
Tidak semua lagu cinta lahir daripada kisah romantik. Ada juga yang tercipta daripada perbezaan, air mata dan perjalanan membina sebuah keluarga.
Itulah yang cuba diterjemahkan Harith Zazman dan Yonnyboii menerusi kolaborasi sulung mereka, Sempurna, sebuah karya yang bukan sekadar meraikan pasangan, tetapi mengangkat makna menerima seseorang seadanya.
Lebih menarik, lagu ini tidak lahir daripada imaginasi semata-mata. Setiap bait liriknya diinspirasikan daripada pengalaman sebenar kedua-dua penyanyi yang kini bergelar seorang suami dan bapa.
Malah, proses rakamannya turut menyimpan satu momen yang cukup istimewa apabila suara bayi Yonnyboii secara tidak sengaja menjadi sebahagian daripada rakaman asal lagu tersebut.
Menerusi sentuhan pop yang menyentuh emosi, Sempurna membuktikan bahawa kasih sayang bukan tentang mencari insan sempurna, tetapi tentang menghargai mereka yang memilih untuk kekal bersama melalui setiap fasa kehidupan.
Kisah Sebenar Harith Zazman Inspirasi Lahirnya Lagu Sempurna

Ditulis oleh Harith Zazman bersama Yonnyboii dan Justin Seow yang turut bertindak sebagai penerbit, lagu ini lahir daripada pengalaman sebenar selepas Harith mendirikan rumah tangga.
Menurut Harith, perkahwinan membuka ruang untuknya memahami bahawa setiap pasangan hadir dengan latar belakang dan cara berfikir yang berbeza.
Namun daripada perbezaan itulah lahirnya rasa saling memahami yang akhirnya menjadikan hubungan lebih bermakna.
“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara.
Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar Sempurna,” katanya.
Harith turut mengakui karya ini merupakan antara lagu paling peribadi yang pernah dihasilkannya sepanjang bergelar penyanyi dan penulis lagu.
“Ini mungkin lagu yang paling matang dan paling emosional pernah saya tulis. Saya menangis ketika menulis lagu ini kerana ia sangat dekat dengan pengalaman hidup saya sendiri. Saya juga tidak sabar untuk berkongsi mesej lagu ini dengan semua orang,” jelasnya lagi.
Kejujuran yang diterjemahkan menerusi setiap bait lirik menjadikan Sempurna tampil lebih tulus dan mudah menyentuh emosi pendengar, terutama mereka yang sedang membina kehidupan berkeluarga.
Kolaborasi Harith Zazman dan Yonnyboii Jadi Lebih Bermakna Dengan Kehadiran Anak

Kerjasama antara Harith dan Yonnyboii sebenarnya tercetus secara spontan apabila Harith merasakan sahabatnya itu merupakan individu paling tepat untuk melengkapkan mesej yang ingin disampaikan.
Walaupun tidak kerap bertemu, hubungan persahabatan yang terjalin sejak sekian lama memudahkan proses kolaborasi mereka. Sebaik sahaja demo lagu disiapkan, nama Yonnyboii terus menjadi pilihan utama.
“Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila lagu ini siap dalam bentuk demo, saya terus terfikir tentang Yonny.
Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.
Bagi Yonnyboii pula, lagu ini merupakan hadiah paling istimewa buat isteri serta anak lelakinya yang menjadi sumber kekuatan dalam kehidupannya.
“Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak saya bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” katanya.
Antara momen yang paling mencuri perhatian ialah apabila anak Yonnyboii, Kyro, menemani bapanya sepanjang sesi rakaman dijalankan. Malah, suara bayi tersebut turut kedengaran dalam rakaman asal lagu berkenaan.
Harith menyifatkan detik itu sebagai sesuatu yang tidak dirancang tetapi berjaya menambahkan nilai sentimental kepada karya tersebut.
“Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonny sedang mendukung anaknya. Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini. Bagi saya, perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” ujarnya.
Sempurna Bukan Sekadar Lagu, Tetapi Sebuah Penghargaan Buat Seorang Bapa & Keluarga

Walaupun dilancarkan bersempena Hari Bapa yang lalu, mesej yang dibawa oleh Sempurna jauh lebih luas. Lagu ini mengajak pendengar untuk menghargai setiap insan yang sentiasa berada di sisi dalam apa jua keadaan, sama ada pasangan, ibu bapa mahupun anak anak.
Yonnyboii percaya identiti muziknya masih kekal seperti yang dikenali peminat, namun kini dipersembahkan dengan sisi yang lebih matang selari dengan perubahan fasa kehidupannya.
“Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti Yonnyboii tetap sama.
Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang orang yang saya sayang,” tegasnya.
Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam tiga perkataan, Yonnyboii memilih “Yayo, Nina, Kita”, merujuk kepada keluarga kecilnya yang menjadi inspirasi utama di sebalik karya tersebut.
Dalam era muzik yang semakin pantas mengejar trend, Sempurna memilih jalan berbeza dengan mempertaruhkan keikhlasan sebagai kekuatan utama.
Malah, ini bukan sekadar lagu tentang cinta antara pasangan, tetapi juga mengenai pengorbanan, penerimaan dan kasih sayang yang membentuk sebuah keluarga.
Mesej itu menjadikan Sempurna kekal relevan walaupun sambutan Hari Bapa telah berlalu. Hakikatnya, penghargaan terhadap insan yang sentiasa melengkapkan kehidupan tidak memerlukan tarikh tertentu untuk diraikan.
Sekadar info, Havoxians single “Sempurna” nyanyian Harith Zazman dan Yonnyboii kini boleh distrim di semua platform penstriman digital sejak 19 Jun 2026.