
Di sebalik sebuah keluarga yang kelihatan bahagia, tersimpan sebuah rahsia yang akhirnya menghancurkan kehidupan seorang anak perempuan. Lebih menyakitkan, individu yang sepatutnya menjadi pelindung keluarga, adalah manusia yang menghancurkan dan meninggalkan trauma yang sukar dipadam.
Situasi tersebut menjadi nadi utama filem Bisikan Nafsu, karya terbaharu penerbit popular Dato A. Aida yang mengangkat isu jenayah seksual dalam keluarga menerusi kisah Nadia, seorang wanita yang berdepan trauma selepas menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri.
Namun, Bisikan Nafsu tidak sekadar mahu membawa penonton menyaksikan penderitaan seorang mangsa. Filem arahan Riza Baharudin itu turut menelusuri persoalan tentang sejauh mana seseorang sanggup bertahan apabila insan yang dicintai sedang berdepan trauma, kehilangan keyakinan terhadap diri sendiri.
Dalam kisah Nadia, trauma yang dialaminya bukan sahaja mengubah dirinya, malah turut memberi kesan terhadap hubungan dengan tunangnya, Arisz.
Nadia yang sebelum ini mempunyai kehidupan dan perancangan masa depan bersama Arisz akhirnya memilih untuk memutuskan pertunangan mereka. Keputusan tersebut dibuat ketika dirinya bergelut dengan tekanan emosi yang begitu berat sehingga beberapa kali cuba menamatkan riwayat hidup.
Bisikan Nafsu Paparkan Trauma Mangsa Dan Persoalan Kesetiaan Dalam Hubungan

Menurut A. Aida yang bertindak sebagai penerbit eksekutif selain penulis skrip, objektif utama Bisikan Nafsu adalah untuk membuka mata masyarakat mengenai keselamatan anak dalam institusi keluarga, khususnya apabila berlaku perkahwinan semula.
Pada masa sama, filem tersebut turut memberi penekanan terhadap nilai kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan yang dianggap penting dalam menghadapi ujian kehidupan.
“Objektif utama filem ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya golongan ibu yang berkahwin semula dengan lelaki lain supaya lebih peka terhadap keselamatan anak perempuan,” katanya.
Menurut A. Aida lagi, elemen kesetiaan turut menjadi antara perkara yang mahu diketengahkan menerusi hubungan Nadia dan Arisz.

Kebiasaannya, apabila seseorang berdepan tragedi besar dalam kehidupan, hubungan yang dibina sekian lama turut berdepan ujian. Namun, filem ini cuba memperlihatkan sisi berbeza apabila seorang lelaki memilih untuk terus bertahan bersama insan yang dicintainya meskipun berdepan situasi yang amat berat.
“Saya turut ketengahkan mengenai kesetiaan. Biasanya apabila berlaku tragedi sebegini, ada lelaki yang memilih meninggalkan pasangan. Namun dalam filem ini, saya mahu tunjuk masih ada lelaki yang terus berada di sisi insan yang dicintainya walaupun diuji dengan perkara yang sangat berat,” ujarnya.
Pendekatan tersebut menjadikan Bisikan Nafsu bukan sekadar sebuah cerita mengenai jenayah, tetapi turut membuka ruang kepada persoalan lebih besar tentang trauma, kepercayaan dan sokongan terhadap mangsa.
Justeru, kehadiran watak Arisz menjadi antara elemen penting dalam perjalanan cerita kerana kesetiaannya bukan sekadar soal cinta, tetapi turut berkait dengan usaha memahami perubahan yang berlaku kepada Nadia.
Aniq Suhair Dan Azeva Terajui Bisikan Nafsu, Bersama Barisan Pelakon Senior

Bisikan Nafsu menghimpunkan gabungan pelakon baharu dan nama berpengalaman dalam industri hiburan tempatan seperti Aniq Suhair dan Azeva diberi kepercayaan sebagai teraju utama, serta turut menampilkan Zul Huzaimy, Aleza Shadan, Watie Sadali, Raja Azmi, Ezzaty Abdullah, Aishah Husna, Lan Siro, Ameng Spring dan Siti Khadijah.
Gabungan pelakon daripada generasi berbeza itu memberikan ruang kepada filem berkenaan untuk membina dunia cerita yang lebih luas, khususnya apabila kisah Nadia turut melibatkan keluarga, hubungan pasangan dan rahsia yang tersimpan sekian lama.
Menariknya, Bisikan Nafsu turut merupakan produk sulung Hello Production, yang diasaskan oleh Azeva sendiri.
Menurut A. Aida, keputusan menubuhkan syarikat tersebut datang daripada hasrat Azeva sendiri yang mahu membina pengalaman dalam bidang penerbitan secara berperingkat.
“Azeva sendiri yang menyatakan hasrat untuk membuka syarikat produksi. Untuk itu, saya mahu dia belajar dari bawah dan memahami setiap aspek dan selok-belok penerbitan.
“Untuk menjadi seorang penerbit yang baik, seseorang itu perlu mengetahui keseluruhan proses produksi, daripada A hingga Z,” katanya.
Filem ini diterbitkan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United.
Bagi pemilik Mache Allstar United, Datuk Arisz Ab. Rahman pula, kerjasama tersebut mempunyai nilai tersendiri kerana A. Aida merupakan antara individu yang banyak membimbingnya ketika mula menceburi bidang penerbitan drama televisyen.
“Beliau adalah antara mentor saya dalam penerbitan drama televisyen dan banyak membantu saya pada peringkat awal penglibatan dalam industri kreatif,” katanya.
Menurutnya, Bisikan Nafsu menjadi projek perintis hasil kerjasama mereka dan membuka peluang untuk lebih banyak projek diterbitkan bersama pada masa akan datang.
Pembahagian tugas juga dilakukan dengan jelas apabila A. Aida memberi tumpuan kepada aspek kreatif dan kandungan, manakala Arisz memberi fokus kepada pengurusan kewangan serta operasi produksi.
Riza Baharudin Akui Gugup Pertama Kali Arah Filem, Babak Air Terjun Cabaran Terbesar

Bagi pengarah Riza Baharudin pula, Bisikan Nafsu menjadi pengalaman besar kerana ia merupakan filem pertama yang diarahkan olehnya.
Riza mengakui perasaan gugup sememangnya wujud apabila diberi tanggungjawab mengemudi sebuah filem, namun pengalaman tersebut menjadi ruang untuknya memberikan hasil terbaik berdasarkan bajet yang disediakan pihak penerbit.
Antara cabaran paling besar sepanjang penggambaran ialah menghasilkan beberapa babak yang memerlukan komitmen fizikal tinggi daripada barisan pelakon.
“Kalau ditanya tentang cabaran pula, ia lebih kepada babak-babak yang perlu dihasilkan. Misalnya pelakon perlu terjun di tempat air terjun dengan ketinggian enam tingkat, perlu menyelam dalam air untuk tempoh yang lama serta beberapa babak lain yang cukup mencabar,” jelasnya.
Menurut Riza, segala cabaran tersebut akhirnya dapat dilalui dengan lancar hasil komitmen barisan pelakon dan kru produksi.
“Apapun saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan barisan pelakon juga telah memberikan sepenuh komitmen untuk mendapatkan hasil yang terbaik,” katanya.
Bagi Havoxians yang mahu mengetahui bagaimana kisah Nadia, Arisz dan keluarga tersebut berakhir, jawapannya hanya akan terungkai apabila Bisikan Nafsu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober 2026.
Sebagai pelengkap kepada kempen filem tersebut, lagu “Tanpa Rasa Jemu” turut diketengahkan sebagai lagu yang mengiringi karya berkenaan, memberikan satu lagi dimensi kepada cerita yang bakal dibawa ke layar pawagam bermula 1 Oktober 2026.