
Bayangkan seseorang menilai diri kita hanya berdasarkan apa yang mereka nampak, tanpa pernah tahu cerita sebenar di sebaliknya. Mereka melihat satu sisi, mendengar satu versi dan akhirnya membuat kesimpulan sendiri.
Lebih menyakitkan, apabila penilaian itu datang berulang kali sehingga kita sendiri mula dipaksa untuk menjawab persoalan tentang siapa diri kita.
Persoalan itulah yang dibangkitkan menerusi karya terbaharu DOLLA. Kali ini, kumpulan tersebut tidak hadir untuk memujuk sesiapa supaya memahami mereka. Sebaliknya, DOLLA memilih untuk berdiri teguh dengan identiti sendiri dan menjadikan segala rasa kecewa, untuk menghasilkan sesuatu yang lebih berani.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu, karya ini menjadi pernyataan DOLLA tentang harga diri, keberanian menentukan naratif sendiri dan keengganan untuk terus membenarkan orang lain menentukan siapa mereka.
UGLY Kenyataan Tentang Harga Diri & Kebebasan Tentukan Identiti

Kekuatan utama UGLY terletak pada mesejnya yang dekat dengan pengalaman manusia dalam kehidupan seharian. Penghakiman boleh datang dalam pelbagai bentuk, sama ada berdasarkan penampilan, personaliti, keputusan hidup atau cerita yang dibentuk oleh pihak lain.
“Jika kami perlu menggambarkan ‘UGLY’ dalam satu perkataan, perkataan itu ialah ‘tanpa kompromi’. Lagu ini adalah tentang menerima dan berdiri teguh dengan siapa diri kita, tanpa membenarkan orang lain menentukan identiti kita,” kongsi DOLLA.
Lagu ini menjadi ruang untuk mereka menyuarakan rasa kecewa yang pernah dialami, sebelum mengubahnya menjadi sesuatu yang lebih kuat.
Setiap anggota kumpulan mempunyai pengalaman tersendiri apabila berdepan dengan penilaian dan salah faham. Justeru, mesej UGLY bukan sesuatu yang asing bagi mereka. Sebaliknya, ia terasa peribadi kerana lahir daripada emosi yang pernah mereka kenali sendiri.
“Kami terus dapat menghayati lagu ini kerana mesejnya terasa begitu peribadi. Ada satu kepuasan apabila kami dapat mengambil segala perasaan itu dan mengubahnya menjadi kekuatan menerusi ‘UGLY’,” jelas mereka.
DOLLA tidak mahu pendengar melihat lagu ini hanya sebagai luahan kemarahan. Sebaliknya, mereka mahu karya tersebut menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang pernah sampai ke tahap merasakan sudah cukup dengan tekanan, penilaian dan pandangan orang lain.
Konsep Wayang Kulit Dalam Video Muzik UGLY Gambarkan Bahaya Bentuk Persepsi Daripada ‘Shadow’

Mesej UGLY menjadi lebih menarik apabila diterjemahkan menerusi video muzik yang mengambil inspirasi daripada Wayang Kulit, sebuah seni persembahan bayang-bayang tradisional Malaysia.
Pemilihan konsep tersebut bukan sekadar memberikan identiti visual kepada karya berkenaan, malah mempunyai kaitan rapat dengan tema utama lagu. Dalam Wayang Kulit, penonton melihat bentuk dan bayang sesuatu watak sebelum memahami keseluruhan cerita yang sedang dipersembahkan.
“Kita melihat bayang-bayang lalu membentuk tanggapan tentang watak tersebut tanpa pernah melihat gambaran yang sepenuhnya.
Kami merasakan konsep itu sangat serasi dengan ‘UGLY’ kerana manusia sering melakukan perkara yang sama terhadap satu sama lain.
Lagu ini seolah-olah menjadi peringatan daripada kami bahawa persepsi tidak semestinya mencerminkan kebenaran,” ujarnya.

Pendekatan tersebut memberikan dimensi yang lebih mendalam kepada video muzik UGLY. Cahaya, bayang bayang, pergerakan, muzik dan penceritaan digabungkan untuk membina sebuah dunia visual yang menggambarkan perbezaan antara apa yang dilihat dengan realiti sebenar.
Lebih menarik, sebahagian besar dunia visual yang dipaparkan dalam video muzik itu terbentuk ketika proses pascaproduksi.
Beberapa babak turut dirakam hampir sepenuhnya dalam kegelapan di sebuah rumah tradisional Melayu. Elemen tersebut bukan sahaja memberikan suasana misteri, malah menguatkan identiti tempatan dalam karya yang mempunyai cita rasa visual moden.
“Oleh sebab sebahagian besar dunia dalam video ini dihasilkan ketika pascaproduksi, kami perlu membayangkan banyak elemen dan tenaganya semasa membuat persembahan.
Penggambaran di dalam sebuah rumah tradisional Melayu yang hampir gelap sepenuhnya turut memberikan suasana misteri kepada set tersebut.”
Hasil akhirnya memperlihatkan bagaimana elemen tradisional boleh diberikan nafas baharu tanpa kehilangan nilai simbolik yang terkandung di dalamnya. Wayang Kulit bukan sekadar menjadi hiasan visual, sebaliknya digunakan sebagai bahasa penceritaan untuk mengangkat persoalan tentang persepsi dan kebenaran.
UGLY Bawa Tenaga Tanpa Kompromi, DOLLA Bersedia Perkukuh Langkah Ke Pentas Antarabangsa

Selain konsep yang kuat, UGLY turut menyerlahkan sisi DOLLA yang lebih agresif dan tidak mahu meminta izin untuk menjadi diri sendiri.
Pada masa yang sama, DOLLA mahu UGLY menjadi sebuah lagu yang boleh digunakan pendengar ketika mereka perlu mengembalikan keyakinan diri.
“Dengarkan lagu ini apabila anda berada dalam suasana ‘baiklah, sudah cukup’. Mainkan lagu ini, ikut rentak anda sendiri dan jangan risau tentang apa yang orang lain mahu katakan,” ujar DOLLA.
UGLY turut meneruskan perkembangan era muzik DOLLA yang sebelum ini dimulakan menerusi G.O.A.T. Jika G.O.A.T memperlihatkan keyakinan terhadap kedudukan dan kemampuan diri, UGLY pula hadir dengan sisi yang lebih liar, berani dan tidak mahu dikawal oleh persepsi luar.
Peralihan tersebut menunjukkan keinginan kumpulan berkenaan untuk terus meneroka muzik, visual dan persembahan tanpa terikat kepada satu bentuk identiti sahaja. Kekacauan yang dibawa UGLY bukan sesuatu yang cuba disembunyikan, sebaliknya dirangkul sebagai sebahagian daripada perjalanan kreatif mereka.
Pada masa sama, DOLLA turut merancang untuk memberikan perhatian lebih besar kepada persembahan di peringkat antarabangsa. Langkah tersebut membuka ruang buat kumpulan berkenaan mendekati peminat di luar Malaysia dan memperkukuh kehadiran mereka di pentas global.
Perjalanan itu selari dengan semangat UGLY sendiri, iaitu keberanian untuk bergerak mengikut acuan sendiri tanpa terlalu memikirkan bagaimana seseorang mahu dilihat oleh orang lain.
Buat pendengar dan Havoxians yang sedang mencari lagu untuk menaikkan semangat, menyusun semula tenaga atau sekadar mahu menikmati sisi DOLLA yang lebih berani, UGLY kini boleh didengarkan di semua platform penstriman utama.