memilih untuk menjadikan cabaran berkenaan sebagai dorongan bagi memberikan hasil terbaik, tanpa terlalu dibayangi pencapaian lagu sebelumnya.
Pendekatan tersebut memperlihatkan kematangan Black dalam mengemudi perjalanan seninya, khususnya ketika berdepan harapan peminat yang sentiasa menantikan karya berkualiti daripada penyanyi berkenaan.
“Bila sesebuah lagu mendapat sambutan yang luar biasa, kita tidak boleh terlalu selesa dan mengharapkan lagu seterusnya akan mengulangi perkara yang sama. Setiap lagu mempunyai cerita dan perjalanan masing-masing,” katanya.
Black Hanifah Anggap Tekanan Selepas Kejayaan Hijab Rindu Sebagai Cabaran

Mengulas mengenai harapan terhadap Terlerai Sudah, Black mengakui bahawa sambutan positif yang diterima Hijab Rindu sedikit sebanyak mewujudkan tekanan untuk menghasilkan karya yang mampu meninggalkan kesan tersendiri kepada pendengar.
Bagaimanapun, tekanan itu tidak dianggap sebagai sesuatu yang membebankan sehingga menjejaskan tumpuannya terhadap muzik. Sebaliknya, Black melihatnya sebagai satu tanggungjawab untuk terus memperbaiki mutu karya dan memastikan setiap lagu yang dipersembahkan mempunyai kekuatan tersendiri.
“Sudah tentu ada sedikit tekanan, tetapi saya lebih melihatnya sebagai satu tanggungjawab dan cabaran untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Saya sangat bersyukur dengan penerimaan terhadap lagu Hijab Rindu,” jelasnya.
Bagi Black, kejayaan sesebuah lagu tidak seharusnya menjadi formula yang perlu diulang semula setiap kali menghasilkan karya baharu. Setiap lagu hadir dengan karakter, mesej dan pendekatan berbeza, sekali gus memerlukan penyanyi memahami kekuatan material muzik yang dibawakan sebelum menterjemahkannya melalui vokal.
Prinsip itu menjadi asas kepada pendekatannya terhadap Terlerai Sudah, enggan sibuk memikirkan perbandingan dengan karya terdahulu, Black memilih untuk memberikan perhatian sepenuhnya terhadap lagu berkenaan agar mesej dan emosi yang terkandung di dalamnya dapat disampaikan dengan berkesan.
“Jadi untuk Terlerai Sudah, saya cuba fokus kepada lagu ini dan memberikan yang terbaik tanpa terlalu memikirkan tentang perbandingan dengan lagu sebelum ini. Kalau pendengar boleh menerima dan menghayati lagu ini, itu sudah menjadi satu kejayaan buat saya,” ujarnya.
Terlerai Sudah Bawa Kisah Perpisahan dan Emosi Yang Dekat Dengan Kehidupan

Jika Hijab Rindu membuka lembaran tersendiri dalam perjalanan muzik Black, Terlerai Sudah pula hadir dengan kisah tentang sebuah hubungan yang akhirnya terpaksa dilepaskan, meskipun perasaan sayang dan kenangan masih tersimpan.
Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, lagu ini mengangkat realiti bahawa tidak semua hubungan mampu dipertahankan sehingga ke penghujungnya.

Menurut Black, kekuatan penceritaan lagu ini terletak pada kedekatannya dengan pengalaman manusia yang pernah melalui fasa kehilangan, perpisahan atau terpaksa menerima kenyataan bahawa sesuatu hubungan tidak lagi dapat diteruskan.
“Terlerai Sudah membawa cerita tentang sebuah hubungan yang akhirnya terpaksa dilepaskan. Ia lebih kepada perasaan apabila kita sedar sesuatu hubungan itu sudah sampai ke penghujungnya, walaupun masih ada rasa sayang dan kenangan yang tersimpan,” katanya.
Black percaya tema sedemikian mempunyai ruang tersendiri untuk menyentuh hati pendengar kerana perasaan yang diketengahkan bukanlah sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat.
“Lagu ini sangat dekat dengan emosi dan pengalaman manusia, sebab saya percaya ramai yang pernah melalui situasi terpaksa merelakan seseorang pergi demi kebaikan masing-masing,” tambahnya.
Pembikinan, Terlerai Sudah menampilkan gandingan komposer Ba Ermy, Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala penulisannya turut mendapat sentuhan Datuk Arisz Ab Rahman JP bersama pasukan kreatif yang terlibat.
Black menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pengalaman yang menyeronokkan kerana setiap individu membawa perspektif tersendiri dalam membentuk identiti muzik serta kekuatan penceritaan lagu.
Baginya, sesebuah lagu yang berkesan bukan sekadar bergantung pada melodi yang mudah diingati, sebaliknya memerlukan gabungan lirik, susunan muzik dan penyampaian vokal yang mampu menyampaikan emosi secara meyakinkan.
“Saya pula cuba membawa cerita dalam lagu ini melalui cara penyampaian saya sendiri.
Jadi dari proses awal sehinggalah rakaman, kami banyak berbincang tentang emosi dan karakter lagu supaya apa yang disampaikan itu benar-benar sampai kepada pendengar,” jelasnya.
Proses Rakaman Terlerai Sudah Ambil Masa Dua Minggu, Muzik Video Siap

Di sebalik penyampaian vokal yang mampan, proses menghasilkan Terlerai Sudah turut memerlukan penelitian terhadap aspek teknikal bagi memastikan hasil akhirnya memenuhi kehendak pasukan produksi.
Tidak terhenti pada rakaman audio, pembikinan muzik video rasmi turut menjadi antara keutamaan dalam pelancaran single berkenaan. Black menjelaskan bahawa aspek visual perlu bergerak seiring dengan naratif lagu supaya penonton dapat menyelami emosi yang cuba diterjemahkan menerusi muzik.
“Untuk MV, ia memang menjadi salah satu perkara penting dalam perjalanan Terlerai Sudah. Kami mahu visual yang dihasilkan selari dengan cerita dan emosi lagu, bukan sekadar menghasilkan MV untuk melengkapkan sebuah single,” katanya.
selain itu, Black turut menyimpan impian untuk membawa lagu yang dihasilkannya ke pentas anugerah berprestij seperti Anugerah Juara Lagu (AJL). Namun, beliau memilih untuk mengutamakan penerimaan pendengar terlebih dahulu sebelum memikirkan pencapaian yang lebih besar.
“Sebagai seorang penyanyi, sudah tentu saya mempunyai impian untuk membawa lagu ke pentas besar seperti AJL.
Itu adalah antara pentas yang sangat besar dalam industri muzik Malaysia dan tentunya menjadi satu pencapaian yang sangat membanggakan,” ujarnya.
Tegas Black, peluang untuk berdiri di pentas berprestij sememangnya menjadi antara cita-cita dalam perjalanan sebagai anak seni.
Bagaimanapun, beliau sedar bahawa setiap karya mempunyai rezeki dan laluan tersendiri, justeru kualiti muzik serta keikhlasan dalam menyampaikan sesebuah cerita kekal menjadi keutamaan.
“Bagi saya, yang paling penting sekarang ialah terus menghasilkan muzik yang berkualiti dan memberikan persembahan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada rezeki dan penerimaan pendengar,” katanya.
Sekadar recap, Single Terlerai Sudah terbitan Nova Music Malaysia mula boleh distrim Havoxians di platform penstriman muzik digital utama pada 16 Oktober 2026. Muzik video rasmi lagu berkenaan turut dilancarkan pada hari yang sama, jam 3 petang menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.