
Bermula dengan sepasang selipar getah yang sinonim dengan kehidupan harian rakyat Malaysia, Fipper kini melangkah jauh sehingga menembusi 19 negara dan wilayah dengan lebih 150 outlet.
Malah, di sebalik perkembangan jenama gah tersebut, dibekangnya seorang anak muda mempunyai visi jauh, terhadap produk tempatan yang bukan sekadar barangan untuk dipasarkan, sebaliknya sebuah jenama yang mampu membawa nama Malaysia harum di mata dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Fipper Group, Jee Von, membuktikan visi itu apabila diumumkan sebagai salah seorang penerima Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026, sebuah pengiktirafan yang mengangkat pencapaian serta sumbangan anak muda Malaysia dalam pelbagai bidang.
Pencapaian tersebut turut menyerlahkan pendekatan Jee Von dalam mengembangkan perniagaan Fipper dengan menggabungkan strategi berasaskan data, pemodenan sektor pembuatan, peluasan pasaran antarabangsa serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Lebih menarik, kejayaan berkenaan hadir selepas beberapa pencapaian penting yang mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara usahawan muda yang aktif membawa jenama tempatan ke peringkat lebih luas.
Jee Von Bawa Fipper Dari Malaysia Ke 19 Negara Dan Lebih 150 Outlet

Pendekatan berasaskan data tersebut digunakan dalam sektor pemasaran dan operasi peruncitan bagi membantu Fipper berkembang dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Hasilnya, rangkaian peruncitan Fipper kini telah berkembang ke 19 negara dan wilayah dengan lebih 150 outlet. Perkembangan itu mencerminkan perubahan landskap sebuah jenama selipar getah tempatan yang kini mempunyai capaian jauh melangkaui pasaran asalnya.
Pada April 2026, Jee Von yang merupakan anak Melaka turut menerima Anugerah Khas Usahawan 2026 serta dinobatkan sebagai Usahawan Belia (Johan) 2026 dalam anugerah yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka.
Rentetan pencapaian itu memperlihatkan momentum yang semakin kukuh dalam perjalanan kepimpinan beliau, sebelum pengiktirafan TOYM 2026 pula mengangkat namanya ke peringkat nasional.
Fipper Gabungkan Pertumbuhan Perniagaan Dengan Strategi ESG

Bagi Jee Von, perkembangan perniagaan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan angka jualan atau prestasi kewangan.
Pemikiran tersebut diterjemahkan melalui penekanan terhadap prinsip ESG yang menggabungkan aspek alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus dalam perjalanan pertumbuhan Fipper.
Mengambil kira aspek alam sekitar, Fipper komited menggunakan getah semula jadi sebagai bahan yang lebih mesra alam bagi menggantikan penggunaan plastik sintetik.
Langkah tersebut menunjukkan bagaimana agenda kelestarian boleh digabungkan dengan operasi sebuah jenama yang menghasilkan produk untuk kegunaan harian.
Pada masa sama, dimensi sosial turut diberikan perhatian menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat Fipper Sayang. Projek berkenaan diwujudkan bagi menyokong komuniti yang memerlukan, sekali gus membawa pendekatan bahawa pertumbuhan sesebuah syarikat turut mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat.
Ketika menerima pengiktirafan tersebut, Jee Von menegaskan bahawa peluasan perniagaan pada skala besar perlu bergerak seiring dengan strategi ESG.
“Kejayaan perniagaan tidak pernah diukur menerusi penunjuk kewangan semata-mata,” katanya.
Pendekatan itu memberikan satu gambaran bahawa perjalanan Fipper bukan hanya mengenai bagaimana sebuah produk Malaysia berjaya dijual di luar negara, tetapi turut melibatkan persoalan mengenai bagaimana pertumbuhan tersebut boleh memberi manfaat lebih luas kepada alam sekitar dan masyarakat.
Menurut Jee Von, kejayaan komersial juga tidak membawa makna sekiranya usaha untuk membantu serta mengangkat kehidupan insan lain diketepikan.
“Kejayaan komersial tidak membawa sebarang erti sekiranya kita tidak mengangkat dan membantu insan sesama lain,” tambahnya lagi.
Anugerah TOYM 2026 Jadi Simbol Misi Bawa Jenama Malaysia Ke Dunia

Pengiktirafan JCI TOYM 2026 membawa tema One Nation, One Vision dan dianjurkan JCI South Key di bawah JCI Malaysia.
Anugerah tersebut mengiktiraf 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 40 tahun berdasarkan pencapaian serta sumbangan dalam 10 kategori.
Bagi Jee Von, pengiktirafan itu hadir bersama satu mesej yang lebih besar mengenai potensi anak muda dan jenama tempatan.
Perjalanan Fipper daripada produk selipar getah tempatan kepada jenama yang mempunyai rangkaian di 19 negara menjadi sebahagian daripada naratif tersebut.
“Kepada anak-anak muda di luar sana: jangan biarkan sesiapa membataskan impian anda,” ujarnya.
Di pentas majlis anugerah, Jee Von turut menitipkan pesanan kepada generasi muda supaya tidak membiarkan batasan orang lain menentukan sejauh mana impian mereka boleh pergi.

Beliau turut menjadikan perjalanan Fipper sebagai contoh bahawa sesuatu yang bermula di Malaysia mampu mencapai pasaran dunia sekiranya dibangunkan dengan keberanian dan visi yang jelas.
“Jika sepasang selipar getah tempatan mampu mengelilingi dunia, impian anda juga tiada batasnya,” jelasnya.
Misi tersebut turut menjadi sebahagian daripada komitmen Jee Von untuk terus membawa Fipper sebagai jenama kebanggaan Malaysia ke pasaran antarabangsa.
“Komitmen saya kekal teguh untuk terus membawa jenama kebanggaan Malaysia ini ke seluruh dunia demi negara yang tercinta,” katanya.
Bermula dari sebuah produk harian yang mudah ditemui kepada jenama dengan rangkaian antarabangsa, perjalanan Fipper memperlihatkan bagaimana produk tempatan mampu berkembang, apabila disokong oleh strategi perniagaan, inovasi, kelestarian dan keberanian untuk melihat pasaran dunia sebagai ruang pertumbuhan.
Sekadar info Havoxians, pengiktirafan TOYM 2026 pula menambah satu lagi bab penting dalam perjalanan Jee Von, sekali gus mengangkat kisah seorang usahawan muda yang memilih untuk membawa produk Malaysia lebih jauh daripada sempadan negara.