
Memulakan langkah dalam industri muzik bukan sekadar soal memiliki sebuah lagu untuk diperkenalkan kepada pendengar. Bagi penyanyi baharu, Azeva, single sulung Tanpa Rasa Jemu hadir dengan cerita yang lebih dekat di hati apabila karya tersebut turut melibatkan ibunya, Datuk A. Aida, sebagai penulis lirik.
Lagu ciptaan Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi itu dipilih Azeva selepas beberapa karya diberikan kepadanya untuk dipertimbangkan. Namun, Tanpa Rasa Jemu ternyata mempunyai tarikan tersendiri sejak kali pertama didengarkan.
Menurut Azeva, susunan muzik yang indah, lirik yang menyentuh jiwa serta dinamik lagu membuatkan dia yakin karya berkenaan merupakan pilihan paling tepat untuk membuka perjalanan seninya.
“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar benar menyentuh hati saya. Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Setiap kali mendengarnya, saya rasa tidak puas,” katanya.
Keterlibatan ibunya dalam menghasilkan lirik turut menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna, selain Azeva menerima bimbingan daripada barisan komposer berpengalaman sepanjang proses rakaman.
“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” ujarnya.
Tanpa Rasa Jemu Bawa Mesej Kasih Sayang, Setia Tanpa Syarat

Di sebalik melodinya, Tanpa Rasa Jemu mengangkat tema kasih sayang yang kekal utuh walaupun berdepan pelbagai dugaan. Menariknya, lagu tersebut turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi filem Bisikan Nafsu, sekali gus memberikan karya berkenaan konteks emosi yang lebih kuat.
Filem itu mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya walaupun berdepan ujian berat dan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober 2026.
Bagaimanapun, Azeva melihat mesej lagu tersebut lebih luas daripada kisah cinta antara pasangan. Baginya, konsep kasih sayang tanpa jemu turut boleh dikaitkan dengan keluarga yang sentiasa menerima, menyokong dan berada di sisi seseorang tanpa mengira keadaan.

Nilai tersebut juga terasa lebih dekat memandangkan ibunya sendiri terlibat dalam penghasilan lirik lagu. Justeru, Tanpa Rasa Jemu bukan hanya menjadi karya pertama Azeva, tetapi turut membawa sentuhan peribadi yang menjadikan proses pembikinannya lebih istimewa.
Dalam masa sama, rakaman single ini menjadi pengalaman pembelajaran besar buat Azeva yang tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional sebelum ini. Dia perlu mendalami teknik vokal, sebutan dan kawalan suara bagi memastikan persembahan yang diberikan bersesuaian dengan tuntutan lagu.
“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung, sekali gus membuktikan bahawa setiap proses pembelajaran telah membentuk diri saya sebagai seorang penyanyi yang lebih matang,” dedah Azeva.
Azeva Sudah Rancang Dua Projek Baharu Selepas Debut Muzik

Tanpa Rasa Jemu mungkin merupakan permulaan, tetapi Azeva sudah mempunyai perancangan untuk meneruskan langkah dalam industri muzik. Dua lagi projek rakaman sedang dirancang, termasuk versi baharu lagu Sejiwa yang mempunyai nilai sentimental buat keluarganya.
Selain itu, Azeva turut bakal terlibat dengan sebuah lagu tema untuk projek animasi. Perancangan tersebut menunjukkan penyanyi baharu ini tidak mahu kemunculannya berhenti pada satu karya sahaja, sebaliknya mahu terus membina pengalaman dan identiti sebagai penyanyi.
Bagi Azeva, harapan paling besar adalah supaya karya sulungnya terus mendapat tempat di hati pendengar.
“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu, tanpa rasa jemu juga. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.”

Sebagai pembuka tirai perjalanan seninya, Tanpa Rasa Jemu menjadi pengenalan yang cukup peribadi buat Azeva, apatah lagi apabila karya tersebut hadir dengan sentuhan ibunya dan bimbingan barisan komposer berpengalaman.
Single terbitan usahasama Nova Music Malaysia dan A. Aida Production itu boleh distrim Havoxians di semua platform penstriman muzik, manakala muzik video rasminya tersedia di saluran YouTube Nova Music Videos.
Lagu ini juga menjadi OST Bisikan Nafsu, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 1 Oktober 2026.